Ad

Saturday, 12 January 2019

Nabi satukan penduduk Yathrib


ARKIB : 15/09/2010
Susunan SITI AINIZA KAMSARI
KETIBAAN Rasulullah SAW bersama ahli-ahli rombongannya bagaikan satu sinar baru menerangi bandar Yathrib yang sebelum ini menyaksikan penduduknya hidup berpecah-belah.

Kalangan bangsa Arab dan Yahudi yang sering bergaduh dan bersaing dalam pelbagai persoalan hidup.

Namun pada hari pertama kehadiran Nabi Muhammad sahaja sudah memperlihatkan mereka kini bersatu.

Arab dan Yahudi, lelaki dan perempuan, tua dan muda, dewasa dan kanak-kanak semuanya keluar beramai-ramai ke jalan bagi menyambut kehadiran baginda.

"Allahu Akbar, Rasulullah telah tiba, Allahu akbar, Muhammad sudah tiba, Allahu Akbar, Muhammad sudah datang, Allahu Akbar, Rasulullah sudah datang," laung mereka.

Mereka bertahmid dan berselawat ke atas junjungan nabi itu dengan penuh gembira dan melupakan segala sengketa perkauman yang selama ini membelenggu diri.

Begitu pun, ramai kalangan penduduk Yathrib itu sebenarnya tidak mengenali Nabi Muhammad kerana mereka tidak pernah bertemu secara bersemuka dengan baginda.

Jadi mereka tidak kenal mana satu Nabi Muhammad dan yang mana satu Abu Bakar.

Ditambah lagi umur antara baginda dan sahabatnya itu tidak jauh beza, iaitu Abu Bakar dikatakan dua tahun lebih muda daripada Rasulullah.

Walaupun tidak pernah mengenali Rasulullah secara fizikal, tidak mengenal rupa paras baginda namun soal kesetiaan dan keyakinan mereka terhadap baginda tidak boleh dipersoalkan lagi.

Mereka sudah memberi keyakinan dan keimanan yang tidak berbelah bagi kepada Muhammad. Malah berjanji akan mempertahankan baginda daripada musuh-musuh Allah seperti mereka mempertahankan isteri, anak-anak dan kaum keluarga mereka sendiri.

Akhirnya apabila mereka melihat sendiri Abu Bakar melindungi Nabi Muhammad daripada terik sinaran matahari maka barulah mereka tahu yang mana satu Rasulullah.

Mereka kemudiannya berebut-rebut memegang tali unta tunggangan baginda untuk mengajak baginda tinggal di rumah atau di kampung mereka.

Malah tidak kurang juga kerana hendak mengambil berkat untuk tinggal bersama dengannya.

"Silakanlah singgah di rumah kami, supaya kamu mendapat teman, bekalan, senjata dan pertahanan," kata mereka.

Walaupun mereka bukanlah golongan yang kaya atau mewah tetapi mereka sangat berharap kalau baginda dapat singgah dan menetap di rumah mereka.

Tetapi baginda yang mengalu-alukan kemurahan hati penduduk Yathrib meminta supaya membiarkan sahaja unta baginda berjalan mengikut kemahuan haiwan itu sehingga ia berhenti sendiri.

"Biarlah dia berhenti sendiri. Unta ini mengikut perintah Allah," kata baginda.

Akhirnya, unta yang membawa baginda dikatakan berhenti di daerah suku Najjar.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0915&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_03.htm#ixzz5cOEjEhh6
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment