Ad

Friday, 11 January 2019

JDT boleh guna Mat Yat


 KEVIN RAMALINGAM (kiri) mengadakan pertemuan dengan wakil Persatuan
KEVIN RAMALINGAM (kiri) mengadakan pertemuan dengan wakil Persatuan Bola Sepak Kedah di Damansara, semalam. UTUSAN/MOHD. NAJIB MOHD. NOR
FADHLUL IZMEL ISHAK

sukan.utusan@gmail.com

11 Januari 2019 3:00 AM
KUALA LUMPUR 10 Jan. - Akhyar Rashid bebas beraksi buat Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam musim baharu Liga Malaysia (Liga M), meskipun belum mendapat surat pelepasan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA).

Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Kevin Ramalingam berkata, berdasarkan senarai pendaftaran awal pemain yang dihantar JDT pada 7 Januari lalu, nama pemain berusia 19 tahun itu disenaraikan Harimau Selatan untuk mengharungi musim 2019 namun masih berada dalam senarai menunggu.


“JDT sudah menghantar nama Akhyar dan buat masa ini dia berada dalam senarai simpanan untuk tempoh 14 hari kerana ada satu dokumen tidak cukup (Sijil Perpindahan Ne­geri). Kami tidak memanggilnya SPN tetapi surat pelepasan.

“Sekiranya KFA tidak memberi surat pelepasan dalam tempoh 14 hari bermula 7 Januari lalu, Akhyar boleh mendapatkan pelepasan sementara daripada FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) bagi membolehkannya beraksi dalam liga.

“Ia peraturan sama se­perti yang digunakan oleh FIFA (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa).

“Jadi, Akhyar tak ada masalah untuk bermain dan dia boleh diturunkan pada aksi pertama JDT (Piala Sultan Ahmad Shah) menentang Perak pada 2 Februari ini,” katanya ketika ditemui selepas me­ngadakan pertemuan dengan wakil KFA di Pejabat MFL, di sini hari ini.

Mengulas lanjut mengenai pertemuannya bersama Naib Presiden KFA, Mohd. Yusuri Yusof dan Exconya, Shafferi Rejab selama sejam, Kevin berkata, pihaknya membantu Kedah memilih jalan penyelesaian terbaik terhadap sebarang permasalahan, termasuk isu perpindahan Akhyar.

Sebelum ini KFA menyuarakan rasa tidak puas hati dengan urusan perpindahan pemain muda itu ke JDT dan mahu membawa kes tersebut Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).

“Kita ada bincang isu Akhyar juga tetapi tidak menyeluruh, cuma menerangkan perkara dan peraturan asas. Kita tegaskan isu Akhyar ini tidak perlu hingga ke CAS, sebaliknya ada saluran lain iaitu Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC).

“Kalau KFA tetap nak bawa kes kepada CAS itu terpulang kepada mereka. Sebagai rakan kongsi, apa juga tindakan KFA akan memberi gambaran dan imej kepada liga kita dan saya harap mereka akan meneliti perkara ini sebaik-baiknya sebelum bertindak,” katanya lagi.
SUMBER-Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/jdt-boleh-guna-mat-yat-1.819920#ixzz5cJTjb5DQ
© Utusan Melayu (M) Bhd


No comments:

Post a Comment