ARKIB :
26/01/2011
Susunan SITI
AINIZA KAMSARI
PAHLAWAN Islam
berjuang habis-habisan menentang kafir Quraisy pada perang Badar walaupun
menerima bantuan tentera malaikat. -Gambar hiasan
KEMUNCULAN
tiga pahlawan Islam, iaitu Ubaidah bin Harith, Ali bin Abi Talib dan sepupu Ali
yang juga bapa saudara Rasulullah, Hamzah Abdul Mutalib sama sekali tidak
menggentarkan pihak lawan.
Mereka ialah
Utbah bin Rabiah dan anaknya Walid bin Utbah serta saudaranya Syaibah bin
Rabiah ingin bertarung satu lawan satu dengan para pahlawan Islam itu.
Ibarat buku
bertemu ruas, akhirnya ketiga-tiga pahlawan Quraisy ini berjaya ditumpaskan
dengan mudah oleh Ubaidah, Ali dan 'Singa Allah', Hamzah.
Namun Ubaidah
sebenarnya mengalami kecederaan parah ketika berlawan dengan Utbah. Sebelah
tangannya putus ditetak lawan. Ini menyebabkan Hamzah segera membantu Ubaidah
dengan menerkam dan terus membunuh Utbah.
Namun Ubaidah
dengan semangatnya yang masih tinggi terus bertahan walaupun cedera parah
akhirnya gugur sebagai syahid.
Setelah
ketiga-tiga pahlawan mereka dibunuh menyebabkan, tentera Quraisy tergamam dan
tidak lagi berani mencabar untuk berlawan satu lawan satu. Lalu strategi
ditukar kepada serangan besar-besaran terhadap tentera Islam.
Pihak musuh
yakin dengan cara itu dengan jumlah anggota tentera Quraisy yang lebih ramai
berbanding pihak lawan, kemenangan di medan Badar akan menjadi milik mereka.
Rasulullah
yang mengetahui taktik serangan yang bakal dilakukan oleh pihak musuh terus mengeluarkan
arahan kepada anggota tentera baginda, satu arahan yang disifatkan agak pelik
dan luar biasa kerana tidak pernah strategi seperti itu dilakukan sebelum ini.
Lazimnya
serangan akan dibalas dengan serangan. Maka pada suatu titik pertempuran kedua-dua
belah akan bertempur dan berlawan antara satu sama lain.
Tetapi kali
ini baginda meminta anggota tenteranya supaya bertahan.
Baginda
memerintahkan supaya tenteranya duduk berlutut dan menunggu kemaraan pihak
musuh.
"Kalau
pihak musuh mula menyerang sambil memanah kamu bertahan di belakang perisai
masing-masing. Tetapi apabila mereka semakin dekat dan menyerbu untuk menyerang
ketika itulah kamu segera bangun dan serentak itu juga kamu balas serangan
dengan cara mengejut," tegas Rasulullah.
Sebagaimana
yang dijangkakan, gerombolan tentera Quraisy mara dan apabila mendapati pihak
Islam tidak turut mara, mereka begitu galak untuk terus menyerang dengan
anak-anak panah dihala dan menghujani tentera Islam.
Sebagaimana
diarahkan, tentera Islam hanya tunduk menahan di sebalik perisai masing-masing.
Namun ada juga anggota tentera Islam yang menemui ajal akibat terkena anak
panah yang beracun dari pihak musuh itu.
Namun pasukan
tentera Islam terus bangkit secara mengejut dan mengeluarkan pedang
masing-masing lalu dengan pantas menyerang pasukan Quraisy yang menyerbu
mereka.
Lalu
berlakulah pertempuran buat pertama kalinya antara tentera kafir Quraisy dan
tentera Islam.
Walaupun dalam
jumlah yang sedikit daripada pihak lawan namun tentera Islam tetap bertarung
seolah-olah kekuatan seorang tentera Islam itu mampu mengalahkan lebih dari
seorang tentera musuh. Atau dengan nisbah 1:3.
Begitupun
dikatakan bantuan Allah sebagaimana yang dipohon oleh baginda turut bersama
dengan pasukan tentera Islam.
"Bergembiralah
wahai Abu Bakar! Bergembiralah wahai Abu Bakar! Ini Jibrail, malaikat yang
sedang menunggang kuda putih datang bagi mengetuai 1,000 malaikat lain yang
turun membantu kita," kata Rasulullah SAW.
Kehadiran para
malaikat untuk membantu itu sebenarnya tidak disedari oleh para anggota tentera
Islam yang lain. Ini kerana mereka tetap beradu berlawan dan bertempur walaupun
ada malaikat yang turut memerangi kafir Quraisy itu.
Dalam satu
riwayat oleh Ibnu Saad menyebutkan: "Pada hari itu ada kepala orang
Quraisy yang gugur tanpa diketahui siapa yang memenggalnya dan ada tangan yang
putus sehingga terpelanting jatuh ke tanah tanpa diketahui siapa yang
mencantasnya."
Dan pelbagai
lagi dikisahkan oleh para sahabat mengenai kehadiran para malaikat yang
membantu tentera Islam.
Begitu pun
dikatakan di pihak musuh ada Iblis yang menyamar untuk membantu mengalahkan
tentera Islam pula.
Iblis menyamar
diri sebagai Suraqah bin Malik (terkenal sebagai musuh Islam dan pernah memburu
Rasulullah ketika baginda keluar menyelamatkan diri bersama Abu Bakar As Siddiq
sehingga mereka menyembunyikan diri ke Gua Tsur).
Tetapi apabila
Iblis itu menyaksikan kehadiran ribuan para malaikat, dia menjadi gentar dan
tahu adalah mustahil untuknya membantu mengalahkan tentera Islam.
Apabila iblis
itu ditahan apabila dilihat cuba melarikan diri, Iblis itu berkata dengan
ketakutan: "Aku melihat apa yang kamu tidak lihat, aku benar-benar
takut!"
Tentera musuh
mula melihat tanda-tanda kekalahan apabila satu demi satu atau semakin ramai
tentera mereka yang berjaya dibunuh oleh tentera Islam.
Begitupun
mereka masih diperkuatkan dari aspek semangat oleh ketua panglima mereka yang
tak pernah mengenal erti kalah, Abu Jahal.
Sesuai dengan
peranannya, Abu Jahal akan mengeluarkan kata-kata semangat dan menyeru kepada
bala tenteranya supaya meneruskan serangan kerana inilah sahaja peluang yang
ditunggu-tunggu selama ini untuk mereka menghancurkan umat Islam.
Jika ada di
kalangan tentera Quraisy yang mati ditangan tentera Islam, tuduh Abu Jahal
hanya disebabkan mereka bertindak terlalu gopoh dan tidak berhati-hati.
Namun Abu
Jahal benar-benar tidak dapat menerima hakikat bahawa kekalahan akan hanya
menjadi milik kepada tentera yang beliau pimpin.
Malah nyawanya
sendiri dalam bahaya kerana sentiasa diintai dan diambil kesempatan untuk
dibunuh oleh mereka yang begitu marah dengan tindak tanduk beliau selama ini
yang begitu memusuhi Islam.
SUMBERArtikel
Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0126&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz5dR2gd7Tg
© Utusan
Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment