ARKIB : 17/09/2006
Singa Afrika julang Perlis
Oleh: AMRAN MULUP, JOHARI
SHAWAL dan NORZIE KHASBI
PENYERANG Perlis, Philimon
Chipeta (kanan) menari sambil diraikan oleh rakan-rakannya selepas menjaringkan
gol pertama pasukannya pada perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Nasional
Bukit Jalil, Kuala Lumpur, malam tadi.
KUALA LUMPUR - Tangan ajaib
serta sentuhan Adrien Jurad Chamrong menjadi nadi buat Philimon Chipeta dan
Zacharia Simukonda menjaringkan gol kemenangan membantu Perlis menjuarai Piala
Malaysia Edisi Ke-38 menewaskan Negeri Sembilan Naza 2-1 pada perlawanan akhir
di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.
Buat Perlis kemenangan ini
adalah buat kali kedua dalam sejarah mendakap piala paling berprestij dengan
kemaraan ke perlawanan akhir buat kali ketiga berturut-turut, sekali gus
memadamkan impian NS Naza mahu menamatkan kemarau 58 tahun menjulang piala
tersebut pada 1948.
Di hadapan kira-kira 40,000
penyokong melihat kehebatan skuad Singa Utara yang juga naib juara Piala FA
mendominasi perlawanan sejak dari babak bermula namun kebangkitan NS Naza di
lewat permainan sudah terlambat.
Gol pertama Singa Utara hadir
mengimbas situasi yang sama diilhamkan oleh Jurad Chamrong menerusi lontaran ke
dalam dari jarak terus menerjah jaring ketika Perlis dinobatkan selaku juara
Piala Malaysia pada 2004 menewaskan Kedah 1-0.
Kelibat Jurad Chamrong sekali
lagi menepati sasaran apabila sepakan percuma pada minit ke-76 mudah ditanduk
kencang oleh Simukonda memahatkan kemenangan paling manis buat Perlis bagi
musim 2005-2006
Hanya tiga minit permainan
bermula Perlis lebih pantas mencipta jaringan menerusi tandukan Philimon
Chipeta menewaskan penjaga gol NS Naza, Azizon Abd. Kadir.
Berpunca daripada lontaran jauh
ke dalam oleh Adrien Jurad Chamrong tepat ke arah Chipeta yang terus menanduk
masuk mengenai tiang sebelum bola bergolek masuk menggegar jaring.
NS Naza yang tersentak dengan
jaringan tersebut cuba mencari gol penyamaan menerusi gandingan Christian
Bekamenga dan Buston Brown tetapi sukar menembusi benteng mantap skuad Singa
Utara.
Sebaliknya Perlis jelas
menonjol menguasai pentas saingan dengan kelincahan Chipeta dan Zacharia
Simukonda sering mencemaskan benteng pertahanan lawan.
Pada minit ke-59 Chipeta sekali
lagi hampir-hampir menambah gol kedua Perlis apabila sepakan kencangnya berjaya
ditampan keluar oleh Azizon.
NS Naza berpeluang menyamakan
kedudukan pada minit ke-70 namun sepakan kencang Brown ditepis keluar oleh Tay
Sin Kiat.
Pada minit ke-76 Perlis
menambah cengkaman apabila giliran Simukonda menanduk masuk gol kedua namun NS
Naza merapatkan jurang dengan gol dihasilkan pada minit ke-82 hasil jaringan
Christian Bekamenga.
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0917&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4qDNIHHah
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment