ARKIB : 24/09/2010
PADA suatu hari, Rifa'ah bin Zaid
telah membeli beberapa guni terigu. Beliau menyimpan makanan itu di dalam
gudang tempat menyimpan alatan perangnya.
Pada malam itu, gudang tersebut
telah dicerobohi dan kesemua isinya dicuri. Keesokan hari, pagi-pagi lagi
Rifa'ah datang menemui anak saudaranya Qatadah.
"Wahai Qatadah, malam tadi
gudang kita telah dimasuki pencuri. Semua makanan dan senjata di dalamnya telah
hilang," adu Rifa'ah.
Qatadah pun mengajak Rifa'ah
menyiasat di sekeliling kampung. Mereka bertanyakan orang kampung kalau mereka
terlihat sesiapa yang dicurigai.
"Semalam, aku melihat Bani
Ubairiq menyalakan api untuk memasak terigu," kata seseorang.
Pada waktu itu, terigu adalah
makanan orang kaya. Orang miskin seperti Bani Ubairiq hanya makan buah kurma
dan kekacang yang didatangkan dari Madinah.
Qatadah dan Rifa'ah pun pergi ke
rumah Bani Ubairiq.
Kata Bani Ubairiq: "Kami
telah bertanya di sekitar kampung ini. Lahib bin Sahl yang mencerobohi
gudangmu. Demi Allah, aku yakin."
Lahib ialah seorang muslim yang
terkenal kerana kejujurannya. Apabila mendengar tuduhan Bani Ubairiq itu, Lahib
segera menarik pedangnya dan berkata: "Engkau menuduh aku mencuri? Demi
Allah, buktikan aku mencuri, kalau tidak aku bunuh kamu semua."
"Bukan! Bukan kami yang
menuduhmu!" nafi Bani Ubairiq.
Qatadah dan Rifa'ah terus
menyiasat. Akhirnya mereka yakin Bani Ubairiq yang mencuri barang mereka.
Qatadah pun pergilah menemui Rasulullah untuk meminta penjelasan mengenai
perkara itu.
Qatadah pun menceritakan tentang
barang-barang bapa saudaranya yang dicuri. Katanya, Rifa'ah hanya mahukan
senjatanya sahaja. Makanan itu dihalalkan. Rasulullah berjanji akan menyiasat
perkara itu.
Dalam masa yang sama, Bani
Ubairiq telah menjaja cerita kononnya Qatadah menuduh Lahib mencuri. Orang
kampung pun menemui Rasulullah untuk membuat aduan.
Ia bertujuan menutup tuduhan
mencuri daripada kaumnya sendiri.
"Wahai Rasulullah! Qatadah
dan bapa saudaranya telah menuduh seorang yang jujur mencuri tanpa bukti yang
kukuh," kata mereka.
Rasulullah yang mendengar
kata-kata Bani Ubairiq hampir-hampir menjatuhkan hukuman kepada orang yang
tidak bersalah. Sebaliknya baginda membela Bani Ubairiq.
Oleh sebab itu, apabila Qatadah
datang menemui Rasulullah, baginda telah menegurnya. Baginda berkata:
"Adakah kau menuduh seorang muslim yang jujur tanpa mengemukakan
bukti?"
Qatadah pun pulang dan
menceritakan kepada Rifa'ah. Apabila mendengar cerita Qatadah mengenai teguran
Rasulullah itu, Rifa'ah pun berkata: "Hanya Allah tempat kita
berlindung."
Lalu Allah menurunkan ayat 105
dari surah an-Nisa' sebagai penjelasan bahawa pencuri yang sebenar ialah Bani
Ubairiq dan Rasulullah sendiri yang membawa senjata yang dicuri untuk
dikembalikan kepada Rifa'ah
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0924&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz5cOvYibcU
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment