Ad

Friday, 18 January 2019

Jabir menjamu tetamu


ARKIB : 09/11/2010
JABIR bin Abdullah adalah salah seorang sahabat Nabi Muhammad. Beliau sudah berumah tangga. Beliau seorang yang berhati mulia.

Semasa orang Islam di Kota Madinah sibuk menyelamatkan Madinah daripada serangan kafir Quraisy Mekah, salah satu kaedah yang digunakan ialah menggali parit. Ia bertujuan menghalang serangan musuh Islam.

Idea menggali parit itu dicadangkan oleh Salaman al-Farisi. Menurut sejarah Islam, pada tahun itu, tercetusnya perang yang dikenali sebagai Perang Khandak. Perkataan Khandak diambil sempena nama parit yang digali oleh orang Islam Madinah.

Kerja menggali parit dilakukan oleh 1,000 orang penduduk Islam Madinah. Mereka melakukannya dengan penuh semangat supaya pihak musuh dapat ditewaskan. Jabir bin Abdullah adalah antara salah seorang daripada penggali parit itu.

Turut serta adalah Nabi Muhammad sendiri. Baginda tidak duduk diam atau memberi arahan semata-mata. Tetapi baginda juga bekerja keras supaya parit itu dapat disiapkan dengan segera.

Hari semakin panas. Orang Islam berusaha menggali parit dengan sedaya upaya mereka. Selepas selesai, mereka semua berehat kerana letih dan penat. Jabir melihat keadaan Nabi Muhammad yang juga kelihatan penat.

"Nampaknya Nabi Muhammad sudah penat. Kelihatan baginda sangat lapar. Baik saya sediakan makanan bagi Nabi Muhammad," bisik Jabir seorang diri.

Tanpa membuang masa, Jabir segera pulang ke rumah. Beliau terus mendapatkan isterinya yang pada masa itu berada di dapur.

"Wahai isteriku, adakah barang makanan yang dapat kita sediakan bagi Nabi Muhammad? Selepas menggali parit tadi, saya lihat Nabi Muhammad penat dan berada di dalam keadaan lapar. Saya berhajat menyediakan makanan baginya," kata Jabir kepada isterinya.

"Di rumah kita hanya ada sebungkus kecil gandum. Di luar rumah, ada seekor kambing yang masih kecil," jawab isterinya sambil menunjukkan bungkusan kecil gandum kepada suaminya.

"Saya rasa gandum ini cukup untuk diberikan sebagai makanan kepada Nabi Muhammad. kamu masaklah gandum ini dengan masakan yang istimewa. Sementara saya pergi ke luar rumah menyembelih kambing itu," jelas Jabir kepada isterinya.

"Suamiku, kambing itu masih kecil. Bukankah kita mahu menunggu hasil daripada kambing itu?" Tanya isterinya.

"Tidak mengapa, isteriku. Allah menambah rezeki kepada kita apabila kita membantu orang lain. Kita patut sentiasa bersyukur," jawab Jabir pula.

Mendengar penjelasan itu, isterinya segera menggiling gandum dan dijadikan tepung. Sementara Jabir pergi ke tempat kambingnya dan terus menyembelihnya. Selesai melapah kambing itu, Jabir membawa daging kambing itu ke dapur rumahnya.

"Sudahkah kamu menguli tepung gandum itu?" Tanya Jabir.

"Sudah," jawab isterinya.

"Kambing itu kita masak dengan masakan yang sedap supaya Nabi Muhammad gembira menikmati hidangan yang kita sediakan ini," ujar Jabir kepada isterinya.

"Baiklah, suamiku," jawab isterinya sambil mengambil daging kambing itu.

Kemudian, Jabir keluar semula menemui Nabi Muhammad. Sebelum Jabir keluar, isterinya berpesan: "Suamiku, jemputlah Nabi Muhammad sahaja, jangan jemput orang lain kerana makanan itu tidak cukup bagi orang yang ramai itu."

"Baiklah," kata Jabir sambil berlalu pergi.

Sampai di kawasan parit, Jabir melihat Nabi Muhammad sedang berehat. Beliau berjalan menuju ke arah Nabi Muhammad.

Jabir mendekati Nabi Muhammad dan berkatanya kepadanya dengan suara yang perlahan: "Jemputlah datang ke rumah saya. Saya ada sediakan makanan buat tuan. Cuma makanan itu sedikit. Saya tidak dapat menjemput ramai orang kerana risau ia tidak cukup."

Mendengar khabar itu, Nabi Muhammad melaung-laungkan suaranya menjemput semua yang terlibat ke rumah Jabir.

"Dengar sini semua, hari ini Jabir berbesar hati menyediakan makanan bagi kita semua. Mari kita beramai-ramai menuju ke rumah Jabir!"

Para pekerja yang mendengar laungan Nabi Muhammad itu berasa gembira. Mereka beramai-ramai menuju ke rumah Jabir. Sebelum bergerak, Nabi Muhammad berpesan kepada Jabir supaya tidak menyediakan makanan itu sehingga Nabi Muhammad sampai.

Sampai sahaja mereka di rumah, isteri Jabir terkejut melihat ramai orang datang ke rumahnya.

"Bukankah saya sudah berpesan kepada kamu tadi. Kamu mesti bertanggungjawab sekiranya makanan ini tidak cukup bagi menampung seramai 1,000 orang ini," kata isteri Jabir kepada suaminya.

Kemudian, Nabi Muhammad menuju ke dapur rumah Jabir. Beliau berdoa kepada tepung gandum itu. Kemudian, beliau menuju ke tempat periuk memasak daging dan berdoa pada periuk itu.

Selepas mendoakan makanan itu, Nabi Muhammad berpesan kepada isteri Jabir supaya mencari seorang pembantu bagi membantunya memasak. Nabi Muhammad juga berpesan supaya periuk yang berisi kambing itu dibiarkan masak di atas tungkunya dan hanya dicedok terus dari periuk itu.

Selepas makanan itu siap dimasak, Jabir menghidangkan kepada tetamu-tetamunya. Berkat keikhlasan mereka, Jabir dan isterinya tidak menyangka makanan yang sedikit itu cukup untuk 1,000 orang tetamu.

lPetikan daripada buku Sayap Dari Syurga terbitan PTS Islamika Sdn. Bhd.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1109&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_03.htm#ixzz5cxy0NBzN
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment