Myanmar akui Malaysia kuat
Pemain Myanmar, Aung Thu
(kanan) mengasak pemain Brunei, Suhaimi Anak Sulau dalam perlawanan yang
menyaksikan Myanmar membelasah Brunei 6-0 pada saingan bola sepak Kumpulan A di
Stadium UiTM Shah Alam, semalam.
19 Ogos 2017 3:00 AM
SHAH ALAM 18 Ogos - Biarpun
telah mengesahkan tiket ke peringkat separuh akhir Sukan SEA namun pengendali
skuad bawah 22 (B-22) Myanmar, Gerd Zeise tetap menganggap pertemuan menentang
Malaysia penting.
Myanmar bertemu Malaysia di
Stadium Shah Alam Isnin ini dan pengendali dari Jerman itu tetap mahukan tiga
mata dalam usahanya untuk muncul juara Kumpulan A. Myanmar mengesahkan tiket ke
separuh akhir selepas membelasah Brunei 6-0 di Stadium UiTM, Shah Alam hari
ini.
“Kemenangan yang mudah. Apa
yang penting pada hari ini adalah kami telah pun mengesahkan tiket ke separuh
akhir. Tidak perlu tunggu sehingga perlawanan menentang Malaysia.
“Kami ada masa dua hari untuk
kembali pulih sebelum menentang Malaysia. Pertemuan menentang Malaysia amat
penting bagi menentukan pasukan mana yang akan muncul juara kumpulan,” katanya
kepada pemberita selepas perlawanan di Stadium UiTM, Shah Alam hari ini.
Mengulas lanjut mengenai rekod
pertemuan terakhir menentang Malaysia pada 13 Julai lalu yang berkesudahan
Myanmar tumpas 2-0, Zeise tidak melihat keputusan tersebut sebagai satu jaminan
sebaliknya beranggapan pasukan tuan rumah lebih tertekan memandangkan mereka
sudah pun layak ke separuh akhir.
“Saya fikir anda tidak boleh
menjadikan keputusan perlawanan tersebut sebagai rujukan untuk pertemuan kami
pada Isnin depan kerana itu perlawanan yang berbeza dan sekarang kita berada
dalam kejohanan.
“Saya tahu Malaysia pasukan
yang kuat, tersusun serta memiliki pemain tengah serta penyerang yang berbahaya
dan pastinya aksi tersebut sengit. Bagaimanapun, bezanya kami tiada tekanan
sekarang sebab sudah ada sembilan mata dan sudah pun sah ke separuh akhir,”
katanya.
Sumber-Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/myanmar-akui-malaysia-kuat-1.516507#ixzz4qC7wY4QA
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment