Ad

Sunday, 27 August 2017

'Saya bukan superstar'

Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my
KEHADIRAN wira negara N Thanabalan di sebuah restoran di Shah Alam awal pagi tadi mencetuskan kekecohan.

Penyerang skuad bawah 22 tahun (B-22) negara itu datang ke restoran berkenaan itu bertemu dengan keluarganya selepas tamat perlawanan separuh akhir dengan Indonesia di Stadium Shah Alam.

Bagaimanapun sebaik menyedari kehadiran Thanabalan, semua pelanggan yang kebanyakannya datang selepas menyaksikan perlawanan itu bersorak dan mengucapkan tahniah atas kejayaan skuad muda negara mara ke final.

Kesempatan itu digunakan sebaik-baiknya untuk penyokong berswafoto dengan Thanabalan hinggakan dia tidak sempat duduk.

Bagi pemain berusia 22 tahun itu, dia tidak menganggap dirinya sudah bergelar bintang namun menghargai segala sokongan yang diberikan oleh penyokong.

“Saya terkejut juga bila masuk ke restoran ini, semua orang bersorak, rasa terharu pun ada. Saya datang nak bertemu dengan keluarga saya termasuk mak saya (Thiru Sundari) yang datang dari Seremban ke stadium tadi (semalam).

“Saya masih muda, banyak lagi saya kena belajar. Saya kena berusaha lebih keras untuk lebih berjaya. Saya bersyukur dengan apa yang saya capai ketika ini tapi saya tak anggap diri saya seperti ‘superstar’ (bintang) namun saya hargai segala sokongan yang diberikan,” katanya.

Kerana keadaan semakin sesak dengan ramai pelanggan mahu bertemu dengannya, Thanabalan terpaksa beredar bersama keluarganya ke tempat lain.

Thanabalan mendapat perhatian selepas menyumbat gol kemenangan ke atas Indonesia untuk membawa Malaysia ke final bertemu Thailand Selasa ini.

sumberArtikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Ogos 2017 @ 1:05 PM

No comments:

Post a Comment