Ad

Friday, 4 August 2017

Norizan tidak kecewa

ARKIB : 29/08/2006
KUALA LUMPUR – Malaysia tewas 1-2 kepada Myanmar sekali gus gagal ke perlawanan akhir namun jurulatih Norizan Bakar tetap berpuas hati dengan corak persembahan anak didiknya.

‘‘Kita mendominasi perlawanan dan banyak mencipta peluang untuk menjaringkan gol tetapi malangnya gandingan serangan gagal menyempurnakan banyak peluang yang ada.

‘‘Tidak ada gunanya kita sekadar mendominasi perlawanan jika gandingan serangan gagal mencipta jaringan,’’ ujar Norizan mengulas mengenai kekalahan skuad bimbingannya kepada Myanmar kelmarin.

Norizan jelas tampak hampa kegagalan jentera serangan diketuai oleh Indra Putra Mahayuddin dan Saramsak Kram meledakkan jaringan ketika peluang hadir di depan pintu gol lawan silih berganti.

Skuad kebangsaan kelihatan gagah di awal babak pertama apabila Indra Putra membuka jaringan pada minit ke-13 menerusi sepakan penalti.

Namun dua gol Myanmar menerusi Kyaw Thu Ra (m-52) dan Soe Myat Min (m-58) memadamkan terus harapan Malaysia layak ke akhir hari ini.

Menurut beliau, walaupun gagal ke perlawanan akhir namun tahap persembahan anak didiknya telah menunjukkan peningkatan.

Ujarnya, pemain skuad kebangsaan hanya dikumpul dalam tempoh dua minggu berbanding Myanmar selama dua bulan untuk menghadapi Pesta Bola Merdeka.

Beliau berkata, walaupun dalam tempoh yang singkat pemain kebangsaan dikumpul tetapi mereka masih mampu bersaing seri 1-1 dengan Indonesia dan menewaskan Thailand 2-1.

‘‘Bagi saya daripada tiga perlawanan, ini telah memberi gambaran sebenar kelemahan dan kekuatan skuad kebangsaan terutama menghadapi Sukan Asia di Doha Disember ini dan Piala Asia tahun depan.

‘‘Apa yang penting skuad kebangsaan perlu diberikan lebih banyak pendedahan perlawanan antarabangas untuk memantapkan pasukan.

‘‘Walau apa pun kritikan dan cemuhan ekoran kekalahan skuad kebangsaan bagi saya secara keseluruhannya saya puas hati dengan komitmen dan kesungguhan pemain,’’ ujarnya lagi.

Biarpun begitu Norizan tetap yakin skuad yang ada ini mampu membawa cabaran buat mengharungi Sukan Asia di Doha dan menghadapi pusingan akhir Piala Asia tahun depan.



SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0829&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4om7NZiul

© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment