Pada hari ini
dalam tahun 1969, Kerajaan telah mengumumkan penubuhan satu badan sukan
bertaraf kebangsaan yang dipanggil Majlis Sukan Negara. Ia juga bertujuan
mempertingkatkan mutu sukan di negara ini supaya setanding dengan taraf sukan
antarabangsa. Sebelum tertubuhnya Majlis ini, pihak Kementerian Belia dan Sukan
Negara telah mendapatkan pandangan serta persetujuan dari badan-badan sukan
seluruh negara. Ini penting bagi
memastikan rancangan tersebut mendapat kejayaan yang cemerlang. Walau
bagaimanapun usul penubuhan Majlis Sukan Negara ini hanya mendapat kelulusan
kabinet pada 27.4.1971 dan ditubuhkan dengan rasminya pada 21.2.1972 oleh YAB
Tun Abdul Razak bin Dato’ Hussein. Dengan tertubuhnya Majlis Sukan Negara ini,
ia telah dapat memperkemaskan segala kegiatan sukan dan melaksanakan rancangan
sukan dengan lebih teratur. Malah melaluinya juga kerjasama antara badan-badan
sukan yang dulunya berasingan telah dapat dipereratkan.Antara lain fungsi dan
matlamat Majlis Sukan Negara ketika ditubuhkan ialah:-
Menasihatkan
Kementerian mengenai perkara-perkara yang berasingan dengan sukan.
Menyelaraskan
kegiatan-kegiatan sukan yang dikendalikan oleh Kerajaan dan lain-lain badan.
Mencadangkan
langkah-langkah yang perlu diambil dan
dasar yang harus diamalkan untuk memajukan sukan dan
Menggalak dan
memajukan penyertaan di bidang sukan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Pada masa ini
Majlis Sukan Negara terus memainkan peranan penting dalam usaha meninggikan
mutu sukan negara. Ia telah banyak
memberi bantuan membiayai latihan-latihan untuk ahli-ahli sukan ke peringkat
kebangsaan dan antarabangsa. Di samping
itu juga ia turut memberi bantuan alat-alat sukan dan kemudahan-kemudahan
termasuk perubatan yang diperlukan oleh ahli-ahli sukan. Malah Majlis Sukan
Negara juga turut membiayai seminar-seminar dan kursus-kursus demi memajukan
sukan untuk negara.
Sumber- http://hids.arkib.gov.my/
No comments:
Post a Comment