Ad

Friday, 18 January 2019

Quraisy cemburui Islam di Madinah


ARKIB : 03/11/2010
Susunan SITI AINIZA KAMSARI

Tidak sebagaimana hari ini umat Islam bebas melakukan tawaf mengelilingi Kaabah berbanding di awal zaman hijrah, ancaman kafir Quraisy menjadi penghalang.

APAKAH suasananya di Mekah, selepas Nabi Muhammad SAW dan para pengikut baginda berjaya mendirikan sebuah negara Islam Madinah? Apa reaksi penduduk Mekah apabila baginda berjaya 'menakluk' Madinah hanya dengan menghulurkan tali persaudaraan dalam Islam yang menjanjikan keamanan dan kestabilan?

Yang lebih pahit menerima realiti itu sudah tentu para penentang baginda khususnya golongan kafir Quraisy Mekah. Mereka terpaksa menerima hakikat bahawa umat Islam sudah mempunyai kedudukan yang dikira kukuh dan kuat di Madinah.

Lalu tanpa mempunyai banyak pilihan, penentangan terhadap Islam tetap diteruskan walau dengan apa cara sekalipun.

Namun, mereka tidak pernah sedar kesan daripada kejahatan dan permusuhan yang tidak ada penghujungnya, umat Islam memperoleh tempat yang aman dan stabil di Madinah.

Lalu apakah yang para kafir Quraisy ini lakukan bagi meneruskan api permusuhan itu? Adakah mereka terus menyusun bala tentera dan menyerang Kota Madinah? Atau mereka terpaksa memikirkan jalan lain selain dari serangan dan peperangan terhadap umat Islam?

Sebelum ini dalam Perjanjian Aqabah yang berlaku antara penduduk Madinah yang datang menemui Rasulullah di Mekah, perjanjian itu berlangsung secara rahsia sehinggakan Ketua Puak Ansar, iaitu Abdullah bin Ubay bin Salul sendiri tidak tahu menahu mengenai perjanjian yang melibatkan anak-anak buahnya dengan Rasulullah.

Maka Abdullah bin Ubay yang masih berada di Madinah cuba diperalatkan oleh kafir Quraisy bagi memulakan era baru permusuhan terhadap umat Islam di Madinah.

Lebih tepat, Abdullah bin Ubay menjadi musuh dalam selimut terhadap umat Islam. Iaitu atas sifatnya yang diketahui sebagai seorang yang musyrik.

Musyrik adalah orang yang melakukan dosa syirik iaitu mempersekutukan atau membuat tandingan hukum atau ajaran lain selain dari ajaran atau hukum Allah.

Seperti yang diketahui puak Ansar sebelum ini telah bersetuju melantik Abdullah bin Ubay sebagai ketua dan hampir melantiknya sebagai Raja jika tidak kerana hijrah Rasulullah dan keimanan mereka terhadap Islam yang dibawa oleh baginda.

Lalu para pembesar Quraisy menulis sepucuk surat kepada Abdullah bin Ubay sebagai pembuka jalan yang mana ia sebenarnya tidak lebih sebagai satu usaha untuk membakar hati Abdullah.

Antara yang tertulis pada surat tersebut: "Sesungguhnya kamu telah menyembunyikan seseorang dari kalangan kami dan kami bersumpah dengan nama Allah bahawa kamu mesti memeranginya atau mengusirnya keluar (dari Madinah).

"Jika tidak, kami akan datang memerangi kamu dan menghalalkan kaum wanita kamu!"

Sebaik menerima dan membaca surat itu, Abdullah bin Ubay bagaikan terbakar hatinya.

Ia menyemarakkan semangatnya bagi menuntut kembali haknya yang kononnya telah dirampas itu.

Benar, beliau begitu berdendam terhadap Rasulullah kerana menyifatkan baginda telah merampas sebuah kerajaan darinya.

Abdul Rahman bin Kaab memberitahu: "Apabila surat itu sampai kepada Abdullah bin Ubay dan rakan-rakan penyembah berhala yang bersamanya di Madinah, mereka pun terus berpakat untuk memerangi Rasulullah."

Namun berita itu akhirnya sampai juga kepada Nabi Muhammad lalu dalam satu pertemuan, baginda pun berkata; "Ancaman Quraisy telah sampai kepada kamu. Perancangan Quraisy terhadap kamu itu tidaklah melebihi kehendak kamu untuk memperbodoh-bodohkan diri sendiri. Apakah kamu hendak memerangi anak pinak dan saudara mara kamu sendiri?"

Setelah mendengarkan kata-kata baginda Rasulullah, mereka termasuk pengikut Abdullah bin Ubay pun beredar.

Pada saat itu, Abdullah bin Ubay pun membatalkan hasratnya untuk berperang kerana para pengikutnya menjadi lemah semangat selepas mendengarkan kata-kata Nabi Muhammad sebagai seorang pemimpin yang disegani.

Kata-kata baginda itu tidak sahaja menyuntikkan kesedaran tetapi apa yang penting apa yang baginda katakan itu adalah benar.

Adakah mereka sanggup memerangi kaum keluarga, saudara mara mereka sendiri hanya untuk mengikut telunjuk Quraisy Mekah itu?
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1103&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz5cxRaC2cl
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment