ARKIB : 25/11/2010
SELEPAS pulang dari Perang Uhud,
Rasulullah SAW tidak tenang dan tenteram kerana selalu terbayang dalam fikiran
baginda tentang gerak geri pihak Quraisy.
Dalam diam-diam, baginda selalu
memerhatikan segala pergerakan pihak Quraisy yang baru sahaja kembali dari
Uhud. Baginda risau sekiranya pihak Quraisy akan berpatah balik menyerang
Madinah buat kali yang kedua dalam tempoh yang sama.
Oleh yang demikian, baginda
terfikir untuk membuat operasi memburu pihak Quraisy. Pada masa yang sama,
baginda dan pengikut-pengikutnya sedang menderita dalam kesakitan disebabkan
oleh luka-luka parah akibat daripada Perang Uhud yang baru berlaku.
Dalam pada itu, baginda mendengar
khabar bahawa tentera Quraisy dalam perjalanan menuju ke ar-Rauha dan dalam
perundingan hendak menuju ke Madinah untuk menghancurkan kaum Muslimin terutamanya
baginda sendiri.
Tentera Quraisy pada masa itu di
bawah pimpinan Abu Sufyan. Beliau berpendapat bahawa lebih baik mereka kembali
menyerbu dan menyerang kota Madinah serta menghancurkan kaum Muslimin.
Jika tidak, Rasulullah dan para
pengikutnya yang mempunyai kekuatan yang lebih besar akan membinasakan mereka.
Pendapat Abu Sufyan itu pada mulanya cukup mempengaruhi orang-orang kafir
Quraisy. Walaupun ada yang tidak bersetuju, mereka tidak berani bersuara.
Pada keesokan harinya iaitu pada
hari Ahad 16 Syawal, selepas selesai mengerjakan solat subuh, Rasulullah telah
memerintahkan sahabatnya Bilal supaya memanggil kaum-kaumnya yang baru pulang
dari Perang Uhud supaya bersiap sedia untuk mengejar tentera Quraisy.
Rasulullah sendiri bersiap sedia
dengan pakaian perang seperti biasa, dan bendera Muslimin diserahkan kepada Ali
bin Abi Talib untuk dibawa bersama.
Angkatan tentera Muslimin mula
berjalan kaki keluar dari Madinah walaupun sebahagian di antara mereka masih
menderita akibat luka semasa dalam Perang Uhud.
Akhirnya sampailah tentera
Muslimin ke Hamra'ul-Asad yang jauhnya kira-kira 12 kilometer dari kota
Madinah.
Tentera Muslimin sangat patuh
kepada seruan Rasulullah meskipun pada masa itu mereka masih dalam keadaan
sangat lelah dan keletihan, bahkan ada pula yang menderita akibat luka-luka.
Sebelum baginda berangkat
menentang tentera Quraisy, terlebih dahulu baginda mengutuskan tiga orang
sahabat daripada kabilah Islam ke tempat yang akan dituju oleh baginda untuk
menyelidiki keadaan yang sebenar.
Ali bin Abi Talib pun kembali,
dengan melaporkan bahawa tentera Musyrikin hanya menaiki unta manakala
kuda-kuda perang hanya sebagai pengiring sahaja.
Tahulah Rasulullah bahawa tentera
musuh sudah kembali pulang ke Mekah. Walau bagaimanapun, Rasulullah tetap
menyuruh para sahabat supaya berjaga-jaga.
Mereka mengawasi musuh dengan
membakar unggun-unggun api yang banyak. Mereka menunggu selama tiga hari.
Pada hari ketiga, barulah mereka
yakin bahawa tentera musuh telah bergerak pulang ke Mekah. Kemudian Rasulullah
dan para sahabat pun pulang ke Madinah dengan rasa lega dan penuh kesyukuran.
Kemudian turunlah ayat 172-173
surah ali-'Imran yang memuji tindakan dan kesabaran tentera Muslimin.
n PETIKAN daripada buku 366 Kisah
daripada Al-Quran terbitan Edusystem Sdn. Bhd.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1125&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm#ixzz5d3hJP42h
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment