ARKIB : 19/11/2010
DAN mengapa tidak ada (penduduk)
suatu kota yang beriman, lalu imannya itu bermanfaat kepadanya selain kaum
Yunus? Tatkala mereka (kaum Yunus itu) beriman, Kami hilangkan daripada mereka
azab yang menghinakan dalam kehidupan dunia, dan Kami beri kesenangan kepada
mereka sampai kepada waktu tertentu. (Yunus: 98)
Terdapat sebuah negeri yang
bernama Ninawa yang mana kebanyakan penduduknya menyembah berhala. Hampir
setiap rumah di negeri tersebut dipenuhi dengan patung-patung yang diperbuat
daripada batu. Penduduk di situ hidup dalam kejahilan, kegelapan, kesesatan dan
menyimpang daripada jalan Allah.
Untuk menyedarkan penduduk di
kampung tersebut, Allah telah mengutuskan Nabi Yunus untuk memberi cahaya
melalui agama Allah dan menghindarkan mereka daripada kegelapan menyembah patung
berhala. Nabi Yunus tidak mempunyai ikatan persaudaraan atau perkauman dengan
penduduk tersebut. Kehadirannya adalah sebagai orang asing hanya ingin
berdakwah serta membimbing mereka ke jalan yang benar. Nabi Yunus mahu mereka
insaf dan sedar bahawa berhala-berhala yang disembah itu adalah barang buatan
yang tidak berguna. Tuhan yang harus disembah ialah Allah, yang telah
menjadikan bumi, langit, bulan, matahari dan segala-galanya.
Apabila penduduk di negeri
tersebut mendengar dakwah yang dibawa oleh Nabi Yunus, mereka menjadi sangat
terkejut dan menganggap ia bertentangan dengan tradisi kehidupan mereka
turun-menurun iaitu menyembah berhala dan memuja batu yang berupa patung. Tambahan
pula mereka tidak akan tunduk dan patuh kepada kata seseorang daripada kalangan
rakyat biasa, bukan raja atau bangsawan, apatah lagi yang tidak mempunyai
kekayaan dan kekuasaan.
Demikianlah nasib yang dialami
oleh Nabi Yunus. Baginda dimaki, dihina, disanggah habis-habisan setiap kali
ingin berdakwah dan mengajak mereka menyembah Allah. Dengan penuh kesabaran dan
budi bahasa yang tinggi, Nabi Yunus menghadapinya dengan tenang selama
bertahuntahun. Namun mereka tetap mengingkari ajakan Nabi Yunus.
Kerana keingkaran mereka itu,
Nabi Yunus berasa bimbang dan takut mereka akan ditimpa seksaan dan azab
daripada Allah, seperti mana yang dialami oleh bangsa-bangsa sebelum mereka.
Sudah puas Nabi Yunus menasihati mereka. Sebaliknya mereka menganggapnya sebagai
suatu yang lucu dan hanya cakapcakap kosong sahaja. Mereka mengatakan bahawa
mereka tidak akan tunduk kepada Allah dan tidak takut akan seksaan Allah itu.
Mereka mencabar supaya didatangkan seksaan itu sekiranya benar.
Nabi Yunus tidak dapat menahan
kesabarannya lagi. Hatinya marah tidak terhingga sehingga baginda sudah
berputus asa. Nabi Yunus berjanji tidak akan berhubung dan menemui mereka lagi.
Lalu Nabi Yunus berjalan dan keluar meninggalkan kampung dan bangsanya yang
ingkar itu. Baginda ingin merantau ke negeri lain dengan hati yang kesal dan
putus asa.
Belum pun jauh perjalanan Nabi
Yunus dari negeri itu, turunlah bala dan seksaan Allah ke atas penduduk yang
sombong dan bongkak itu. Mula-mula Allah menurunkan cuaca panas yang sangat
tinggi sehingga mengubah warna kulit sehingga menjadikan mereka cacat dan
jelik. Mulai timbul di hati mereka akan kebenaran kata-kata Nabi Yunus dahulu.
Mereka berasa sangat takut dan
mula memanggil-manggil nama Nabi Yunus. Mereka mula teringat akan azab dan
seksaan yang pernah diturunkan terhadap kaum Nabi Nuh, bangsa 'Ad dan Tsamud.
Lalu mereka pun ingin bertaubat dan menurut segala ajaran Nabi Yunus. Tetapi
sayang, Nabi Yunus sudah pergi dan tidak seorang pun mengetahui ke ke mana
baginda pergi.
Di kala itu mereka meminta ampun
dan bertaubat kepada Allah seperti mana yang pernah diajarkan oleh Nabi Yunus
dahulu. Taubat itu benar-benar timbul dalam hati mereka yang ikhlas. Lalu Allah
pun menghentikan seksaan yang telah diturunkan itu. Mereka kembali hidup dalam
keadaan biasa, aman dan tenteram. Mereka amat berharap akan kehadiran Nabi
Yunus dan ingin mengangkat baginda menjadi pemimpin mereka. Tetapi Nabi Yunus
tidak juga muncul-muncul. Baginda telah membawa dirinya dari situ dengan hati
yang penuh kesal dan kecewa.
lPetikan daripada buku 366 Kisah
daripada Al-Quran terbitan Edusystem Sdn. Bhd.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1119&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm#ixzz5d3FLWBfS
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment