PADA suatu masa dahulu, terdapat
tiga bersaudara daripada keturunan Bani Israel. Mereka hidup dalam kemiskinan
dan sentiasa dihina. Salah seorang daripada tiga bersaudara itu digelar Si
Sopak.
Dia digelar begitu kerana
kulitnya dijangkiti penyakit sopak. Saudaranya yang kedua, botak kepalanya. Maka
digelarnya Si Botak. Yang ketiga digelar Si Buta, kerana matanya buta.
Pada suatu hari, Si Sopak
berkata: "Alangkah bahagianya aku jika kulitku sehalus sutera dan aku pula
menjadi kaya."
Allah mendengar kata-kata itu dan
mengutuskan malaikat pergi ke rumah Si Sopak dalam bentuk manusia. Malaikat itu
bertanya kepada Si Sopak: "Apakah yang engkau inginkan?"
"Kulit yang halus dan sihat
daripada penyakit ini. Aku juga inginkan unta agar aku boleh menternaknya
nanti," kata Si Sopak.
Malaikat pun menyapu sekujur
tubuh Si Sopak. Kulit Si Sopak pun berubah menjadi halus. Selepas itu, malaikat
pun menyerahkan seekor unta yang sedang bunting kepada Si Sopak.
Malaikat seterusnya pergi ke
rumah Si Botak pula. Si Botak sedang menyesali nasib dirinya yang malang.
Kepalanya yang botak kelihatan berkilat.
"Apakah yang engkau
inginkan, wahai Botak," tanya malaikat.
"Saya ingin sembuh daripada
penyakit botak ini. Biarlah rambut yang halus dan lebat tumbuh. Aku juga
inginkan lembu untuk dipelihara," kata Si Botak malu-malu.
Malaikat pun mengusap lembut
kepala Si Botak. Dengan izin Allah, tumbuhlah rambut yang lebat. Wajahnya pula
menjadi kacak. Malaikat pun menyerahkan seekor lembu betina bunting kepada Si
Botak. Si Botak pun memeliharanya sehingga beranak pinak.
Kemudian malaikat pergi pula ke
rumah Si Buta. Seperti dua saudaranya yang lain, malaikat bertanya apa yang Si
Buta inginkan.
"Aku inginkan mataku yang
buta ini disembuhkan oleh Allah. Maka dapatlah aku melihat
saudara-saudaraku," kata Si Buta.
Malaikat pun mengusap mata Si
Buta. Si Buta pun membuka mata dan alangkah terperanjatnya dia apabila dia
sudah dapat melihat. Malaikat pun bertanya kekayaan apakah yang Si Buta
inginkan, dan apabila Si Buta meminta kambing, malaikat juga menyerahkan seekor
kambing yang sihat dan sedang bunting kepadanya.
Beberapa tahun kemudian,
terkenallah ketiga-tiga orang bersaudara itu kerana kekayaan masing-masing.
Ternakan mereka memenuhi ladang ternakan masing-masing.
Mereka sekarang sudah digelar
Tuan Sopak, Tuan Botak dan Tuan Buta. Kekayaan mereka tersebar di kalangan Bani
Israel.
Allah kemudian mengutuskan
malaikat untuk turun ke bumi dalam rupa seorang pengemis. Mula-mula sekali,
malaikat pergi ke rumah Tuan Sopak.
"Saya ini musafir yang
miskin, tuan," kata malaikat. "Tiada bekal untuk pulang. Demi Allah
yang mengurniakan paras yang indah dan harta yang banyak, berilah unta seekor
kepada saya untuk teruskan perjalanan."
Tuan Sopak jijik melihat musafir
di depannya itu. Maka dia pun berkata: "Aku harus menyelesaikan banyak
hutang. Aku tidak boleh memberi apa-apa kepada kau.
"Moga Allah mengembalikan
keadaan tuan yang asal," balas malaikat yang menyerupai pengemis itu.
Selepas malaikat tersebut
beredar, Si Sopak menjadi seperti dahulu. Kulitnya kembali dijangkiti sopak.
Ternakan untanya semakin hari semakin susut kerana mati. Akhirnya habislah
semua harta kekayaannya.
Malaikat pergi menemui Tuan Botak
pula untuk meminta sedekah, Tuan Botak memberi alasan yang sama dengan Tuan
Sopak. Maka malaikat pun berdoa agar Allah menjadikan Tuan Botak seperti dulu.
Kepalanya pun menjadi botak
kembali. Lembu Si Botak juga mati seekor demi seekor. Maka Si Botak pun kembali
miskin.
Malaikat menemui Tuan Buta pula.
Lelaki itu sentiasa bersyukur kepada Allah. Apabila malaikat meminta agar
diberikan seekor kambing, Tuan Buta pun berkata: "Dulu aku seorang buta.
Allah telah menyembuhkan mataku. Oleh itu, kau ambil mana-mana kambing yang
engkau sukai untuk dibuat bekalmu."
Mendengar jawapan itu, malaikat
pun berkata: "Jagalah hartamu baik-baik. Sebenarnya Allah hanya ingin
mengujimu. Allah telah meredaimu, sedangkan saudara-saudaramu telah mendapat
kemurkaan."
Si Buta pun menadah tangan lalu
mengucapkan syukur.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0723&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz5bhIScX4B
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment