20 Ogos 2017 12:00 PM
MUKADIMAH: SEBAGAI bekas
pengulas sukan terkenal di radio sejak 1959 dan televisyen 1965, beliau banyak
melihat turun naiknya prestasi dan kemajuan bola sepak negara.
Pada usia 78 tahun, tokoh ini
masih lagi mengikuti perkembangan terkini sukan bola sepak tanah air meski pun
sudah bersara sebagai pengulas sukan sejak 2006. Ikutilah temu bual wartawan
Mingguan Malaysia, SAHIDAN JAAFAR dengan Datuk Rahim Razali yang berkongsi
pengalaman pahit dan manis beliau sebagai pengulas sukan tersohor tanah air.
Rahim turut memberi pandangan
tentang kedudukan serta masa depan sukan nombor satu negara itu berbanding
ketika berada di puncak kegemilangan suatu ketika dulu.
MINGGUAN: Bagaimana karier
sebagai pengulas sukan mula menjadi sebahagian kerjaya selain meneruskan minat
sebagai pelakon, pengarah, penulis skrip dan dramatis terkenal tanah air?
RAHIM: Sebenarnya, kerjaya
sebagai pengulas sukan bermula sejak 1959 lagi selepas menamatkan pengajian
saya dalam tingkatan enam di Anderson School di Ipoh Perak. Ketika itu saya
tinggal dengan bapa saudara di Kuala Lumpur. Saya mencuba nasib memohon kerja
di Radio Malaya ketika itu. Televisyen belum ada.
Nasib saya baik, apabila diberi
tugas sebagai penolong penyiaran dan akhirnya diberi peluang sebagai penolong
pengulas sukan sementara di Radio Malaya. Itulah tuah saya. Pertama kali
bertugas pada tahun 1959 di Bangkok mengulas sukan SEAP yang pertama diadakan.
Itulah pertama kali saya ke luar negara. Sukan SEAP ini yang dianggotai enam
negara iaitu Malaya, Thailand, Burma Vietnam, Laos dan Kemboja kemudian
berkembang menjadi Sukan SEA.
Saya hanya sempat setahun
menjadi pengulas sukan sehinggalah tahun 1960 apabila meneruskan pengajian
peringkat ijazah di Australia. Selepas tamat pengajian di Melbourne selama lima
tahun, saya kembali menjadi pengulas sukan pada tahun 1965 untuk televisyen
yang baru dilancarkan ketika itu.
Kebetulan tahun itu saya diberi
tugas sebagai pengulas sukan SEAP ke-4 yang pertama kali diadakan di Kuala
Lumpur. Itu permulaan riwayat saya sebagai pengulas sukan televisyen
sehinggalah bersara pada tahun 2006. Kali terakhir saya mengulas semasa Sukan
Komanwel 1998 yang diadakan di Kuala Lumpur. Selepas itu saya teruskan kerjaya
sebagai pengacara sehingga tahun 2006.
Sebagai bekas pengulas sukan
terkenal selama lebih 30 tahun bagaimana perbezaan bolasepak negara sekarang
berbanding ketika era kegemilangan tahun 1970-an dan 1980-an?
RAHIM: Berbanding dengan
sukan-sukan lain seperti squash dan sukan renang, prestasi bola sepak negara
begitu jauh ketinggalan berbanding era 1970-an dan 1980-an ketika Malaysia
berjaya melahirkan bintang-bintang handalan seperti Mokhtar Dahari, Syed Ahmad,
Ghani Minhat, M Chandran, Soh Chin Aun, Santokh Singh, R. Arumugam serta
lain-lain.
Walhal dalam bidang sukan lain
kita boleh meningkat. Squash misalnya, Nicol David muncul jadi juara dunia.
Pandalela Rinong juga boleh menang pingat perak, gangsa dalam sukan renang.
Selepas Pandalela, Jun Hoong pula jadi ratu renang. Raih pingat emas dan muncul
juara dunia.
Tapi, kenapa dalam sukan bola
sepak kita tak ada pengganti? Itu yang saya hairan. Kenapa tidak ada pemain
yang berminat hendak jadi macam Mokhtar Dahari misalnya?
Bagaimana perkembangan prestasi
bola sepak Malaysia ketika itu berbanding sekarang?
RAHIM: Itulah persoalannya,
orang bertanya apa salahnya dengan bola sepak kita sekarang? Kenapa pasukan
yang dulu kita boleh pukul boleh kita belasah tapi sekarang ini boleh
membelasah kita pula! Bukan itu sahaja mereka juga sudah begitu maju.
Korea Selatan, Jepun misalnya
tidak pernah ketinggalan bertanding Piala Dunia. Bola sepak ke Olimpik juga
tidak ada masalah bagi mereka setakat melayakkan diri. Walhal kita, Piala Dunia
langsung tidak dapat dekat. Olimpik pula cuma dua kali layak iaitu 1972 dan
1980.
Apa sudah jadi dengan bola
sepak kita? Saya pun tidak tahu di mana silapnya. Saya pun tidak tahu di mana
perlu kita ubah sama ada dalam erti kata kemahuan dan semangat pemain
kebangsaan. Saya mengaku tak faham. Saya tidak ada formula.
Saya hanya sebagai pengulas
sukan saja. Soal-soal teknikal dan kejurulatihan ini bukan bidang saya. Tapi,
dari pemerhatian saya kita dah mundur.
Sebagai pengulas sukan, saya
banyak menyaksikan perlawanan dan aksi-aksi yang hebat melibatkan team Malaysia
era 1970-an dan 1980-an. Era itu pasukan Malaysia digeruni bukan sahaja di
peringkat Asia tetapi Malaysia pernah mengalahkan Arsenal pada Mei 1975 dan
seri dengan England B dalam perlawanan persahabatan pada Mei 1978 di Stadium
Merdeka.
Begitu juga Malaysia pernah
memenangi pingat emas Sukan SEA 1977. Itu emas pertama semasa Malaysia menjadi
tuan rumah. Kita berjaya kalahkan Thailand 2-1 dalam perlawanan akhir tersebut.
Bola sepak kita juga pernah menempa sejarah layak ke sukan Olimpik Munich 1972
dan Olimpik Moscow 1980. Itu semua sudah menjadi sejarah bola sepak bagi negara
kita.
Begitu juga pada Ogos 1976,
dalam kejohananan Pestabola Merdeka ke-20, Malaysia berjaya merampas semula
trofi kejuaraan yang hilang pada Korea Selatan pada tahun sebelumnya. Malaysia
berjaya mengalahkan Jepun 2-0 dalam perlawanan akhir.
Paling saya ingati apabila
Mokhtar diumumkan sebagai penjaring terbaik Asia sekaligus merampas gelaran itu
daripada penyerang Jepun, Kunishige Kamamoto. Era 1970-an, nama Kamamoto paling
digeruni di Asia. Itulah kejayaaan Malaysia begitu membanggakan yang mencatat
sejarah negara kita.
Boleh ceritakan antara
perlawanan yang paling meninggalkan kesan sehingga sekarang?
RAHIM: Bola sepak sebenarnya
memang banyak meninggalkan kenangan dalam hidup saya sebagai pengulas sukan
terutama sekali perlawanan persahabatan Malaysia dengan England B pada Mei 1978
yang berlangsung di Stadium Merdeka.
Ketika itu saya menjadi
pengulas perlawanan yang disiarkan secara langsung di televisyen dan radio.Saya
terkenang sangat perlawanan itu ialah sebab pertamanya ialah England B sifatkan
team Malaysia sebagai team kampungan.
Keduanya, cara Mokhtar Dahari
merembat gol sambil berlari begitu mengagumkan saya. Itu yang saya tak boleh
lupakan sampai sekarang. Masa itu, England B antara pasukan bola sepak terkuat
di Eropah.
Mereka datang ke Malaysia
membawa banyak pemain bertaraf profesional bahagian satu Liga Bola sepak
England. Kesudahannya Malaya seri 1-1 dengan England B.
Bagaimanakah corak permainan
Malaysia dalam perlawanan itu secara keseluruhan?
RAHIM: England B memang sebuah
pasukan yang kuat di bawah asuhan jurulatihnya, Bobby Robson. Mereka memang
bermain dengan begitu baik, teratur dan kemas. Kesebelasan team kita juga
bermain penuh kesungguhan, hantar bola tepat, mengejar sini, mengejar sana.
Permainan menyeluruh.
Begitu juga pertahanan kita
yang dikawal Chin Aun, Santokh Singh dan Jamal Nasir. Beberapa kali England B,
melakukan serangan bertubi-tubi ke atas pertahanan Malaysia tetapi berjaya
dipatahkan. Malaysia bermain cantik!
Apabila gol pertama England B
jaringan Allan Kennedy pada separuh masa pertama, corak permainan Malaysia mula
berubah rentak. Malaysia makin garang. Mokhtar Dahari berjaya melakuan beberapa
rembatan kencang tapi sayangnya dapat ditampan penjaga gol, Joe Corrigan,
antara pemain terbaik Eropah ketika itu.
Menariknya, ketika aksi
perlawanan separuh masa pertama hanya tinggal beberapa minit berbaki,Soh Chin
Aun berjaya mendapat bola, dan beliau terus berlari ke tengah padang
melorongkan untuk Bakri Ibni. Kemudian, Bakri tolak kepada Reduan Abdullah.
Reduan leret pula bola itu
kepada Shukur dan Shukur cuba dihalang pemain England B tapi berjaya
melorongkan bola itu kepada Mokhtar. Bila Mokhtar dapat bola, beliau pun
berlari dalam jarak 50 meter dari gol lawan, mengelecek pemain England B.
Sambil berlari, Mokhtar terus
merembat kencang dalam jarak 40 meter ke arah kanan pintu gawang dan gol! Bola
masuk menerjah sudut penjuru gol menewaskan Corrigan, penjaga gol Mancester
City yang rebah melepasi jangkauannya.
Fantastik! Bobby Robson amat
kecewa keputusan seri tetapi memuji Mokhtar Dahari sebab memiliki skil sebagai
seorang pemain yang layak memasuki mana-mana kelab bola sepak di England.
Cara Mokhtar mengelecek bola
kemudian melepaskan rembatan kencang 'on the run' itulah paling mengagumkan
saya. Bagi saya banyak perkara menarik dalam perlawanan ini sebagai seorang
pengulas sukan bola sepak tanah air.
Sebelum itu, Malaysia juga
pernah kalahkan Arsenal sebuah kelab bola sepak Divisyen Satu di England.
Pandangan tentang perlawanan persahabatan tersebut sebagai pengulas sukan?
RAHIM: Sama juga seperti
perlawanan dengan England B, pada minit-minit terakhir babak pertama, Mokhtar
tiba-tiba berjaya mendapat bola dan terus berlari merembat kencang menerjah ke
arah gol Arsenal menewaskan penjaga golnya, Geoff Barnett.
Pada babak kedua, Mokhtar
sekali lagi merembat masuk pada minit ke-77. Malaysia berjaya menewaskan
Arsenal 2-0.
Sebenaranya banyak lagi
babak-babak perlawanan menarik antara Malaysia yang pernah saya ulas di
televisyen tapi sekarang sudah banyak beransur-ansur hilang dari ingatan saya.
Di manakah silapnya bola sepak
negara kita?
RAHIM: Era 1990-an bermulanya
rasuah bolasepak di Malaysia. Itulah detik bermulanya dan petanda kejatuhan
bola sepak negara kita. Selepas itu, prestasi pasukan negara terus merudum.
Peminat bola sekarang pun sudah
berkurangan. Saya tidak nampak orang berlari macam Mokhtar Dahari di atas
padang. Bukan Mokhtar seorang saja. Yang lain-lain pun macam itu juga macam
Syed Ahmad. Cara mereka mengejar bola lain. Penuh bersemangat. Sekarang, saya
boleh nampak pemain macam tidak ada tenaga langsung dalam larian hendak kejar
bola! Mana benih-benih yang melahirkan Mokhtar?Kenapa berbeza sangat dengan
sifat-sifat senior mereka dulu? Cuba tanya balu Mokhtar? Bagaimana latihan yang
dijalankan? Mokhtar berlatih tanpa di suruh, berlari sekian jauh, exercise,
petang berlatih bersama pasukan Komitmen itu yang ramai tak ada.
Kesungguhan itu datang daripada
disiplin dan komitmen. Kenapa tidak ada kemahuan dalam diri untuk menang
seperti Mokhtar Dahari pernah tanam dalam dirinya? Mokhtar bila kalah,
menangis. Menangis yang real bukan dibuat-buat. Saya sendiri pernah nampak!
Sebab itu pemain kita tidak fit untuk bermain 90 minit. Itu beza corak pemain
bola sepak dulu dan sekarang.
Sumber-Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/rencana/utama/lahirkan-ramai-mokhtar-dahari-1.516901#ixzz4qHeAFupW
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment