ARKIB : 22/09/2010
Susunan SITI AINIZA KAMSARI
Bangsa Arab dan bangsa Yahudi
masing-masing masih menyimpan perasaan curiga mencurigai sehingga hari ini. -
Gambar hiasan
SEJARAH memberikan kita fakta
bahawa Nabi Muhammad SAW, satu-satunya pemimpin yang berjaya menyatupadukan
masyarakat majmuk antara kaum Arab dan Yahudi di Madinah.
Namun tugas itu sebenarnya bukan
satu kisah kejayaan yang dicipta dalam masa sehari atau sebulan tetapi
sepanjang masa.
Baginda sentiasa berusaha untuk
menyatupadukan kedua-dua kaum itu supaya dapat hidup bersama dalam sebuah
negara dan ia sangat sukar untuk dilakukan kerana setiap kaum itu mempunyai
pelbagai kerenah dan tabiat-tabiat yang sukar untuk dikikis demi untuk hidup
bersatu.
Tetapi dalam ruangan kali ini,
mungkin kita perlu mengetahui dengan lebih jelas mengenai sejarah kedatangan
Yahudi ke Yathrib atau Madinah.
Ini sebagaimana yang diceritakan
oleh Mubarakfuri dalam buku Sirah Nabawiyyah yang menjadi rujukan utama untuk
ruangan ini.
Mubarakfuri meletakkan kaum
Yahudi Madinah sebagai kelompok kaum ketiga yang menetap di bandar itu.
Iaitu selepas kelompok bangsa
Arab Muhajirin (penduduk Arab beragama Islam yang berhijrah dari Mekkah) dan
kelompok bangsa Arab Ansar (penduduk Arab, penduduk asal Yathrib).
Pada asalnya orang Yahudi datang
atau berhijrah ke Hijaz atau Semenanjung Arab semasa zaman penindasan oleh
kerajaan Asyria dan Rom dahulu kala.
Pada hakikatnya mereka lebih
tepat dikenali sebagai bangsa Ibrani dan setelah berada di Hijaz mereka mula
melalui cara kehidupan seperti orang Arab dari aspek pakaian, bahasa dan
peradaban.
Sehinggakan nama-nama kabilah dan
individu mereka turut menggunakan bahasa Arab. Akhirnya mereka dapat menjalin
hubungan perkahwinan dan persemendaan dengan bangsa Arab.
Akan tetapi mereka sangat
berpegang dengan dengan keagungan sebagai bangsa Yahudi yang menyebabkan mereka
tetap sombong dan bangga diri sebagai bangsa tersebut.
Iaitu fakta mengenai bangsa
Yahudi yang tidak akan berubah yang sehingga hari ini menjadi identiti bangsa
itu.
Justeru, mereka tidak menyerap ke
dalam kehidupan seperti orang Arab secara total.
Ini kerana mereka menganggap
bangsa Arab sebagai sangat lekeh sehingga mereka menggelarkan bangsa itu
sebagai "masyarakat Ummi" yang bererti primitif dan sangat
ketinggalan.
Malah lebih teruk lagi mereka
turut menganggap bahawa harta benda orang Arab adalah harus untuk mereka. Atau
lain perkataan boleh dirampas sesuka hati atau boleh mendapatkannya dengan apa
cara sekalipun.
Ini sebagaimana yang diakui
sebagaimana yang tercatat dalam al Quran yang bermaksud: "Tidak ada
jalannya kami menanggung dosa mengenai orang-orang yang ummi (Al Imran ayat
75)."
Sebagaimana yang dipertahankan
oleh Yahudi sehingga hari ini, bangsa Yahudi di Tanah Arab ketika itu juga
tidak mempunyai kemahuan atau minat untuk menyebarkan agama yang menjadi
pegangan dan kepercayaan mereka selama ini.
Al Mubarakfuri menyebutkan paling
besar bekalan agama yang bangsa itu miliki hanyalah berkisar dalam konteks
al-Fa'il (sempena baik), ilmu hitam atau sihir, meniup tali, jampi mentera dan
seumpamanya.
Disebabkan itu mereka beranggapan
dan mendabik dada bahawa merekalah, bangsa yang paling memiliki ilmu,
kemuliaan, kepimpinan dan kerohanian yang tinggi.
Maka atas sebab itukah Yahudi
sebagaimana hari ini adalah bangsa yang sangat mahir dalam soal pekerjaan dan
kehidupan.
Tetapi sebagaimana sejak zaman
sebelum kedatangan Islam itu lagi, bangsa Yahudi diakui sangat mahir dalam soal
pekerjaan terutamanya perniagaan dan kehidupan mereka yang lain-lainnya.
Mereka menguasai perniagaan
terutamanya bijirin, kurma, minuman arak dan tekstil atau pakaian.
Mereka sangat giat melakukan
perniagaan dengan mampu mengimport masuk pakaian, biji-bijian dan arak selain
mengeksport buah-buah kurma yang bermutu tinggi dari Yathrib.
Maka dalam dunia perniagaan
bangsa Yahudi akan mengambil keuntungan daripada para peniaga dan pembeli
terutama dari bangsa Arab secara berlipat kali ganda sebagai satu cara
penindasan dari aspek ekonomi.
Bagi memburukkan lagi keadaan
bangsa Yahudi mempelopori dan menjuarai perniagaan berasaskan riba.
Antara caranya, mereka memberikan
kepada para pembesar-pembesar Arab dengan pinjaman wang dan harta benda supaya
para ketua terutamanya ketua-ketua kabilah Arab tersebut mendapat sanjungan,
penghormatan dan kemuliaan terutama di kalangan penyair dan mendapat nama baik
di kalangan para pengikut.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0922&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz5cOn4Gui0
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment