ARKIB : 10/09/2006
NS Naza, Perlis ke final
Penjaga gawang Perlis, Tay Sin
Kiat (kanan) berjaya menepis bola dalam cubaan penyerang-penyerang Perak
menjaringkan gol dalam pertemuan separuh akhir kedua Piala Malaysia di Stadium
Perak, Ipoh, malam tadi. Gambar HANAFI KHAMIS.
KUALA LUMPUR - Dua musuh utama
Negeri Sembilan Naza dan Perlis bakal membuat perhitungan untuk menentukan
juara Piala Malaysia musim ini apabila mengatasi lawan masing-masing pada
saingan separuh akhir kedua, malam tadi.
Buat NS Naza yang kali terakhir
menjulang kejuaraan piala paling berprestij itu pada 1948, mengharungi laluan
mudah berbanding Perlis yang diheret hingga ke masa tambahan sebelum
mengesahkan kemaraan ke perlawanan akhir, Sabtu ini.
NS Naza tidak menghadapi
sebarang laluan getir apabila mudah menewaskan Telekom Melaka 2-0 hasil
jaringan dua bintang import mereka Christian Bekamenga dan Buston Brown.
Dua permata hitam Perlis,
Philimon Chepita dan Zachariah Simukonda menjadi pemusnah apabila dua gol
mereka membantu Singa Utara memahatkan kemenangan 2-1 menyingkirkan Perak.
Perlawanan akhir dijadualkan
berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil Sabtu ini.
Di Stadium Hang Jebat, Melaka
dua gol jaringan Bekamenga dan Brown memastikan kemenangan paling manis buat
juara Liga Super, NS Naza menewaskan Telekom Melaka 2-0.
Dua jaringan Bekamenga pada
minit ke-17 dan Brown pula menyusul di minit ke-51 meleburkan impian Telekom
Melaka yang bercita-cita ingin mengikut jejak langkah MPPJ yang muncul juara
pada 2003.
Skuad yang diterajui oleh
jurulatih K. Devan mara menerusi agregat 3-1 selepas kedua-dua pasukan terikat
dengan keputusan seri 1-1 pada saingan separuh akhir pertama minggu lalu.
Kemenangan itu sekali gus
mengetepikan impian tinggi Telekom Melaka yang berhajat ingin beraksi dalam
perlawanan akhir.
Buat NS Naza kali terakhir
mereka melangkah ke perlawanan akhir pada tahun 2000 dan menjulang piala
berprestij itu pada 1948.
Di Stadium Perak pula, gol
kemenangan jaringan Simukonda pada minit ke-101 di masa tambahan memastikan
kemaraan kedua berturut-turut Perlis apabila mengalahkan Perak 2-1.
Kedua-dua pasukan terikat 1-1
selepas tamat 90 minit memaksa perlawanan diheret hingga ke masa tambahan.
Namun pada minit ke-101 menjadi
jarak pemisah buat Perlis melangkah ke akhir apabila Simukonda mudah menguis
bola masuk dalam keadaan kelam kabut di depan pintu gol Perak.
Perak membuka jaringan menerusi
rembatan kencang Wong Sai Kong pada minit ke-76 sebelum Perlis menyamakan
kedudukan hasil tandukan kencang Philimon Chepita pada minit ke-84.
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0910&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4qCN4EgTI
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment