ARKIB :
09/03/2011
Susunan SITI
AINIZA KAMSARI
SETELAH
pasukan tentera Islam mencapai kemenangan di Badar mengalahkan tentera Quraisy,
Rasulullah SAW segera menyampaikan berita gembira itu kepada para pengikut
baginda yang lain di Madinah.
Dua orang
sahabat, iaitu Abdullah bin Abi Rawahah dan Zaid bin Harithah diutuskan bagi
menyampaikan berita itu sementara baginda masih di Badar dalam persiapan untuk
pulang ke Madinah.
Sebelum itu,
di Madinah telah tersebar berita palsu atau fitnah apabila golongan Yahudi dan
munafik.
Mereka
memberitahu, Rasulullah terbunuh di medan Badar dan tentera Islam mengalami
kekalahan teruk.
Buktinya
apabila Zaid bin Harithah pulang ke Madinah menyampaikan berita itu dengan
menunggang unta milik Rasullullah yang bernama Al Qaswa.
Apabila
daripada jauh mereka melihat Zaid menunggang unta itu dan ditunjukkan kepada
para penduduk Madinah yang lain, maka mereka pun berkata: "Memang benarlah
Muhammad telah mati dibunuh. Bukankah unta yang dinaiki oleh Zaid itu kita
sangat kenal? Zaid pun tidak tahu untuk berkata-kata apa kerana takut dan
pulang bagai orang yang tewas."
Namun apabila
kedua-dua utusan itu sampai di tengah-tengah orang ramai yang mula berkerumun
untuk mengetahui berita yang dibawa, mereka begitu terkejut.
Lebih-lebih
lagi apabila Abdullah dan Zaid melaung-laungkan: "Sudah terbunuh Abu Jahal
yang fasiq itu! Telah terbunuh juga Utbah, Umayyah, Syaibah dan Abu Al
Buhturi!"
Penduduk
Madinah menjadi terpinga-pinga. Ini kerana ada juga yang mengetahui bahawa Nabi
SAW dan para sahabat keluar dari Kota Madinah untuk menyekat rombongan dagang
Abu Suffian.
Jadi apa kena
mengena nama-nama yang disebutkan tadi dengan kafilah Abu Suffian itu?
Bagaimanapun,
apabila Abdullah dan Zaid memberitahu perkara yang sebenar dan kemenangan yang
mereka capai, barulah penduduk Islam Madinah bersorak sorai kegembiraan.
Mereka
bertakbir dan berselawat meraikan kemenangan yang tidak disangka-sangka itu.
Namun bagi
golongan Yahudi dan munafik di Madinah tetap tidak percaya dengan berita
gembira yang dibawa oleh Abdullah dan Zaid itu. Bagaimana Muhammad yang pergi
menyekat kafilah yang sangat besar itu datang membawa cerita bahawa semua
panglima Mekah tewas di tangan Nabi Muhammad. Sekali gus juga 70 orang pahlawan
Mekah tewas.
Walaupun
golongan ini cuba menyebarkan fitnah mengatakan bahawa Nabi Muhammad sebenarnya
telah mati dibunuh berikutan unta yang ditunggang oleh Zaid itu, mereka tidak
dapat menyekat para pembesar yang beramai-ramai keluar dari Madinah kerana tidak
sabar untuk menemui Nabi SAW.
Ketika tiba di
Al Rawha, mereka pun bertemu dengan rombongan baginda di situ. Di situ baginda
menerima ucapan tahniah dan begitu gembira berkongsi kejayaan dengan pasukan
tentera Islam yang lain.
Salah seorang
daripada mereka, iaitu Salamah bin Abi Sa'lamah pun berkata: "Apa sebabnya
kami mengucapkan tahniah kepada kamu? Demi Allah kemenangan ini tidak lain
kecuali kerana dibantu oleh orang-orang tua yang botak kepalanya tetapi gagah
perkasa mengalahkan seekor unta yang garang!"
Sambil
tersenyum baginda pun berkata: "Wahai anak saudaraku, mereka itu
sebenarnya para malaikat yang turun membantu!"
Sementara
Usaid bin Hudayr pula berkata: "Wahai Rasulullah, syukur kepada Allah yang
memberi kemenangan kepadamu dan mententeramkan kamu. Demi Allah, wahai
Rasulullah, kalaulah aku tahu bahawa kamu akan bertemu dengan musuh besar dalam
suasana perang nescaya pasti aku juga ingin turut menyertai dalam peperangan
ini.
"Kerana
tidak menyangka bahawa kamu keluar sebenarnya untuk menghadapi sebuah angkatan
perang dari pihak Quraisy".
"Kamu
benar, semuanya sebagaimana dalam perancangan Allah," jawab baginda.
Tidak lama
kemudian, mereka pun semakin menghampiri Kota Madinah dan makin ramai penduduk
Madinah yang menyambut baginda dan anggota tentera yang lain. Saat itu bagai
pesta bagi seluruh penduduk Madinah menyambut kemenangan tentera Islam.
Namun di saat
itu juga seluruh golongan Yahudi hanya mampu melihat daripada jauh kepulangan
yang penuh dengan kemenangan itu dengan pelbagai perasaan yang tidak kurang
juga gerun di hati.
Kemenangan di
Badar bererti umat Islam bukan lagi calang-calang yang boleh dikalahkan.
Begitupun, kepulangan Rasulullah dalam keadaan tidak mengalami sebarang
kecederaan itu persis pahlawan yang gagah berani telah menarik lebih ramai
penduduk Madinah memeluk Islam.
SUMBERArtikel
Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0309&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_04.htm#ixzz5dtAPIrww
© Utusan
Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment