ARKIB : 13/10/2010
Susunan SITI AINIZA KAMSARI
SEBELUM musyrik Mekah dapat
dilawan, pihak umat Islam yang dipimpin oleh Nabi Muhammad SAW mestilah terdiri
satu pasukan yang sangat kuat.
Iaitu kekuatan yang terhasil
daripada perpaduan, persepakatan, keharmonian dan yang lebih penting
persaudaraan sesama umat itu sendiri.
Daripada kata kuncinya
persaudaraan, maka itulah yang dilakukan oleh baginda sebaik sahaja tiba di
Madinah.
Iaitu menyatukan antara umat
Islam yang berhijrah dari Mekah, yang dikenali sebagai Muhajirin dengan
penduduk Yathrib terutama berbangsa Arab, yang kebanyakan mereka telah memeluk
Islam.
Persaudaraan yang dimaksudkan
tidak sekadar satu pengakuan tetapi usaha penyatuan yang sehingga melibatkan
soal pusaka mempusakai. Walaupun pada asalnya, mereka tidak mempunyai sebarang
hubungan.
Persaudaraan seperti itu
disifatkan sebagai yang paling indah dan unik dalam sejarah.
Ia bermula apabila seramai 90
orang, iaitu terdiri separuh daripada Muhajirin dan separuh lagi golongan Ansar
disatukan dalam sebuah majlis yang berlangsung di rumah Anas bin Malik.
Mereka dipersaudarakan atas asas
berkongsi kehidupan dan saling mempusakai selepas berlaku kematian dengan
melebihi taraf kaum kerabat yang jauh.
Namun asas pewarisan atau
mempusakai seperti itu ditamatkan setelah berlaku Peperangan Badar, iaitu
dengan turunnya firman Allah: Dan golongan yang beriman sesudah itu, kemudian
mereka berhijrah dan berjihad bersama-sama kamu, maka adalah mereka dari
golongan kamu. Dalam pada itu, mereka yang mempunyai pertalian kerabat,
sesetengahnya lebih berhak atas setengah yang lain menurut (hukum) Kitab Allah;
sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. (al-Anfal: 75)
Dengan turunnya ayat itu maka hak
pewarisan ditarik balik tetapi hubungan persaudaraan itu tetap diteruskan.
Begitulah juga hendaknya sehingga ke hari ini, umat Islam ialah umat bersaudara
tanpa mengira status, pangkat kedudukan, warna kulit dan bangsa.
Atas nama Islam, kita semua
adalah bersaudara, cubit paha kiri paha kanan terasa juga.
Jika ada umat Islam disakiti
misalnya seperti yang berlaku di Palestin, maka wajiblah kepada saudara Islam
yang lain membantu dan menyelamatkan mereka!
Erti persaudaraan yang
diperkenalkan oleh Nabi Muhammad di sini seperti menurut pendapat Muhammad Al
Ghazali iaitu supaya fahaman berpuak-puak secara jahiliah dapat dihapuskan.
Justeru, tidak ada keakraban atau hubungan yang sangat rapat dan baik melainkan
atas landasan Islam.
"Dengan adanya persaudaraan
seperti ini maka perbezaan keturunan, warna kulit hatta tanah air dapat
dibuang.
"Lantaran itu, tidak seorang
pun yang dapat ditampilkan ke hadapan atau diletakkan di belakang melainkan
dengan faktor maruah dan ketakwaannya," katanya.
Baginda menjadikan persaudaraan
sesama Islam itu sebagai satu kontrak atau perjanjian sejati yang perlu
dilaksanakan, bukan hanya sebagai mainan di bibir atau manis dimulut sahaja
tanpa dipraktikkan. Ia melampaui sehingga melibatkan soal darah dan harta
benda.
Bagi baginda tidak ada gunanya
dilaungkan persaudaraan sesama Muslim tetapi akhirnya tinggal sekadar slogan
tanpa sebarang hasilnya.
Mereka yang mengaku saling
bersaudara, merekalah rupa-rupanya yang saling bergaduh sehingga sanggup
berbunuh-bunuhan.
Indahnya persaudaraan yang
dianjurkan oleh Rasulullah itu ialah ia menimbulkan satu perasaan yang sangat
kuat hingga lebih mengutamakan orang lain lebih daripada diri sendiri.
Atau lebih tepat tidak ada
sebarang perasaan pentingkan diri sendiri di samping suka berkongsi apa sahaja
apa yang boleh dikongsikan dan bertambah indah apabila wujud suasana kemesraan
dan kasih sayang yang tidak berbelah bagi.
Namun jelas menunjukkan betapa
golongan Ansar sangat mengambil berat terhadap kebajikan dan keperluan
saudara-saudara baru mereka yang sanggup meninggalkan kampung halaman tercinta
iaitu, Mekah.
Sikap seperti ini sangat
menunjukkan erti pengorbanan sebenar, iaitu dengan mengutamakan orang lain,
berkasih sayang dan kejernihan hati.
Namun yang jelas juga kepada
kita, puak Muhajirin sama sekali tidak mengambil kesempatan dari kemurahan hati
kalangan Ansar dan tidak mengaut sebarang hasil melainkan sekadar yang layak
dan berpatutan dengan penat lelah mereka mengusahakan secara bersama.
Begitulah uniknya persaudaraan
yang dianjurkan oleh Nabi Muhammad dan mereka yang disatukan itu termasuklah;
Abu Bakar As Siddiq dengan Kharjah bin Zaid, Umar dengan Utban, Abdullah bin
Mas'ud dengan Muaz bin Jabal, Mus'ab bin Umjar dengan Abu Ayyub Al Ansari, Abu
Ubaidah dengan Abu Talhah dan begitu jugalah yang lain-lainnya.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1013&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz5cwSNQJ3P
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment