Ad

Sunday, 27 August 2017

Ayuh padam luka 16 tahun lalu!

Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my
 
BEKAS penyerang bola sepak kebangsaan Akmal Rizal Ahmad Rakhli berharap skuad bawah 22 tahun (B-22) negara kendalian Datuk Ong Kim Swee dapat menebus kekecewaan final Sukan SEA Kuala Lumpur 2001.

Beliau berkata, kekalahan 0-1 kepada Thailand, 16 tahun lalu, itu adalah antara yang perit dalam kariernya tetapi dia percaya pemain muda negara boleh melakukan lebih baik apabila bertemu juara bertahan itu sekali lagi di pentas akhir di Stadium Shah Alam, Selasa ini.

“Aksi final ini kalau diikutkan kekuatan pemain kedua-dua pasukan sama. Pada aksi separuh akhir bertemu Myanmar, Thailand tidak terlalu kuat tapi Malaysia juga ada beberapa kelemahan yang perlu diatasi terutama di bahagian tengah agak longgar.

“Saya ingatkan kepada pemain supaya bersabar, jangan terlalu memikirkan untuk jaringkan gol dan cepat hilang bola.

“Kita boleh berasa yakin tetapi bukan terlampau yakin dan jika pemain boleh berikan aksi terbaik, Insya-Allah kita boleh menang emas kali ini,” katanya ketika dihubungi Arena Metro, hari ini.

Malaysia layak ke final Sukan SEA buat kali ke-12 sejak 1959 selepas menewaskan Indonesia 1-0 pada aksi separuh akhir di Stadium Shah Alam, semalam.

Ini kali kelima skuad negara membuat perhitungan bagi pingat emas dengan Thailand selepas 1975, 1977, 1981 dan 2001 dengan rekod satu kemenangan dan tiga kalah.

Akmal yang menjaringkan satu gol ketika menewaskan Indonesia 2-1 untuk mengesahkan tempat ke final Sukan SEA 2001 mengingatkan pemain supaya mengelak daripada melakukan kesilapan.

“Pada aksi final dengan Thailand, kami diberi harapan tinggi sebab kami tidak pernah kalah dari pusingan awal. Tetapi pada final, kami bermain dengan baik cuma kesilapan minit akhir menghukum kami,” katanya yang pernah beraksi dengan kelab Perancis, RC Strasbourg pada 1999-2001.

Pada final 2001, Malaysia dikecewakan dengan jaringan Sarawut Treephan tiga minit sebelum perlawanan tamat di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

SUMBERArtikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Ogos 2017 @ 4:15 PM

No comments:

Post a Comment