ARKIB : 27/08/2006
Oleh: DR. ASYRAF WAJDI DUSUKI
Khamis ini kita akan menyambut
ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-49. Dalam usia kemerdekaan yang masih
boleh dianggap terlalu muda ini, pastilah memerlukan setiap warga untuk
sentiasa bermuhasabah dan menilai secara objektif akan makna kemerdekaan
sebenar.
Yang pasti hari kemerdekaan
yang disambut saban tahun bukan sekadar rutin tahunan tanpa makna dan haluan.
Ia juga bukan setakat upacara riuh-rendah pengibaran Jalur Gemilang tanpa
tujuan. Lebih malang lagi jika hari penuh bersejarah ini hanya dipenuhi dengan
gegak-gempita pesta-pestaan yang tercabut akar budaya dan nilai-nilai
keagamaan.
Persoalannya apakah selepas 49
tahun merdeka, rakyat benar-benar bebas daripada belenggu kongkongan dan
penjajahan? Apakah kemerdekaan yang ditebus daripada penjajah Barat benar-benar
telah membenamkan saki-baki jiwa hamba dalam diri setiap warganegara?
Dari satu sudut, masyarakat
hari ini boleh dianggap bebas daripada belenggu penjajahan fizikal, namun jiwa
dan pemikiran mungkin masih lagi terbelenggu dan terjajah. Penjajahan Barat
yang berlangsung lebih 400 tahun rupa-rupanya telah berjaya membiakkan sejenis
penyakit jiwa hamba di kalangan sebahagian umat kita.
Jiwa hamba yang masih
mencengkam inilah yang membuka jalan kepada proses penjajahan budaya hingga
lahirnya generasi pengagum budaya bekas tuannya. Ketaksuban mendaulatkan budaya
asing telah merubah keperibadian mereka kepada gaya hidup hedonistik melampau,
keseronokan rakus, hiburan melulu hingga mengakar sikap materialistik dan
individualistik dalam diri.
Natijahnya lahirlah
manusia-manusia sintetik (tiruan) yang terhakis jati diri dan terputus akar
budaya Melayu-Islam. Pemikiran dan perawakan lebih bercitrakan Barat hingga
membudaya gaya hidup sintetik dalam pelbagai bidang - muzik, filem, fesyen dan
lain-lain. Apa sahaja yang didatangkan dari Barat dianggap memenuhi citra
kemodenan sebaliknya budaya sendiri diremehkan.
Tidak hairanlah jika hari ini
wujud sikap memperlekehkan budaya hatta bahasa sendiri lantaran terlalu taksub
pada pemikiran, gaya hidup dan cita rasa keinggerisan. Budaya yang tidak lagi
berakar kepada akidah turut menatijahkan pelbagai gejala sosial dan keruntuhan
akhlak yang serius di kalangan muda-mudi.
*Membunuh
Anak tidak lagi menghormati
orang tua, pelajar mengugut guru, malah ada remaja yang sanggup membunuh atau
mencederakan sesiapa sahaja yang didendami demi memuaskan gelodak nafsu yang
tidak terbimbing dengan norma tauhid dan nilai-nilai keislaman sejati.
Menyedari kegawatan inilah maka
usaha mencanai jiwa merdeka harus disemarakkan di kalangan generasi muda kini.
Bangsa yang berjiwa merdeka adalah bangsa yang sensitif dengan maruah dan
martabatnya. Mereka tahu mahalnya harga maruah dan martabat hingga sanggup
mempertahankannya. Bangsa berjiwa merdeka juga adalah bangsa yang kaya dengan
cita-cita dan daya usaha. Mereka tahu apa yang harus dikerjakan tanpa dikerah,
tanpa diperintah.
Pembentukan jiwa merdeka harus
dimulai dengan pembentukan generasi berteraskan doktrin tauhid yang luhur. Umat
Islam yang telah menjalani indoktrinasi tauhid pasti bebas daripada belenggu
jiwa hamba. Ini kerana pengesaan kepada Tuhan bererti secara sedar ia telah
menolak pengabdian kepada sesiapa selain Allah. Ia sekaligus melahirkan sebuah
generasi berorientasikan keilmuan yang cukup dinamik yang bukan sahaja memiliki
ketajaman fikiran malah hati mereka sentiasa terpaut pada ingatan akan
kebesaran Allah (zikrullah).
Integrasi antara unsur fikir
dan zikir inilah yang merangsang jiwa merdeka dalam diri setiap individu.
Generasi ini diistilahkan al-Quran sebagai generasi ulul-albab iaitu generasi
yang terbina di atas asas keimanan kukuh dan keupayaan intelektual yang tinggi
hingga mampu mencetuskan idea-idea baru yang kreatif dan inovatif sekali gus
menterjemahkannya dalam bentuk tindakan yang praktis. Allah turut menukilkan
sifat generasi ini di dalam al-Quran: Mereka itu yang mengingati Allah sambil
berdiri dan duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka sentiasa memikirkan
tentang penciptaan langit dan bumi. (Ali-Imran: 191).
Pembentukan generasi ulul-albab
yang menyepadukan unsur-unsur ketuhanan dan nilai-nilai akliah sebagaimana
acuan al-Quran ini jugalah yang pernah meletakkan umat Islam dalam lembaran
sejarah sebagai pelopor kemajuan sains dan pelbagai cabang ilmu selama
beratus-ratus tahun lamanya.
Justeru dalam era globalisasi
yang mendedahkan masyarakat kepada pelbagai pengaruh budaya luar kini, usaha
bersepadu harus disasarkan ke arah penjanaan modal insan berjiwa merdeka dan
berorientasi ulul-albab. Tanpa jiwa merdeka, sesuatu bangsa tidak akan mampu
mencipta kegemilangan dalam sejarahnya. Tanpa ciri-ciri ulul-albab pula, negara
tidak akan mampu menjelmakan sebuah bangsa berdaya juang dan berdaya saing bagi
mendepani cabaran semasa.
Akhirnya yang tinggal hanyalah
sebuah bangsa berkualiti buih yang rapuh dan tidak kekal lama sebagaimana
terungkap dalam al-Quran: Ada pun buih itu, akan hilang sebagai suatu yang
tidak ada harganya; ada pun yang memberi manfaat kepada manusia, maka ia tetap
di bumi. Maka demikianlah Allah membuat perumpamaan-perumpamaan. (Ar-Rad: 17)
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0827&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz4olx418M8
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment