ARKIB : 27/04/2011
Susunan SITI AINIZA KAMSARI
DALAM mana-mana peperangan sebelum ini, Abu Dujanah
sangat terkenal sebagai panglima perang yang begitu menggerunkan pihak musuh.
Apabila beliau mula melilitkan serban merah di kepala semua orang tahu kerana
ia menandakan dirinya siap bertempur sampai mati.
Maka ia terkenal dengan jolokan Ashabatul Hamra
atau Ashabatul Maut bermakna Si Ikat Kepala Merah atau Ikat Kepala Maut!
Abu Dujanah seorang yang sangat berani. Laksana
harimau keluar daripada semak belukar, beliau akan maju menyerang musuh dan
membunuh siapa saja dari kaum musyrikin yang berani mendekatinya.
(Nama Abu Dujanah menjadi satu lambang perjuangan
sehinggalah ia menjadi satu nama gelaran kepada seorang anggota kepimpinan
Jemaah Islamiah (JI) Indonesia, Ainul Bahri, 43 yang dipercayai kini sedang
menjalani tempoh penjara 15 tahun. Pada tahun 2008 dia di dapati bersalah
terlibat dalam pelbagai kegiatan keganasan)
Dalam sebuah riwayat yang terkenal, selepas
mendapat pedang daripada Rasulullah itu, Abu Dujanah pun berjalan dengan
megahnya di tengahtengah barisan tentera. Kelihatan seperti seorang yang
sombong atau meninggi diri sehingga baginda pun berkata; "Sesungguhnya
gaya berjalan seperti itu dimurkai Allah kecuali di dalam suasana perang
seperti ini."
Tetapi anda tahu bahawa Abu Dujanah benar-benar
seorang pahlawan apabila dalam Perang Uhud itu entah berapa ramai musuh yang
tumpas dan maut dek penangan libasan pedangnya.
Di pihak musyrikin Mekah yang diketuai oleh Abu
Suffian bin Harb yang tidak kurang hebat mengatur strategi peperangan walaupun
dengan jumlah 3,000 anggota tentera beliau sudah menempah kemenangan dengan
mudah.
Namun tahukah anda bahawa pada masa ini Abu Suffian
sebenarnya bukan orang lain kepada Rasulullah, bahkan merupakan bapa mertua
atau dengan lain perkataan bahawa baginda merupakan menantu kepada Abu Suffian.
Ini apabila baginda mengahwini anak perempuan Abu
Suffian, Ramlah atau lebih dikenali sebagai Ummu Habibah.
Namun demi menegakkan kebenaran dan kesucian Islam,
baginda terpaksa juga bertempur dengan Abu Suffian.
Bukit Uhud kemudiannya menyaksikan kedua-dua belah
pihak memulakan peperangan dengan perlawanan satu lawan satu pun bermula. Ini
apabila pihak tentera-tentera musyrik mula mencabar pihak tentera Islam.
Ini dimulai oleh Thalhah bin Abi Thalhah al Abdari,
salah seorang anggota pasukan berkuda Quraisy yang paling berani maju ke
hadapan dan mencabar untuk berlawan dengan mana-mana pahlawan Islam.
Thalhah sememangnya pahlawan Quraisy yang digeruni
kerana itu beliau sering digelar "Kambing Jantan Tentera Quraisy."
Tetapi beliau langsung tidak diberi peluang untuk beraksi dan mempamerkan
kehebatan apabila sahabat baginda, Az Zubair dengan tangkas melompat ke arah
Thalhah dan menarik pahlawan Quraisy itu terus menyembam ke bumi dan dipancung
lehernya oleh pahlawan Islam itu.
Menyaksikan kemenangan pertama itu, baginda pun
bersama-sama tentera Islam yang lain terus bertakbir bagi menyemarakkan lagi
semangat di saat terlalu lebar jurang antara jumlah tentera Islam dan tentera
Quraisy itu; Allahu Akbar! Allahu Akbar!
Kata Rasulullah dengan penuh semangat; "Setiap
Nabi memiliki pengikut-pengikut yang setia (hawari) dan pengikut setiaku adalah
Az Zubair!"
Pertempuran satu lawan satu ini berlarutan sehingga
seramai 12 pahlawan Quraisy mati kesemuanya di tangan pahlawan-pahlawan Islam
yang gagah perkasa terutamanya Ali bin Abi Talib, Hamzah bin Abdul Mutalib,
Zubair bin Awwam, Saad bin Abi Waqas dan lain-lain lagi.
Sebagai ketua perang di pihak Quraisy, Abu Suffian
sangat marah dan kecewa apabila satu demi satu pahlawannya tumbang dan beliau
sendiri akhirnya melaungkan suara dengan kuat mengisytiharkan perang untuk
menyerang tentera Islam.
Kesemua anggota tenteranya serta merta bangkit
dengan begitu bersemangat dan terus menyerbu tentera Islam.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0427&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz5e8mDStks
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment