ARKIB : 16/09/2006
Perlis atau NS Naza -
Perlawanan akhir Piala Malaysia
Oleh: AMRAN MULUP
KAPTEN Negeri Sembilan Naza,
Khairul Anuar Baharom (kiri) dan kapten Perlis, Manzoor Azwira bersama Piala
Malaysia yang menjadi rebutan pada perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium
Nasional Bukit Jalil, malam ini.
KUALA LUMPUR Selepas kempunan
menjulang Piala Malaysia musim lalu, Perlis tidak lagi rela Negeri Sembilan
Naza pula menjadi penghalang pada perlawanan akhir malam ini.
Cukup memeritkan luka yang
tercalar di Stadium Nasional Bukit Jalil dalam perlawanan akhir tahun lalu
apabila jaringan hatrik Bambang Pamungkas meleburkan impian Perlis mendakap
Piala Malaysia buat kali kedua.
Lebih perit lagi kesempatan
untuk menjulang Piala FA musim ini turut mengecewakan apabila tewas kepada
Pahang 2-4 menerusi penentuan sepakan penalti.
Kesempatan dengan satu halangan
yang perlu dilalui dengan rekod cemerlang mara ke akhir buat kali ketiga
berturut-turut sejak 2004, menghadirkan dendam membara mahu menebus kehampaan
tahun lalu.
Pengalaman itu membuatkan
pemain skuad Singa Utara semakin matang dan mampu menyerap tekanan apa lagi
dengan pekik sorak penonton yang dijangka lebih memihak kepada NS Naza.
Buat jurulatih skuad Singa
Utara, Abdul Rahman Ibrahim, kebangkitan pasukan bimbingannya mara tiga kali ke
perlawanan akhir sudah menggambarkan kekuatan sebenar Perlis.
Negeri kecil, pasukan kerdil
tetapi mampu melangkah ke akhir sebanyak tiga kali, ini membuktikan keupayaan
sebenar kami.
Pengalaman tiga kali tetapi
hanya sekali muncul juara pada 2004 sudah cukup mematangkan pemain dan
perlawanan akhir esok (hari ini) tidak mengundang masalah buat saya dan pemain,
ujarnya, semalam.
Abdul Rahman jelas tidak merasa
tertekan dengan kelibat NS Naza selaku juara Liga Super tampil dan memasang
impian untuk menamatkan kemarau 58 tahun tidak bergelar juara.
Buat bekas jurulatih kebangsaan
itu, prestasi konsisten sejak 2004 itu menyakinkan beliau bahawa Perlis
berpeluang membawa pulang semula Piala Malaysia ke bumi Perlis.
Abdul Rahman tidak menafikan
gandingan mantap Zachariah Simukonda dan Philimon Chepita menjadi pertaruhan
utama Perlis untuk mengekang NS Naza daripada pulang bergelar juara.
Biar apa sekalipun cara
pertahanan NS Naza akan membayangi kelibat dua pemain dari Zambia itu, Abdul
Rahman berkata, tiada yang dapat menghalang ayam tambatan Perlis untuk mencipta
jaringan.
Banyak sudah saya dengar
pertahanan lawan hendak menyekat Chepita dan Simukonda tetapi mereka masih
dapat menjaringkan gol, ujarnya.
Lega dengan prestasi konsisten
gandingan ampuh dari Zambia itu tetapi beliau amat terkilan tidak dapat
menyenaraikan tonggak pertahanan kiri, Shariman Che Omar.
Ketiadaan pemain tersebut, kata
Abdul Rahman, ia tidak sama sekali menjejaskan rentak Perlis untuk menewaskan
NS Naza dan membawa pulang Piala Malaysia.
Sementara itu, selepas tiga
tonggak muncul pemenang dalam Majlis Anugerah Bola Sepak Negara kelmarin,
keceriaan NS Naza mahu diteruskan untuk menjulang Piala Malaysia malam ini.
Selain dinobatkan selaku juara
Liga Super musim ini, NS Naza mahu melengkapkan tahun 2006 dengan penuh gilang
gemilang dengan syarat menewaskan Perlis dalam perlawanan akhir Piala Malaysia
Edisi ke-38 di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Misi paling utama kesebelasan
utama NS Naza ialah menamatkan kemarau 58 tahun menjulang piala berprestij yang
kali terakhir mereka ditabalkan selaku juara pada 1948.
Kemarau berpanjangan membuatkan
anak didik jurulatih K. Devan turun dengan semangat paling tinggi untuk membawa
piala keramat itu pulang seperti yang dilakukan pada 1948 apabila menewaskan
Selangor 2-1 pada perlawanan akhir.
Namun, pentas final malam ini
jelas tidak sama seperti yang berlaku 58 tahun lalu tetapi penampilan kali ini
jelas berbeza mahu menyekat Perlis dari pulang bergelar juara.
Impian pemain dan seluruh
rakyat Negeri Sembilan amat tinggi agar kami membawa pulang Piala Malaysia
selepas 58 tahun.
Impian yang amat tinggi buat
kami tetapi melihat kesungguhan pemain hingga layak ke akhir, saya tidak nampak
mengapa kita tidak boleh bergelar juara, ujar jurulatih, K. Devan.
Beliau nyata tidak gentar
dengan kelibat skuad Singa Utara apa lagi dengan rekod cemerlang mereka layak
sebanyak tiga kali dalam perlawanan akhir.
Ujarnya, kesebelasan utama
dapat diturunkan melainkan pemain bek kanan, Abdul Rahman Sabul yang digantung
perlawanan.
Situasi itu, katanya, tidak
menjejaskan rentak NS Naza untuk mengimbangi setiap posisi Perlis yang jelas
bergantung harapan kepada gandingan serangan ampuh Philimon Chepita dan Zachariah
Simukonda.
Keyakinan menebal di kalangan
pemain kata Devan membuatkan beliau dapat merasakan malam ini bakal menjadi
milik NS Naza.
Perlawanan malam esok (malam
ini) jelas berbeza namun pemain saya sudah cukup bersedia dari segi mental dan
fizikal.
Walaupun hanya tiga pemain
yang pernah beraksi dalam perlawanan akhir rasanya pemain tidak akan berasa
kekok, ujar jurulatih itu lagi.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0916&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4qCowFHGf
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment