Ad

Friday 11 January 2019

KFA tidak akan keluarkan surat pelepasan Akhyar


 MOHD. ASMIRUL ANUAR ARIS.
MOHD. ASMIRUL ANUAR ARIS.
MUHAMAD AIMY AHMAD

11 Januari 2019 7:25 PM

ALOR SETAR 11 Jan. - Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) tidak akan mengeluarkan surat pelepasan pemain kebangsaan, Muhammad Akhyar Rashid yang kini sudah berada dalam senarai pendaftaran pemain pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) seperti dimaklumkan Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Kevin Ramalingam, semalam.

Setiausaha Kehormat KFA, Mohd. Asmirul Anuar Aris berkata, sekiranya surat pelepasan itu dikeluarkan mereka, ia bermakna badan induk bola sepak Kedah itu bersetuju dengan urusan perpindahan Muhammad Akhyar.


"KFA tak setuju... Jadi apabila kami tidak bersetuju, kami rasa Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sendiri akan keluarkan (surat pelepasan sementara)," katanya dalam sidang akhbar di Stadium Darul Aman, di sini hari ini.

Semalam, Kevin yang mengadakan pertemuan dengan wakil KFA di ibu negara berkata, Muhammad Akhyar bebas beraksi buat JDT meskipun belum mendapat surat pelepasan KFA.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd. Asmirul Anuar berkata, KFA juga tidak akan berganjak dan kekal dengan pendirian untuk membawa kes membabitkan Muhammad Akhyar ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).

Tanpa mahu mendedahkan tarikh sebenar untuk pihaknya memfailkan kes itu, beliau berkata, barisan peguam yang dilantik sedang membuat penelitian akhir berkaitan kes itu.

"Kita mempunyai pendirian yang sama seperti sebelum ini dan tidak akan membuat 'U Turn', KFA hanya mengikuti proses undang-undang biasa dan menyerahkan kepada peguam untuk menilai dan melihat kes ini.

"Sebaik sahaja difailkan di CAS, kita juga tidak akan membuat kenyataan-kenyataan menerusi media lagi dan segala pertanyaan berkaitan kes itu boleh merujuk dengan barisan peguam KFA," katanya.

Mengulas mengenai klausa tambahan berkaitan perpindahan pemain, ujarnya, pihak pengurusan KFA telah menyediakan perjanjian yang lebih baik dengan meletakkan jumlah tertentu mengikut potensi pemain muda mereka.

"Ada jumlah tertentu, mungkin RM3 juta atau RM5 juta dan kita boleh juga letak sampai mencecah RM12 juta mengikut prestasi pemain yang kita rasa mereka berpotensi di masa hadapan," katanya.

Pasukan Lang Merah akan menerima kunjungan Perak, Ahad ini bagi merebut Piala Unity Shield sebelum mengadakan perlawanan persahabatan dengan tiga kelab Thailand termasuk Buriram United di Krabi, bermula 19 Januari ini. - UTUSAN ONLINE
SUMBER-Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/kfa-tidak-akan-keluarkan-surat-pelepasan-akhyar-1.820293#ixzz5cJS5mJmp
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment