Ferzalfie Fauzi
ferzalfie@hmetro.com.my
BEREGU campuran negara terus
berada di landasan terbaik untuk cuba menepati sasaran yang ditetapkan
Persatuan Badminton Malaysia bagi meraih emas di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017
apabila Goh Soon Huat-Shevon Lai dan Chan Peng Soon-Cheah Yee Sea mara ke separuh
akhir, esok.
Pasangan ketiga negara Soon
Huat-Shevon tidak berdepan masalah untuk memenangi suku akhir, hari ini, di
Arena Axiata apabila menumpaskan Hong Nam Pham-Thi Phuong Hong Dinh dari
Vietnam 21-11, 21-15.
“Setakat ini permainan kami
semakin baik. Pada perlawanan pertama (semalam), kami hanya mencari rentak dan
hari ini ia adalah persediaan untuk aksi seterusnya selepas ini,” kata Shevon.
Soon Huat-Shevon yang juga
pilihan kedua akan berentap dengan gandingan Thailand Bodin Isara-Savitree
Amitrapai, esok.
“Sebelum ini kami pernah tumpas
dengan mereka (Kejohanan Badminton Asia) tetapi ketika itu kerana kurang
keyakinan dan tidak konsisten. Taktikal kami juga tidak begitu kemas ketika itu
dan kali ini kami akan buat yang terbaik untuk balas dendam,” katanya.
Sementara itu, Peng Soon-Yee
See akan berhadapan pilihan utama dari Thailand, Dechapol
Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai di separuh akhir.
Jika kedua-dua pasangan negara
berjaya mara perlawanan akhir, ia akan mengulangi pencapaian 1999 iaitu kali
terakhir beregu campuran meraih emas melalui Chew Choon Eng-Chor Hooi Yee yang
menumpaskan Rosman Razak-Norhasikin Amin.
SUMBERArtikel ini disiarkan
pada : Ahad, 27 Ogos 2017 @ 7:55 PM
No comments:
Post a Comment