Ad

Saturday, 26 January 2019

Tentera Mekah lari bertempiaran


ARKIB : 02/03/2011
Susunan SITI AINIZA KAMSARI
PERANG Badar merupakan antara ujian terbesar yang dialami oleh tentera Islam di Madinah. Lagi pula kekuatan yang dimiliki tentera kafir cukup luar biasa. Ia di luar jangkauan tentera Islam.

Tetapi akhirnya kemenangan memihak kepada tentera Islam.

Dalam peperangan itu, seorang demi seorang panglima tentera Quraisy yang terkenal dengan gagah perkasa. Ini menyebabkan bala tentera golongan kafir itu hilang semangat hingga bertempiaran lari meninggalkan medan perang.

Perang Badar berakhir setelah dikatakan berlangsung hanya beberapa jam. Ia bermula daripada terbit matahari 17 Ramadan dan tamat menjelang awal tengah hari pada hari yang sama.

Sebanyak 70 orang tentera kafir Mekah yang kebanyakan adalah para pemimpin dan orang kenamaan pembesar Quraisy terkorban. Sebanyak 70 orang lagi ditawan oleh tentera Islam.

Ia melibatkan lebih kurang 15 atau 16 peratus daripada tentera Quraisy terkorban. Manakala di pihak Muslim hanya 14 yang terkorban iaitu lebih kurang empat peratus daripada kekuatan keseluruhan.

Daripada jumlah itu, enam orang adalah kalangan Muhajirin dan lapan lagi yang terkorban adalah dari kalangan puak Ansar.

Kesemua mereka ini tentunya adalah sekumpulan para syuhada pertama dalam peperangan Islam yang menempahkan diri mereka masuk ke dalam syurga Allah.

Diriwayatkan oleh Abu Talhah bahawa Nabi Muhammad kemudiannya mengarahkan kesemua mayat tentera kafir Quraisy dikumpul dan dihumbankan ke dalam sebuah perigi. Jenazah-jenazah tentera Islam dikebumikan di medan Badar itu.

Sebanyak 14 orang tentera Islam yang syahid dikuburkan di Badar. Sementara seorang lagi dikuburkan antara Badar dan Madinah iaitu dalam perjalanan pulang selepas perang.

Walaupun perang telah tamat dan tiada lagi musuh yang boleh mengancam keselamatan namun baginda dan bala tentera yang lain menunggu selama tiga hari di medan Badar sebelum pulang ke Kota Madinah.

Pada hari keempat baru baginda dan para pengikut yang lain pulang semula ke Madinah.

Sebelum pulang itu baginda sempat berdiri berhampiran dengan telaga yang telah dihumbankan ke dalamnya mayat-mayat anggota tentera kafir dan baginda pun menyeru nama-nama mereka yang mati itu berserta nama bapa-bapa mereka sambil berkata: "Sukakah kamu kalau kamu mentaati Allah dan Rasul-Nya? Sesungguhnya kami telah mendapat apa yang dijanjikan Allah kepada kami adalah benar. Maka apakah kamu mendapati apa yang dijanjikan oleh tuhan kamu kepada kamu adalah benar?" Kata Rasulullah.

Lalu sahabat baginda, Umar Al Khattab pun menegur: "Wahai Rasulullah, mengapa engkau bercakap dengan jasad-jasad yang sudah tidak bernyawa itu?"

Baginda pun menjawab: "Demi diri Muhammad yang berada dalam kekuasaan-Nya, bukannya kamu yang lebih mendengar daripada mereka kerana mereka itu lebih mendengar tetapi hanya mereka tidak berupaya untuk menjawabnya sahaja!"

Sementara itu saki baki tentera musyrikin yang kalah dalam perang Badar bertempiaran lari. Mereka lari berselerakan ke merata lembah, bukit dan jalan tanpa haluan dalam keadaan yang sangat berkecamuk.

Mereka juga tidak tahu bagaimana hendak memberitahu kekalahan teruk yang mereka alami itu dan malu yang amat sangat.

Ini kerana, penduduk kafir Mekah yakin mereka dapat mengalahkan tentera Islam dengan mudah.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0302&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz5djFQXzhL
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment