ARKIB : 24/11/2010
Susunan SITI AINIZA KAMSARI
APABILA bercakap soal penguasaan
ilmu dan sanggup berjuang demi menegakkan Islam dan kebenaran, Ummul Mukminin
Saidatina Siti Aishah Abu Bakar adalah seri kandi yang tidak sekadar isteri
kepada Rasulullah.
Sehingga ada disebutkan:
"Sekiranya ilmu Siti Aishah dikumpulkan dan dibandingkan dengan ilmu
seluruh ibu kaum Muslimin dan ilmu seluruh kaum wanita maka ilmu yang dimiliki
oleh Siti Aishah adalah lebih utama."
Tiada tandingannya penguasaan
ilmu yang dimiliki oleh Siti Aishah berbanding para sahabat besar Rasulullah
sendiri.
Ini sebagaimana yang diceritakan
oleh Masruq: "Aku melihat orang tua dan para sahabat besar Rasulullah
bertanya kepada Siti Aishah mengenai harta warisan (ilmu faraid)".
Sebagaimana juga Atha bin Abu
Rabah yang menjadi saksi bahawa Siti Aishah adalah orang yang paling mengerti
di antara manusia dan paling baik pendapatnya di antara mereka.
Seorang lagi, Abu Marwah pula
berkata: "Aku tidak melihat seorang pun yang lebih mengerti mengenai ilmu
fiqh, ubat-ubatan dan syair kecuali Siti Aishah."
Ketokohan Siti Aishah benar-benar
tiada tandingannya berbanding tokoh wanita lain yang ada di dunia ini ditambah
kecekalan beliau dalam menghadapi saat-saat difitnah dan pergelutan politik
selepas kewafatan baginda Rasulullah.
Lalu terukir di dalam al-Quran,
bagaimana pertolongan daripada Allah membebaskan Siti Aishah dari api fitnah
yang disebarkan oleh kalangan munafik bagi merosakkan nama baik beliau dan
Islam.
Ayat tersebut adalah firman Allah
yang bermaksud: Sesungguhnya orang yang membawa berita bohong itu adalah
daripada golongan kamu juga. Janganlah kamu kira bahawa berita bohong itu buruk
bagi kamu. Tiap-tiap orang daripada mereka mendapat batasan atas dosa yang
dikerjakannya. Dan siapa di antara mereka yang ambil bahagian terbesar dalam
penyiaran berita bohong itu, baginya azab yang pedih. (an-Nur: 11)
Justeru, dapatkan fadilat yang
besar apabila kita berpeluang menziarahi dan seterusnya beriktikaf di Masjid
Nabawi di Madinah.
Kita dianjurkan supaya solat
berhampiran sebuah tiang yang dikenali sebagai Tiang Saidatina Aishah.
Seperti yang dipetik daripada
buku Madinah Munawarrah - Kelebihan dan Sejarah oleh Dr. Abdul Basit Abdul
Rahman (Telaga Biru, 2010), Tiang tersebut adalah yang ketiga (kedudukan)
daripada mimbar (dalam Masjid Nabawi), yang ketiga daripada makam Rasulullah
dan yang ketiga daripada kedudukan kiblat di dalam masjid itu. (Dalam kedudukan
ketiga selepas Tiang Mukhalaqqah - Tiang Wangi, Mihrab Nabawi dan Mimbar Masjid
Nabawi).
Tiang itu juga dikenali sebagai
Tiang al Muhajirin kerana golongan Muhajirin selalu berkumpul berdekatan dengan
tiang itu.
Menurut Dr. Abdul Basit lagi,
Tiang Undi juga adalah nama lain bagi Tiang Saidatina Siti Aishah ini kerana
menurut Tabarani di dalam kitabnya, Al Awsat, Siti Aishah berkata, Rasulullah
telah bersabda yang bermaksud: "Di dalam masjidku ini ada satu tempat yang
jika manusia mengetahui mengenai kelebihannya nescaya mereka akan berkerumun di
situ sehingga terpaksa cabut undi untuk mendapatkan tempat untuk bersolat di
situ".
Apabila para sahabat bertanya tempat
yang dimaksudkan oleh Rasulullah itu, Siti Aishah keberatan memberitahunya
tetapi dipercayai beliau memberitahu anak saudaranya, Abdullah Ibnu Az Zubair
mengenainya.
Juga dipercayai bahawa Rasulullah
pernah menjadi imam solat fardu berhampiran tiang ini selama dua atau tiga
bulan sebelum berpindah ke tempat solatnya selepas pertukaran kiblat.
Para sahabat seperti Abu Bakar As
Siddiq, Usman bin Affan, Abdullah bin Az Zubair, Amir bin Abdullah sentiasa
dilihat menunaikan solat berhampiran Tiang Saidatina Siti Aishah itu.
Namun sebagaimana disebut oleh
Dr. Abdul Basit, tiang-tiang (lapan tiang utama kesemuanya termasuk Tiang
Saidatina Siti Aishah) yang berada dalam kawasan Raudhah Masjid Nabawi disebut
kelebihannya secara umum kerana tidak terdapat kelebihan atau fadilat khusus
bagi setiap tiang itu.
Oleh itu bersolatlah tanpa
mengira bahagian manapun di Raudhah itu.
Isteri kesayangan Rasulullah ini
menghembuskan nafas yang terakhir pada 17 Ramadan, Tahun 58 Hijrah bersamaan 13
Julai, 678 Masihi pada usia 66 tahun.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1124&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_04.htm#ixzz5d3czhVcR
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment