Isnin, 28 Ogos 2017 | 5:18pm
KAPTEN skuad B-22 negara, Adib
Zainudin menjalani latihan bersama rakan sepasukan menjelang pentas final bola
sepak lelaki Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 bertemu Thailand di Stadium Shah Alam,
malam esok. - Foto Owee Ah Chun
KL2017: Emosi, semangat di
tahap terbaik - Adib
Oleh Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my
SHAH ALAM: Tiada hadiah paling
manis sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-60 negara, selain memenangi ibu
segala pingat, andai skuad muda negara kendalian Datuk Ong Kim Swee dapat
menewaskan Thailand di pentas final di Stadium Shah Alam, malam esok.
Ia diakui sendiri kapten negara
Adib Zainudin yang percaya semangat luar biasa kini meresap dalam diri semua
pemain menjelang pertemuan dengan juara bertahan itu.
"Saya dan rakan-rakan
dalam tahap terbaik, emosi dan semangat yang luar biasa. Di harap elemen
positif ini dalam diteruskan sehingga ke final.
"Thailand pasukan yang
hebat di Asia Tenggara dan semua pasukan nak mengalahkan mereka. Saya harap
kami dapat berusaha sehabis baik di final nanti," kata tonggak pertahanan
itu.
Malaysia kini hanya selangkah
untuk mengulangi kejayaan di Jakarta 2011 apabila mara ke final selepas
menewaskan Indonesia 1-0 di separuh akhir, Sabtu lalu.
Malah anak buah Kim Swee
cemerlang dengan rekod bersih empat kemenangan berturut-turut ke atas Brunei,
Singapura, Myanmar dan Laos, untuk muncul juara Kumpulan A.
Ini final ke-12 Malaysia sejak
Sukan SEA 1959 dan final kelima bertemu Thailand dengan rekod memihak kepada
pasukan lawan yang mencatat tiga kemenangan dan kalah sekali.
Paling mengecewakan apabila 16
tahun lalu di venue yang sama, Malaysia tewas 0-1 kepada skuad Gajah Perang itu
dan Adib percaya, ini detik terbaik untuk mereka menamatkan igauan buruk dengan
Thailand.
"Rekod sebelum ini tidak
begitu memihak kepada kita. Malah ketika kelayakan AFC (B-23) di Bangkok bulan
lalu, kita juga tewas (0-3). Tapi kali ini kita menjadi tuan rumah, jadi ini
peluang terbaik untuk balas dendam," kata pemain FELCRA FC itu.
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE Isnin,
28 Ogos 2017 | 5:18pm
No comments:
Post a Comment