ARKIB : 16/07/2010
PERJANJIAN damai Hudaibiah banyak membuka hati orang-orang kafir untuk
memeluk Islam. Antaranya yang memeluk Islam ialah Khalid bin al-Walid. Beliau
dahulu adalah pemimpin pasukan Quraisy yang sangat terkemuka. Beliau juga
merupakan seorang pahlawan perang yang sangat gagah dan berani.
Hampir semua peperangan disertai oleh beliau akan beroleh kemenangan.
Selepas memeluk Islam, Rasulullah memberikannya jolokan Saifullah iaitu Pedang
Allah. Beliau juga telah menakluki negeri Syria.
Selepas memeluk Islam, Khalid menjadi pemimpin dalam setiap peperangan. Ini
disebabkan beliau bijaksana dan berpengalaman dalam mengatur strategi
peperangan.
Ketika beliau melihat jumlah pasukan musuh di Muktah yang berlipat ganda
ramainya, beliau memasang strategi dengan mengajak pasukannya mundur ke selatan
sementara pihak musuh mundur ke utara.
Dengan itu, kedua-dua pasukan tidak bertembung dan berada dalam keadaan
yang jauh. Keadaan itu menjadikan mereka lebih selamat dalam pasukan daripada
meneruskan peperangan yang akan membawa kepada kebinasaan dan kematian.
Sementara itu, beliau juga telah menugaskan sebahagian pasukannya yang
berada di barisan belakang untuk melancarkan pertembungan dan pergaduhan
sebagai taktik seolah-olah pasukan Muslimin sedang mendapatkan bantuan dari
Madinah.
Taktik yang beliau atur ini ternyata berhasil. Pihak musuh menjadi takut
terhadap pasukan Muslimin sehingga sebahagiannya terus berusaha mundur dan
tidak meneruskan peperangan.
Ketika hendak memeluk Islam, beliau telah menyaksikan berbagai-bagai
peristiwa dengan Nabi Muhammad SAW. Baginda sangat dikenali oleh semua orang
dan pengikut-pengikut baginda juga semakin bertambah.
Pernah suatu ketika, baginda dan rombongan baginda dalam perjalanan menuju
ke Hudaibiah, pasukan Khalid telah mengekori baginda. Kemudian beliau melihat
Rasulullah bersembahyang Zuhur bersama-sama para sahabat baginda.
Pada mulanya beliau bercadang hendak menyerang mereka ketika mereka sedang
bersembahyang itu, tetapi tiba-tiba tidak tercapai keinginan untuk membuat
sedemikian.
Khalid terus menunggu sehingga baginda menunaikan solat Asar pula. Tetapi
niat itu diketahui oleh Rasulullah, lalu baginda dan para sahabat terpaksa
menunaikan solat khauf iaitu solat dalam keadaan takut dan berjaga-jaga.
Terus hati Khalid berasa serba salah dan tidak jadi hendak menghalang
Rasulullah.
Apabila beliau mengetahui pemergian baginda ke Hudaibiah adalah untuk
membuat perjanjian perdamaian dengan kaum Quraisy, terus Khalid bersemangat
untuk mendatangi Rasulullah dan menyatakan keinginan beliau untuk memeluk
Islam.
Lalu beliau pun segera mengajak kawan-kawannya untuk pergi ke Madinah
menemui Rasulullah dan memeluk Islam. Rasulullah sungguh gembira menyambut
kedatangan Khalid dan sahabat-sahabatnya, lalu mengislamkan mereka.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0716&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm#ixzz5bgjx3Pad
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment