Ad

Friday, 25 August 2017

Safawi tak sabar

Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my
 
SELEPAS direhatkan dalam perlawanan terakhir Kumpulan A menentang Laos, penyerang negara Safawi Rasid tidak sabar untuk beraksi semula dalam perlawanan cukup getir berdepan Indonesia pada separuh akhir acara bola sepak Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 di Stadium Shah Alam, esok.

Pemain berusia 20 tahun itu berkata, dua gol yang disumbangkan dalam saingan peringkat kumpulan sebelum ini belum cukup memuaskan hatinya kerana misinya kini adalah untuk menewaskan Indonesia bagi meraih tiket ke final.

“Saya direhatkan sebelum ini dan saya rasa sudah cergas sepenuhnya dan berada di tahap terbaik untuk diturunkan menentang Indonesia,” katanya.

Safawi antara pemain paling konsisten dalam skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee setakat ini.

Selain menyumbat satu gol ketika menewaskan Brunei 2-1 dan Myanmar 3-1, kepantasan dan kelincahannya mengelecek pemain lawan adalah senjata utamanya serta memiliki rembatan kaki kiri yang padu.

Pemain kelahiran Terengganu yang kini mewakili Johor Darul Ta’zim (Johor DT) itu dijangka bergandingan bersama Jafri Firdaus Chew dan N Thanabalan untuk menggempur kubu Indonesia.

“Kita pernah bertemu dengan Indonesia di kelayakan AFC di Bangkok sebelum ini. Walaupun kita menang, kita tak boleh terlalu yakin.

“Kita kena main seperti biasa dan memang saya mahukan kemenangan ke atas Indonesia untuk ke final,” katanya.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Ogos 2017 @ 6:04 PM

No comments:

Post a Comment