Keyakinan rangkul juara dunia
selepas gagal lapan percubaan
Lee Chong Wei
SELEPAS ‘menempuh’ beberapa
kali kegagalan, Lee Chong Wei mahu memastikan Kejohanan Dunia kali ini langkah
merangkul juara dunia.
11 Ogos 2017 3:00 AM
KUALA LUMPUR 10 Ogos –
Mengenali Datuk Lee Chong Wei, dia tidak pernah menolak setiap kali diminta
mengulas mengenai lawannya atau perancangan menghadapi Kejohanan Badminton
Dunia.
Bagaimanapun hari ini, bekas
pemain nombor satu dunia itu enggan mengulas ketika ditanya potensi menentang
jaguh China, Chen Long seawal peringkat suku akhir dalam Kejohanan Dunia di
Glasgow, Scotland pada 21 hingga 27 Ogos ini.
Pemenang tiga pingat perak
Sukan Olimpik itu juga seakan cuba mengelak menjawab soalan media mengenai
pandangannya terhadap undian oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) di sini
semalam.
“Saya tidak mahu ulas mengenai
lawan atau macam mana saya mahu ke final, sebaliknya akan beri tumpuan
perlawanan demi perlawanan.
“Kejohanan dunia adalah
kejohanan yang besar, jadi saya perlu tenang dan menjaga pemakanan, kesihatan
selain dapatkan rehat yang cukup,” katanya ketika ditemui dalam majlis
perhimpunan bulanan pertama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) di Akademi
Badminton Malaysia di Bukit Kiara, di sini hari ini.
Biarpun bakal berdepan tugas
getir di Glasgow, Chong Wei yang menjangkau usia 35 tahun pada 21 Oktober ini
tetap yakin mengenai peluang terbaiknya merangkul kejuaraan dunia buat kali
pertama selepas gagal dalam lapan percubaan terakhir.
“Ini adalah peluang saya untuk
menjadi juara dunia. Ini impian saya dan saya sudah banyak kali gagal,” katanya
yang tewas kepada Lin Dan dan Chen Long dalam empat final Kejohanan Dunia
sebelum ini.
Mengikut undian oleh BWF, Chong
Wei akan memulakan kempen dengan menentang pemain Perancis, Brice Leverdez, dan
jika mara ke pusingan kedua, dia bakal bertemu sama ada Misha Zilberman dari
Israel atau pemain Croatia, Zvonimir Durkinjak.
Ujian sebenar Chong Wei hadir
pada pusingan ketiga apabila dijangka berdepan pilihan ke-10, Tian Houwei dari
China, sebelum Chen Long, pemain yang mengalahkannya dalam final Sukan Olimpik
tahun lalu dan Kejohanan Dunia 2015 adalah calon menanti di suku akhir.
Sumber-Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/sukan/badminton/peluang-chong-wei-rangkul-juara-dunia-1.513694#ixzz4qBxBYrFx
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment