ARKIB : 08/10/2010
KETIKA Rasulullah SAW dan sahabat
mengalami tekanan di Mekah, baginda telah memberi keizinan kepada umat Islam di
Mekah supaya berhijrah ke Yathrib bagi memulakan kehidupan baru di sana. Maka
umat Islam di Mekah pun keluar dengan senyap dan berhati-hati agar tidak
disedari oleh Musyrikin Quraisy.
Mereka keluar tanpa sebarang
jaminan kehidupan yang bakal ditempuh di Yathrib melainkan jaminan yang diberikan
oleh Rasulullah SAW. Oleh kerana itulah Allah SWT memuji mereka atas dasar
keimanan yang kukuh.
Manakala Rasulullah SAW pula
masih berada di Makkah menunggu wahyu daripada Allah untuk berhijrah. Apabila
wahyu daripada Allah turun, dalam masa yang sama kaum Musyrikin Quraisy telah
merancang untuk membunuh Rasulullah di Darul Nadwah. Dengan melantik wakil
setiap kabilah untuk membunuh baginda, mereka berkumpul dan mengepung rumah
Rasulullah SAW pada waktu malam. Namun dengan kuasa Allah, mereka tertidur
dengan nyenyaknya lalu Rasulullah SAW pun keluar dengan menaburkan pasir di
atas kepala mereka. Manakala tempat tidur baginda diganti oleh Ali bin Abu
Talib yang sangat berani.
Maka berangkatlah Rasulullah ke
rumah Abu Bakar as-Siddiq. Dengan perancangan yang teliti, mereka pun bergerak
menuju ke Yathrib sebelum fajar menyingsing. Mereka melalui jalan yang jarang
dilalui orang ramai, lalu singgah di Gua Thur di pertengahan jalan ke arah
Yaman. Abu Bakar mendahului Rasulullah SAW untuk masuk ke dalam gua kerana
risaukan keselamatan baginda. Apabila Rasulullah masuk, baginda pun berehat
sambil menunggu masa yang sesuai untuk bertolak.
Kaum Musyrikin Quraisy yang
terjaga daripada tidur telah tertipu apabila orang yang disangka Rasulullah
rupanya Ali bin Abu Talib. Maka mereka pun bertindak mengejar Rasulullah
sehinggalah sampai di Gua Thur. Abu Bakar mula panik apabila kaum kafir
mengepung gua tersebut lalu ditenteramkan oleh Rasulullah. "Janganlah
takut dan janganlah sedih sesungguhnya Allah bersama kita." Lalu Allah
memerintahkan labah-labah dan merpati membuat sarang di pintu gua. Kaum kafir
sekali lagi tertipu. Mereka tidak menyangka ada orang yang bersembunyi di dalam
gua tersebut apabila melihat sarang labah-labah dan merpati tidak terusik.
Setelah kaum kafir jauh beredar,
Abdullah bin Uraiqit pun tiba dengan membawa dua ekor kuda yang sangat pantas.
Beliau sendiri diupah sebagai jurupandu untuk membawa Rasulullah dan Abu Bakar
ke Yathrib.
Lalu mereka bergerak ke arah
selatan Yaman, apabila sampai di jalan yang tidak dilalui orang mereka pun
beralih ke utara menghampiri Laut Merah. Tujuan mereka berbuat demikian adalah
supaya pergerakan mereka tidak dapat dijejaki oleh kaum kafir Quraisy sebelum
mereka selamat tiba ke Yathrib.
Rasulullah SAW tiba di Quba'
iaitu terletak di pinggir kota Yathrib pada 8 Rabiul Awwal 14 tahun kerasulan
baginda. Di sana baginda mendirikan masjid yang terawal sepanjang menyebarkan
dakwah Islam. Umat Islam yang mendapat berita ketibaan Rasulullah SAW di
pinggir Kota Yathrib berasa amat gembira kerana Rasulullah telah selamat
sampai. Mereka berkumpul beramai-ramai di tanah lapang Hurrah. Mereka begitu
sabar menunggu walaupun panas terik kerana ingin melihat insan mulia yang
diberitakan dalam kitab-kitab terdahulu. Justeru itu, bergemalah takbir memuji
kebesaran Allah.
Mereka menyambut ketibaan
Rasulullah dengan selawat dan puji-pujian. Anak-anak pula mengalunkan
puisi-puisi indah. Rasulullah menamakan Yathrib dengan 'Madinah Al-Munawwarah'
yang bermaksud 'Kota Yang Bercahaya'.
lPetikan daripada buku 366 Kisah
dari Al-Quran terbitan Edusystem Sdn. Bhd.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1008&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_04.htm#ixzz5cw88YqUR
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment