Ad

Wednesday, 16 August 2017

Goal shooter Malaysia cemerlang



Oleh MUHD. ARDIE PUTRA SUHAIMI
 
NORASHIKIN (kiri) beraksi cemerlang di posisi goal shooter ketika menewaskan Brunei di Stadium Juara, Bukit Kiara, Kuala Lumpur semalam.

PENGENDALI skuad bola jaring kebangsaan, Tracey Robinson (gambar kecil)mengakui ‘pening kepala’ untuk meletakkan pemain di posisi penjaring gol utama (goal shooter) menjelang aksi bertemu Singapura pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) di Stadium Juara, Bukit Kiara hari ini.

Sebagai rekod, pasukan negara berjaya menjinakkan Brunei dengan keputusan 64-27 pada aksi kedua semalam yang menyaksikan Norashikin Kamalzaman diberi peranan selaku penjaring gol utama dengan mengambil posisi An Najwa Azizan yang turut beraksi cemerlang ketika bertemu Thailand kelmarin.

“Norashikin menunjukkan prestasi yang cukup memberangsangkan hari ini (semalam) dengan menjadi penyumbang mata utama. Malah, dia memiliki ketinggian 186 sentimeter yang memberi kelebihan buat pasukan khususnya di bahagian serangan.

“Namun, pujian juga harus diberikan kepada beberapa pemain di bahagian sayap yang memberi sokongan selain menunjukkan persefahaman baik seperti S. Shandralelka dan Izyan Syazana.

“Saya tidak boleh tentukan siapa yang bakal beraksi di posisi goal shooter memandangkan Najwa memiliki kualiti tersendiri ketika membantu kami menewaskan Thailand pada aksi pertama sebelum ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas tamat perlawanan semalam.

Pada perlawanan tersebut, pasukan pelawat berjaya memberi tekanan pada suku masa pertama yang menyaksikan Malaysia hanya mendahului 18-9. Namun, kelebihan mata semakin dijarakkan pada suku masa ketiga (47-21) sebelum menamatkan perlawanan dengan keputusan 64-27.

“Saya akui Brunei turut beraksi dengan cemerlang dan memberi cabaran di luar jangkaan. Bagaimanapun, strategi yang dirancang oleh kami agak menjadi , malah pemain menunjukkan persefahaman yang jitu dalam gelanggang.

“Cuma, saya tidak mahu pemain terlalu berpuas hati kerana masih banyak aspek teknikal yang boleh diperbaiki sekiranya berhajat untuk menang esok (hari ini),” kata pengendali kelahiran Australia itu.

Sementara itu, Ashikin mengakui sangat lega dapat menunaikan tanggungjawab dengan cemerlang selain dapat menguji keupayaan diri menentang pasukan Brunei yang dilihat menunjukkan aksi yang cukup baik.

“Ini bukan aksi yang mudah tetapi saya gembira dapat membantu pasukan meraih kemenangan. Saya harap kami dapat meneruskan momentum kerana esok kita akan berdepan dengan Singapura yang merupakan pencabar terkuat kami.

“Jika diberi peluang oleh jurulatih untuk beraksi esok, saya akan bersedia. Namun, saya akui segalanya bergantung pada strategi yang bakal di­corakkan oleh jurulatih nanti,” kata pemain berusia 23 tahun itu.

Dalam satu lagi perlawanan semalam, pasukan Thailand bangkit daripada kekalahan kepada Malaysia apabila berjaya menewaskan Filipina dengan keputusan 86-16. Fi­lipina dijadualkan bertemu dengan Brunei hari ini.

SUMBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2017&dt=0816&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4pvmNKQXa
Hakcipta terpelihara

No comments:

Post a Comment