PEMAIN negara, Puah Pei San
dihalang pemain Filipina pada aksi terakhir peringkat kumpulan acara bola
jaring di Stadium Juara, Bukit Kiara semalam yang menyaksikan Malaysia menang
96-11.
SKUAD bola jaring negara
menepati ramalan selepas mengaibkan Filipina 96-11 pada aksi terakhir peringkat
kumpulan saingan Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur (KL2017) di Stadium Juara, Bukit
Kiara semalam.
Pada perlawanan tersebut,
pengendali negara, Tracey Robinson membuat beberapa rombakan dengan merehatkan
penjaring gol utama, An Najwa Azizan selain menyenaraikan pemain yang jarang
diturunkan seperti Nur Syafazliyana Mohd. Ali dan Siti Nor Farhana Mustafa.
“Kami mempunyai strategi yang
berbeza pada perlawanan ini dengan menyenaraikan beberapa pemain baharu yang
sebelum ini tidak diturunkan. Kami juga memberi peluang kepada Nurashikin
(Kamalzaman) untuk mengisi posisi selaku penjaring gol.
“Secara peribadi, pemain yang
diturunkan hari ini mempamerkan aksi cukup memberangsangkan selain mengikut
strategi yang diaturkan dengan baik. Saya tidak terlalu memikirkan jumlah
jaringan kerana apa yang penting adalah keserasian pemain.
“Mengenai Najwa, saya rasa dia
perlu direhatkan tetapi bola jaring tidak terlalu fokus kepada individu. Pada
saya, pasukan ini memiliki empat goal shooter terbaik yang saya yakin tidak
mempunyai masalah untuk mencetak 80 hingga 90 gol dan ia terbukti hari ini,”
katanya ketika ditemui pemberita semalam.
Dalam perkembangan sama, Najwa
mengakui dia tidak terlalu memikirkan perebutan untuk mengisi posisi selaku
penjaring gol utama pada aksi separuh akhir nanti kerana percaya dengan
percaturan yang dirancang oleh Tracey.
“Saya yakin dengan strategi
yang dibuat oleh jurulatih, kami sentiasa tampil mantap dalam setiap
perlawanan. Seperti perlawanan hari ini (semalam), walaupun direhatkan pasukan
masih berjaya menang dengan jurang gol yang besar.
“Ini membuktikan bahawa pasukan
ini sangat konsisten tidak kira siapa sahaja yang bakal diturunkan. Malah, saya
dan rakan-rakan sepasukan saling menyokong antara satu sama lain,” kata pemain
berusia 21 tahun itu.
Kemenangan tersebut membolehkan
pasukan yang mendapat gelaran juara Asia tahun lalu itu membuat perhitungan
semula dengan Brunei yang menduduki tangga keempat di pentas separuh akhir hari
ini
SUMBER-Artikel Penuh:
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2017&dt=0819&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4qBe5tPnh
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment