Oleh: DR. ZULKIFLI MOHAMAD
ALBAKRI
SYEIKH al-Maraghi berkata:
Selepas Allah mendirikan segala hujah terhadap ahli kitab dinyatakan bahawa
mereka amat mengetahui bahawa Muhammad s.a.w. merupakan Nabi yang sebenar dan
mereka mengenalinya sebagaimana mereka mengenali anak-anak mereka.
Begitu juga ingkar mereka
berkenaan dengan penukaran kiblat semata-mata kerana takbur dan penentangan.
Ini kerana bila thabit kenabiannya adalah setiap apa yang dilakukannya,
sesungguhnya ia adalah wahyu daripada Tuhannya. Disebut di sini bahawa setiap
umat baginya kiblat yang dihadap. Dan wajib menyerahkan hal ini kepada arahan
wahyu. Firman Allah s.w.t.:
Dan bagi tiap-tiap umat ada
arah (kiblat) yang masing-masing menujunya; oleh itu berlumba-lumbalah kamu
mengerjakan kebaikan; kerana di mana sahaja kamu berada maka Allah tetap akan
membawa kamu semua (berhimpun pada hari kiamat untuk menerima balasan);
sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
Dan dari mana sahaja engkau
keluar (untuk mengerjakan sembahyang), maka hadapkanlah mukamu ke arah masjid
al-Haram (Kaabah); dan sesungguhnya perintah berkiblat ke Kaabah itu adalah
benar dari Tuhanmu. Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan segala
apa yang kamu lakukan. Dan dari mana sahaja engkau keluar (untuk mengerjakan
sembahyang), maka hadapkanlah mukamu ke arah masjid al-Haram (Kaabah); dan di
mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka kamu ke arahnya, supaya tidak ada
lagi (sebarang) alasan bagi orang-orang (yang menyalahi kamu), kecuali
orang-orang yang zalim di antara mereka (ada sahaja yang mereka jadikan
alasan). Maka janganlah kamu takut kepada (cacat cela) mereka, dan takutlah
kamu kepada Ku (semata-mata); dan supaya Aku sempurnakan nikmat-Ku kepada kamu,
dan juga supaya kamu beroleh petunjuk hidayah (mengenai perkara yang benar).
(al-Baqarah: 148-150)
Firman Allah, Dan bagi
tiap-tiap umat ada arah (kiblat) yang masing-masing menujunya. Terdapat tiga pandangan
ulama berkenaan tafsiran (huwa) iaitu Dia:
(i) Kembali kepada Allah. Yakni
Allah yang memerintahkan mereka mengadap kepadanya iaitu kiblat.
(ii) Kembali kepada yang
memerintahkannya dengan sendirinya.
(iii) Kembali kepada rumah
Allah. Inilah pendapat Mujahid.
Seterusnya firman Allah, oleh
itu berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan, iaitu dengan bersegera.
Qatadah berkata: Jangan kamu kalahkan atas kiblat kamu. Al-Qurtubi berkata:
Iaitu berlumba-lumbalah apa yang Allah perintahkan kamu daripada mengadap Baitullah
al-Haram sekalipun gesaan bersegera kepada seluruh amalan, ketaatan dengan umum
tetapi dikehendaki dengan mengadap kiblat berdasarkan ayat-ayat seterusnya.
Makna bersegera dengan solat
ialah pada awal waktunya, wallahu`alam. Benarlah sabda Rasulullah s.a.w.,
sebagaimana riwayat Daraqutni daripada Ibn Umar: Sebaik-baik amalan ialah solat
pada awal waktunya. Dan dalam hadis riwayat Ibn Masud menyebut awal waktunya.
Begitu juga riwayat daripada
Ibrahim bin Abd al-Malik, daripada Abi Mahzurah, daripada ayahnya, daripada
datuknya, sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: Awal waktu merupakan
keredhaan Allah, pertengahan waktu merupakan rahmat Allah dan akhir waktu
merupakan keampunan Allah.
Ibn al-Arabi menambah; maka
berkata Abu Bakar: Keredhaan Allah lebih suka kepada kami dari keampunannya
kerana keredaan-Nya untuk orang yang baik dan muhsinin sedangkan keampunannya
untuk orang yang cuai. Inilah yang dipilih oleh Imam Syafie.
Firman Allah, Kerana di mana
sahaja kamu berada maka Allah tetap akan membawa kamu semua (berhimpun pada
hari kiamat untuk menerima balasan). Ibn Abbas menafsirkan dengan maksud hari
ini pada hari kiamat.
Firman Allah, Sesungguhnya
Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu, iaitu Allah Maha Berkuasa dan tiada
sesuatupun yang dapat menghalang.
Sayid Qutub berkata: Kemudian
dikemukakan pula penjelasan bagi kali yang ketiga kerana sesuatu tujuan baru
yang lain, iaitu untuk mematahkan hujah kaum Ahli Kitab dan hujah golongan yang
lain dari mereka yang melihat kaum Muslimin mengadap ke arah kiblat kaum Yahudi
lalu menyebabkan mereka percaya kepada kebenaran apa yang digembar-gemburkan
oleh kaum Yahudi.
Ia adalah tentang kelebihan
agama mereka yang mengatasi agama yang dibawa oleh Muhammad, dan tentang
keunggulan kiblat mereka yang mengertikan keunggulan agama mereka atau (untuk
mematahkan hujah) kaum musyrikin Arab yang menggunakan isu mengadap kiblat Bait
al-Maqdis itu sebagai senjata untuk menghalang orang-orang Arab yang memandang
suci kepada Bait al-Haram itu dan meliarkan mereka dari memeluk Islam yang
menghendaki penganut-penganutnya mengadap kepada kiblat Bani Israel.
Benarlah firman Allah: Dan dari
mana sahaja engkau keluar (untuk mengerjakan sembahyang), maka hadapkanlah
mukamu ke arah masjid al-Haram (Kaabah). Ini merupakan takid dan penguat bagi
perintah mengadap Kaabah serta prihatin dengannya, kerana tempat berpaling
merupakan kesukaran bagi jiwa dan diri mereka. Justeru dikuatkan perintah
dengan melihat manusia prihatin dengannya untuk tenang.
Dan di mana sahaja kamu berada
maka hadapkanlah muka kamu ke arahnya, yakni wajib mengadap kiblat walaupun
dalam musafir. Sekalipun kita berada di mana sahaja di muka bumi ini.
Benarlah hadis riwayat
Daraqutni, daripada Anas bin Malik katanya: Adalah Nabi s.a.w. apabila dalam
musafir dan hendak melaksanakan solat ketika di atas tunggangan nescaya ia
menghadap kiblat dan bertakbir kemudian solat di mana sekalipun dihadapkan
selepas itu. Hadis ini dikeluarkan oleh Abu Daud juga dan dengannya merupakan
pendapat Imam Syafie, Ahmad dan Abu Thaur. Sedangkan dalam mazhab Imam Malik
tidaklah melazimi dan wajib mengadap kiblat berdasarkan hadis Ibn Umar katanya:
Adalah Rasulullah s.a.w. solat sedangkan ia mengadap dari Mekah ke Madinah atas
tunggangannya.
Supaya tidak ada lagi
(sebarang) alasan bagi orang-orang (yang menyalahi kamu), kecuali orang-orang
yang zalim di antara mereka (ada sahaja yang mereka jadikan alasan). Mujahid
berkata: Mereka adalah golongan musyrikin arab dan hujah mereka adalah
kenyataan mereka; kamu telah kembali ke arah kiblat kami
Dan sesungguhnya dijawab
daripada ini dengan firman Allah s.w.t. yang bermaksud: Katakanlah bagi Allah
lah yang mempunyai timur dan barat. Al-Syaukani berkata: Mereka adalah golongan
Yahudi dan dikehendaki dengan orang yang zalim ialah yang ingkar di kalangan
ahli kitab dan pendapat ini dipersetujui oleh al-Qurtubi.
Maka janganlah kamu takut
kepada (cacat cela) mereka, dan takutlah kamu kepada-Ku (semata-mata). Perasaan
takut asalnya ialah ketenangan pada hati yang membangkitkan untuk menjauhkan
segala larangan Allah sehingga boleh membawa kepada ringannya anggota badan
untuk melaksanakan ketaatan. Al-Qurtubi berkata: Makna ayat ini ialah merasa
hina bagi setiap makhluk selain Allah s.w.t. dan arahan untuk meraikan segala
arahan Allah.
Dan supaya Aku sempurnakan
nikmatKu kepada kamu, dan juga supaya kamu beroleh petunjuk hidayah (mengenai
perkara yang benar). Al-Zajjaj berkata: Supaya aku sempurnakan nikmat atas kamu
dengan cara aku memperkenalkan kepadamu kiblatku dan penyempurnaan nikmat ialah
hidayah dan petunjuk ke arah kiblat, dikatakan juga masuknya syurga. Sa`id bin
Jubair berkata: Tidak sempurna mendapati nikmat Allah atas seseorang hamba
sehingga dimasukkan ke dalam syurga.
Iktibar ayat:
Antara iktibar dan pengajaran
yang di ambil ialah:
1. Kiblat merupakan perkara
yang diserah kepada wahyu yang tidak boleh dibangkang berdasarkan logik akal.
2. Sifat muslim sejati ialah
berlumba-lumba dalam melaksanakan pelbagai jenis ketaatan.
3. Takut yang sebaik-baiknya
ialah kepada Allah yang membawa kepada keselamatan dan kebahagiaan dunia dan
akhirat. Natijah daripada takut kepada-Nya akan ditambah dan disempurnakan
nikmat dan hidayah.
- DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI
ialah pensyarah di Kolej Uniti, Seremban, Negeri Sembilan.
sumberArtikel
Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0913&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz4qCT9GoEa
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment