ARKIB : 24/08/2010
Amar bin Sabit adalah sahabat
Nabi Muhammad. Beliau berasal daripada Bani Asyahali. Salah seorang daripada
tokoh terkenal dalam kaumnya ialah Saad bin Muaz yang memeluk Islam sebelum
Amar.
Amar sangat berpegang teguh
kepada agama nenek moyangnya. Hal itu menyebabkan beliau sukar menerima agama
Islam.
Malah, Amar pernah berkata kepada
salah seorang yang sudah memeluk Islam: "Apakah kebenaran dalam agama
kamu? Tunjukkan kepada saya mengenai kebenaran itu. Saya tidak teragak-agak
mengikutinya."
Ketika ramai daripada kaumnya
sudah menerima Islam, pintu hati Amar tetap tertutup.
Sehingga pada suatu hari, semasa
Nabi Muhammad bersiap untuk pergi ke medan Perang Uhud, Amar t datang berjumpa.
Kata Amar: "Wahai Nabi
Muhammad, saya mahu memeluk agama Islam."
Nabi Muhammad terkejut mendengar
kata-kata yang keluar dari mulut Amar. Tindakan Amar menyebabkan Nabi
kehairanan. Sebelum ini, Amar adalah seorang yang angkuh dan enggan menerima
sedikit pun ajaran Islam.
Kemudian Nabi Muhammad bertanya:
"Benarkah apa yang kamu katakan itu Amar?"
"Benar," jawab Amar.
"Ini adalah satu keajaiban
dari Allah," kata Nabi Muhammad.
"Saya mahu memeluk agama
Islam," kata Amar dengan tegas.
Kemudian Amar berkata lagi:
"Saya juga mahu bersama-sama menyertai angkatan perang Islam ke Perang
Uhud."
"Saya sudah bersedia dengan
pedang saya," Amar berkata sambil menunjukkan pedang yang sudah siap ada
di tangannya.
Selepas mendengar berita baik
dari Amar itu, Nabi Muhammad gembira.
"Syukur kepada Allah.
Akhirnya terbuka juga pintu hati Amar memeluk agama Islam," kata Nabi
Muhammad sendirian.
Mulai pada hari itu, Amar sah
menjadi orang Islam selepas mengucapkan dua kalimah syahadah.
Berita keislaman Amar tidak
diketahui oleh sesiapa kecuali Nabi Muhammad. Selepas sah menjadi orang Islam,
Amar bangkit menuju ke medan perang Uhud mengikuti Nabi Muhammad.
Peperangan yang berlaku dengan
pihak musuh sangat sengit. Di situ Amar menunjukkan keberanian dan
kepahlawanannya. Dalam kumpulan tentera Islam itu, ada yang hairan dengan
kehadiran Amar.
Salah seorang daripada tentera
Islam itu berkata kepada Amar: "Buat apa kamu ikut kami berperang?"
Amar tidak peduli dengan
pertanyaan orang itu, beliau terus sahaja mara ke hadapan menentang musuh Islam.
"Kamu bukan orang Islam.
Kamu sengaja mahu mempersendakan kami dengan kekuatan kamu itu," kata
salah seorang tentera Islam itu lagi.
Pada masa itu, badan Amar
berlumuran darah. Beliau bergelut dengan pihak musuh bagi menegakkan Islam.
Akhirnya beliau jatuh ke bumi. Sebelum Amar menghembuskan nafasnya yang
terakhir, beliau sempat menjawab pertanyaan orang itu tadi.
Kata Amar: "Saya sudah
beriman kepada Allah dan Nabi Muhammad. Saya adalah orang Islam seperti kamu.
Saya sudah melawan musuh sedaya upaya saya. Semoga Allah memberkati saya."
"Betulkah apa yang kamu
katakan itu?" tanya orang itu kepada Amar. Orang itu terkejut mendengar
berita ke-Islaman Amar.
Amar gugur sebagai seorang
pahlawan Islam yang syahid. Berita kematian Amar sampai ke pengetahuan Nabi
Muhammad.
Nabi Muhammad berkata, "Amar
masuk syurga kelak."
Tentera Islam lain terkejut
dengan berita itu. Mereka sebenarnya tidak mengetahui bahawa Amar sudah memeluk
Islam semasa berperang. Mereka juga terharu dengan semangat Amar yang tinggi
semasa melawan musuh.
Pernah dilaporkan oleh Abu
Hurairah dari hadis Nabi Muhammad bahawa salah seorang yang layak masuk syurga
tanpa bersembahyang, berpuasa dan lain-lain ialah Amar bin Sabit.
Begitulah kisah sahabat Nabi
Muhammad yang ikhlas menegakkan agama Islam.
Orang yang mengaku bahawa dirinya
Islam sanggup mati demi membela agama Islam. Orang yang baik sentiasa diredai
Allah.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0824&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz5bk9k8mUe
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment