ARKIB : 04/08/2010
Susunan SITI AINIZA KAMSARI
PENDUDUK kafir Quraisy kini
benar-benar serius untuk membunuh Nabi Muhammad SAW. Keputusan di Darul Nadwah
itu akan diteruskan sebagai cara dan jalan penyelesaian terbaik menyekat
kemaraan Islam daripada terus berkembang selepas tanpa disangka memasuki
Yathrib.
Mereka tidak boleh menunggu masa
dan perlu menyegerakan komplot untuk membunuh Nabi SAW sebelum baginda menurut
jejak langkah para pengikutnya yang berhijrah ke Yathrib.
Komplot membunuh baginda itu
tentunya begitu segar dalam ingatan umat Islam. Ia antara catatan besar dalam
sejarah atau sirah Nabi Muhammad.
Setiap detik penuh dikira begitu
mencemaskan apabila para pembesar Quraisy melantik 11 pembunuh yang mewakili
pelbagai kabilah dan kaum bagi menjalankan misi itu.
Mereka terdiri daripada kalangan
pemuda-pemuda dan beberapa pemimpin Quraisy yang gagah perkasa, cekap bermain
senjata dan terkenal dengan sifat jahat dan kejam.
Termasuk beberapa nama yang kita
kenali, para pembunuh yang diamanahkan untuk membunuh Nabi Muhammad itu ialah:
1) Abu Jahal bin Hisham
2) Al Hakam bin Abi Al 'As
3) 'Uqbah bin Abi Mu'ayyat
4) Al-Nadr bin Al Harith
5) Ummayyah bin Khalaf
6) Ta'imah bin Adiy
7) Abu Lahab
8) Ubay bin Khalaf
9) Zama'ah bin Al Aswad
10) Nabih bin al Hajjaj
11) Munabbih bin Al Hajjaj
Lalu Jibrail segera membawa wahyu
kepada Nabi Muhammad memberitahu mengenai perancangan jahat itu dan
memerintahkan baginda dengan izin Allah segera berhijrah sebagaimana umat Islam
yang lain.
"Malam ini, kamu jangan
tidur di atas tempat tidurmu yang biasa engkau tidur di atasnya," kata
Jibrail.
Lalu baginda segera pergi ke
rumah sahabat baiknya, Abu Bakar memberitahu perintah Allah untuk mereka segera
menyelamatkan diri kerana pada malam itu pasti pakatan hendak membunuh.
Apabila tiba waktu malam, kesemua
mereka yang diamanahkan membunuh Nabi Muhammad mula menyusup secara
senyap-senyap di sebalik rumah baginda.
Mereka mengepung rumah baginda
dan hanya menunggu masa sahaja untuk membunuh baginda.
Kerana terlalu yakin bahawa
mereka akan mencapai kemenangan dengan darah merah Rasulullah akan membasahi
pedang panjang masing-masing lalu Abu Jahal sempat mengeluarkan kata-kata yang
sangat angkuh.
"Muhammad mendakwa kalau
kamu ikut dia, maka kamu akan menjadi Raja kepada orang-orang Arab dan Ajam.
Kemudian setelah kamu mati kamu akan dibangkitkan.
"Dia janjikan untuk kamu
syurga-syurga seperti taman-taman di Urdun (Jordan).
"Kalau kamu tak sanggup
mengikutinya, dia berupaya menewaskan kamu. Kemudian selepas mati kamu akan
dibangkitkan dan disediakan untuk kamu neraka yang akan membakar kamu,"
kata Abu Jahal dengan tujuan untuk mempersenda-sendakan Nabi SAW.
Yang lain hanya tersenyum
mendengarkan kata-kata Abu Jahal itu. Malah mereka semakin tidak sabar untuk
menghunuskan pedang bagi menamatkan riwayat baginda.
Namun sebaik mana pun pakatan
untuk membunuh Nabi Muhammad itu dirancang, akhirnya seperti yang kita semua
ketahui ia gagal (rujuk surah al-Anfal; 30).
Pihak Quraisy menemui kegagalan
yang sangat memalukan. Apabila tiba detik untuk mereka membunuh Nabi Muhammad
mereka mendapati menantu baginda, Ali bin Abi Talib pula yang berada di atas
katil yang lazimnya menjadi tempat tidur baginda.
Baginda berkata kepada Ali:
"Tidurlah di atas tempat tidurku, berselimutlah dengan selimut al Hadramai
yang berwarna hijau ini. Mereka tidak akan dapat melakukan apa-apa yang buruk
terhadapmu."
Selepas memberi arahan daripada
Rasulullah, Ali pun melakukan seperti apa yang diperintahkan tanpa sedikit rasa
ragu mahupun takut. Ali segera menutup badannya dengan selimut itu lalu terus
baring mengiring mengadap ke dinding, tidak ubahnya seperti nabi Muhammad yang
sedang tidur.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0804&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz5bk033xO9
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment