Jumaat, 18 Ogos 2017 | 5:25pm
JURULATIH skuad bawah 22 tahun
negara (B-22), Datuk Ong Kim Swee. - Foto Hasriyasyah Sabudin
Pemain sempat cergas temu
Myanmar: Kim Swee
Oleh Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my
SHAH ALAM: Jurulatih skuad
bawah 22 tahun negara (B-22), Datuk Ong Kim Swee tidak bimbang dengan tahap
kecergasan tiga tonggak pertahanan menjelang pertemuan menentang Myanmar dalam
kempen Kumpulan A, di Stadium Shah Alam, Isnin ini.
Kim Swee menerapkan formasi
3-4-3 dalam dua aksi awal, ketika menang 2-1 ke atas Brunei dan Singapura -
menyaksikan tiga pemain pertahanan, Adib Zainuddin, Irfan Zakaria dan Adam Nor
Azlin sudah beraksi lebih 180 minit.
Bagaimanapun, bekas pengendali
Harimau Malaya itu percaya pemainnya memiliki tempoh rehat yang cukup untuk
kembali di tahap terbaik sebelum berdepan Myanmar.
"Tiada pemain yang cedera
ketika ini. Adib, Irfan dan Adam sedikit keletihan selepas beraksi dalam dua
perlawanan tetapi itu bukan masalah kerana kita ada tempoh rehat yang
mencukupi," katanya kepada Arena Metro, semalam.
Kim Swee sudah menggunakan 20
pemainnya dalam dua perlawanan termasuk pemain paling muda, Akhyar Rashid yang
masuk pada 10 minit terakhir ketika bertemu Singapura, kecuali pemain pertahanan,
Syazwan Zaipol yang masih belum diuji.
"Saya sudah ada bayangan
skuad terbaik untuk beraksi menentang Myanmar tetapi saya masih menilai
prestasi semua pemain. Setakat ini saya sempat menurunkan semua pemain, kecuali
Syazwan," katanya.
Kemenangan ke atas Myanmar
cukup penting untuk menjamin tempat ke separuh akhir serta berpeluang untuk
muncul juara kumpulan A, namun ia bukan tugas mudah menentang skuad naib juara
edisi terakhir di Singapura itu.
"Kita perlu perbaiki
kelemahan, memang pertahanan kita dibolosi dua gol sebelum ini atas kesilapan
sendiri.
"Bahagian serangan juga
perlu lebih tajam untuk memanfaatkan peluang supaya kita tidak tertekan,"
kata Kim Swee yang membimbing skuad muda negara memenangi pingat emas Sukan SEA
di Jakarta pada 2011.
Sumber berita Harian online Jumaat,
18 Ogos 2017 | 5:25pm
No comments:
Post a Comment