ARKIB : 09/09/2010
MUS'AB bin Umair ialah seorang
pemuda yang segak dan tampan. Beliau adalah anak seorang bangsawan yang kaya
raya dan keturunannya dianggap mulia oleh penduduk Mekah. Sebab itu Mus'ab
menjadi bualan dan igauan wanita-wanita di Mekah.
Orang Quraisy juga menghormati
keturunan keluarga Mus'ab. Sebelum Mus'ab memeluk Islam, beliau hidup dalam
kemewahan. Pakaiannya mahal-mahal belaka. Beliau amat disayangi oleh kedua ibu
bapanya.
Nabi Muhammad dan sahabat-sahabat
lain juga mengenali Mus'ab. Malah Nabi sendiri berkata: "Tidak ada orang
yang tinggal di Mekah ini hidupnya mewah seperti Mus'ab."
Namun kemewahan dan kesenangan
yang dimiliki oleh Mus'ab hanya sementara. Mus'ab mendapat petunjuk daripada
Allah. Beliau mula meminati ajaran Islam dan berjumpa dengan Nabi Muhammad.
Beliau mendengar segala ajaran
dan kata-kata Allah yang disampaikan oleh Nabi Muhammad. Kemudian beliau
tertarik memeluk agama Islam. Mus'ab masuk Islam tanpa pengetahuan ibu dan
bapanya. Beliau memeluk agama Islam pada usia kira-kira 24 tahun.
Mus'ab cuba merahsiakan
keislamannya daripada pengetahuan ibu bapanya. Beliau mula bergiat aktif dalam
mempelajari ajaran Islam dan mula mengikuti Nabi Muhammad ke rumah Arqam bin
Abi Arqam dan berkumpul mempelajari ajaran Islam.
Namun, rahsia Mus'ab memeluk
Islam terbongkar apabila ada seorang pemuda melihat Mus'ab bersembahyang cara
Islam. Kemudian pemuda itu memberitahu ibu bapa Mus'ab mengenai keislamannya
itu. Mendengar cerita mengenai Mus'ab, ibu dan bapanya menjadi marah dan kesal
kerana anaknya mudah terpengaruh dengan ajaran yang disampaikan oleh Nabi
Muhammad.
Bermula hari itu, Mus'ab dilarang
sama sekali berjumpa Nabi SAW. Malah ibu bapanya mengurung Mus'ab di dalam
rumah.
Ibu Mus'ab berkata kepadanya
dalam keadaan marah: "Saya tidak terpengaruh dengan agama yang kamu anuti.
Saya menjadi tidak siuman sekiranya saya masuk agama kamu."
Mus'ab hanya berdiam diri
mendengar penjelasan ibunya. Kemudian ibunya berkata lagi: "Mulai pada
hari ini, saya tidak makan sehingga mati jika kamu tidak kembali semula kepada
agama asal".
Selepas ibunya berkata begitu,
Mus'ab menjawab: "Wahai ibu yang saya sayangi, walaupun ibu bernyawa
seribu dan setiap nyawa ibu mati satu persatu, saya tetap menjadi orang Islam
sehingga akhir hayat saya." Ibunya terkejut dengan jawapan anaknya itu.
Ibunya sedih dan kesal dengan tindakan anaknya itu.
Hari demi hari Mus'ab terkurung
di dalam rumahnya. Pada suatu hari, beliau mendapat peluang melepaskan dirinya.
Mus'ab terus berjumpa Nabi
Muhammad. Pada masa itu para pengikut Nabi SAW mahu berpindah ke Habsyah.
Mus'ab mengikuti rombongan itu berpindah ke Habsyah. Tidak lama di Habsyah,
Mus'ab kembali ke Mekah dan berjumpa Nabi Muhammad.
Beliau mula belajar semula ajaran
yang disampaikan oleh Nabi Muhammad. Pada masa itu, orang Islam yang belajar
ajaran Islam dengan Nabi Muhammad diseksa oleh orang Quraisy. Tetapi Mus'ab
tidak diseksa kerana orang Quraisy menghormati keturunannya.
Selepas memeluk Islam, kehidupan
Mus'ab bertukar daripada kaya kepada miskin. Beliau sanggup berbuat demikian
kerana patuh dan taat kepada perintah Allah dan Nabi Muhammad.
Tidak ada lagi pakaian mahal dan
makanan enak baginya setiap hari. Malah Mus'ab sanggup berlapar bagi
mempelajari ajaran Islam.
Pada suatu hari, datang utusan
dari Madinah berjumpa dengan Nabi Muhammad. Perutusan itu memberitahu bahawa
keadaan di Madinah kucar-kacir kerana berlaku permusuhan di antara suka Aus dan
suku Khazraj.
Malah orang Yahudi juga semakin
zalim.
Mereka berharap Rasulullah dapat
datang ke Madinah bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi. Mereka juga
berharap Nabi SAW dapat menyampaikan ajaran Islam kepada penduduk Madinah.
Akhirnya baginda menghantar Mus'ab sebagai tenaga pengajar ke Madinah.
Di Madinah, Mus'ab di sambut baik
oleh orang Islam Madinah. Beliau tinggal bersama-sama As'ad bin Zurarah. Mus'ab
menyampaikan ajaran-ajaran Islam kepada penduduk Madinah.
Kegiatan Mus'ab akhirnya
diketahui oleh para pemimpin Madinah iaitu Saad bin Muaz dan Usaid bin
Hudairiah. Mereka tidak suka Mus'ab menyebarkan agama Islam di Madinah. Namun
Mus'ab seorang yang bijak dan akhirnya kedua-dua pemimpin itu memeluk Islam.
Ini diikuti oleh puaknya yang lain sehingga kesemua puaknya dari Bani Asyhal
turut memeluk agama Islam.
Hasil usaha Mus'ab menyampaikan
agama Islam di Madinah, Islam terus berkembang sehingga perpindahan Nabi
Muhammad ke Madinah. Mus'ab meninggal dunia dalam perang Uhud ketika menentang
orang Quraisy pada 3 Hijrah bersamaan 625 Masihi.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0909&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_06.htm#ixzz5cOAOtBxK
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment