ARKIB : 28/08/2006
KUALA LUMPUR Hajat pemain
veteran negara, Mohd. Roslin Hashim untuk merangkul kejuaraan antarabangsa
pertama dalam tempoh lima tahun tidak kesampaian apabila kecundang kepada jaguh
muda China, Bao Chunlai pada perlawanan akhir kejohanan badminton Terbuka
Korea, semalam.
Roslin, 31, yang mengejutkan
pilihan pertama dan rakan senegara, Lee Chong Wei pada pusingan kedua, selain
menewaskan pemenang pingat perak Sukan Olimpik Athens 2004, Shon Seung-mo dari
Korea di separuh akhir tewas 18-21, 16-21 dalam masa 28 minit.
Kekalahan tersebut bukan saja
melebarkan rekod tanpa kalah Chunlai ke atas jaguh Nusa Mahsuri itu, malah
melebarkan kemarau tanpa kejuaraan yang dialami Roslin sejak 2001.
Kemenangan terakhir Roslin
adalah merangkul pingat emas pada Sukan SEA 2001, selain muncul juara Terbuka
Jepun dan Switzerland 2001, tahun yang menyaksikan dia pernah menduduki ranking
nombor satu dunia selama dua minggu.
Bagi Chunlai, ini merupakan
kejuaraan antarabangsa pertamanya tahun ini, sekaligus menjadikan pemain itu
sebagai antara pilihan utama apabila turun beraksi pada Kejohanan Dunia di
Madrid, bulan depan.
Sementara itu kombinasi pemain
veteran, Tony Gunawan-Candra Wijaya terbukti masih berbisa apabila menjuarai
acara beregu lelaki selepas mengecewakan gandingan tuan rumah, Lee Jae
Jing-Hwang Ji Man 21-18, 21-18.
Tony, yang juga penyandang
juara dunia bersama Howard Bach beraksi di bawah bendera Amerika Syarikat,
manakala Candra mewakili Indonesia.
Seperti yang dijangkakan, China
mengekalkan dominasi mereka dalam saingan wanita apabila menjuarai acara
perseorangan dan beregu.
Juara Terbuka Thailand, Lu Lan
mengalahkan rakan senegara dan pemain nombor lapan dunia, Zhu Lin 21-18, 21-11
untuk muncul juara perseorangan.
Pilihan pertama, Yang Wei-Zhang
Jiewen pula tidak menghadapi masalah untuk menundukkan pasangan Indonesia, Jo
Novita-Gresya Polii 21-10 21-11 dalam acara beregu.
Indonesia pula membawa pulang
kejuaraan beregu campuran menerusi pasangan Nova Widianto-Lilyana Natsir yang
menewaskan beregu Denmark, Jens Eriksen-Mette Schjoldager 23-21, 21-18.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0828&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4om4aIlFc
No comments:
Post a Comment