ARKIB : 12/10/2010
ABDULLAH bin Zubair adalah
seorang sahabat Nabi Muhammad. Semasa Rasulullah meninggal dunia, beliau masih
kecil. Beliau adalah anak kepada Asma' binti Abu Bakar, iaitu cucu kepada Abu
Bakar as-Siddiq. Pada masa pemerintahan Muawiyah bin Abu Sufyan, Abdullah bin
Zubair dilantik menjadi pegawai kanan Muawiyah menentang tentera Rom.
Pada masa itu, Muawiyah
menghargai setiap kejayaan dan perkara baik yang dilakukan oleh Abdullah.
Abdullah juga menunjukkan rasa hormat dan tanda setianya pada Muawiyah.
Abdullah memiliki sifat-sifat yang
baik seperti beramal soleh, berpegang teguh pada agama islam dan sentiasa
bertakwa kepada Allah. Perubahan sikapnya mula berlaku apabila Muawiyah
melantik anak lelakinya iaitu Yazid menjadi Putera Mahkota menggantikan
tempatnya.
Semasa pemerintahan Yazid,
pelbagai kekejaman berlaku seperti pembunuhan ke atas Husein bin Ali di Karbala
pada tahun 63 Hijrah dan serangannya ke atas Madinah. Perkara itu menyebabkan
Abdullah bangkit menentang Yazid.
Namun begitu, pengaruh Yazid
semakin kurang apabila masyrakat Islam benci padanya. Mereka tidak menyukai
tindakan Yazid yang kejam. Pernah Yazid menyuruh Muslim bin Uqbah dan
tenteranya yang lain membunuh Abdullah bin Zubair. Tetapi Uqbah meninggal dunia
dan digantikan dengan al-Gusein bin Numair.
Namun, Abdullah tidak dapat
ditewaskan sehingga Yazid meninggal dunia. Pada tahun 73 Hijrah, Abdullah tidak
dapat bertahan apabila daerah di bawah kekuasaannya ditawan oleh tentera Abdul
Malik. Ketua pimpinan tentera Abdul Malik itu adalah al-Hajjaj bin Yusuf
as-Saqafi. Peristiwa kematian Abdullah berlaku apabila beliau dikepung di Mekah
selama beberapa bulan. Akhirnya, Abdullah meninggal dunia.
Sepanjang hidupnya, Abdullah
seorang yang cermat dan berhati-hati dalam urusan kewangan.
Sebelum bapanya meninggal dunia,
bapanya pernah berpesan kepadanya: "Abdullah, apabila kamu menghadapi
masalah, hendaklah kamu mengadu kepada Allah. Hanya Allah sahaja tempat yang
layak mengadu."
Selepas bapanya meninggal dunia
dalam peperangan menentang musuh, Abdullah berjumpa sebuah buku kecil di dalam
bilik bapanya itu.
Lalu Abdullah berkata, "Buku
apakah ini?"
Abdullah tidak pernah melihat
buku itu. Ia sebenarnya adalah buku wang simpanan bapanya. Tanpa membuang masa,
beliau memeriksa buku itu.
"Banyaknya hutang ayah yang
belum dibayar. Semuanya berjumlah dua juta dirham," kata Abdullah dengan
perasaan terkejut.
"Ayah sudah meninggal dunia.
Tetapi hutangnya masih belum bayar. Saya perlu membayar hutang ini supaya roh
ayah tenang di alam barzakh," kata Abdullah bersendirian.
Sikap amanah dan jujur yang ada
pada Abdullah membuatkan orang lain mempercayainya. Ramai orang meminta
Abdullah menyimpankan wang mereka.
Pada suatu hari, Abdullah berkata
kepada orang ramai yang mahu menyimpan wang mereka kepadanya: "Sekarang
ini saya tidak mempunyai tempat yang selamat bagi menyimpan wang anda semua.
Namun saya mahu meminta izin daripada anda semua bagi meminjamkan wang anda
semua. Saya berjanji membayar semula."
"Saya bersetuju sekiranya
kamu mahu meminjam wang saya yang ada pada kamu itu," kata salah seorang
penyimpan wang yang ada di sana.
Melihat kejadian itu, orang ramai
turut bersetuju meminjamkan wang kepada Abdullah kerana mengetahui mengenai
sikapnya. Akhirnya, beliau dapat membayar semula hutang peninggalan arwah
ayahnya itu. Malah beliau juga dapat membayar semula hutangnya kepada orang
ramai yang meminjamkannya wang.
Pernah suatu ketika, Abdullah
tersilap mengira buku wang simpanan ayahnya itu.
Beliau menyangka Abdullah bin
Jaafar berhutang sebanyak satu juta dirham kepada ayahnya.
Selepas dikira semula, Abdullah
mendapati ayahnya yang berhutang sebanyak satu juta dirham kepada Abdullah bin
Jaafar.
"Maaf, saya cuba membayar
segala hutang-piutang yang ditanggung oleh arwah bapa saya, yang berjumlah satu
juta dirham itu," jelas Abdullah.
"Baiklah, apabila kamu cukup
wang bagi membayarnya nanti, kamu bayarlah. Saya percaya kepada kamu,"
balas Abdullah bin Jaafar pula.
Abdullah bin Zubair berasa lega
selepas mendengar penjelasan itu. Bagi melangsaikan hutang itu, beliau
memberikan sebidang tanah kering kepada Abdullah bin Jaafar. Abdullah bin
Jaafar menerima pembayaran hutang itu dengan hati terbuka. Kini, hutang bapanya
sudah dibayar kesemuanya.
Begitulah sikap amanah dan jujur
Abdullah bin Zubair. Sifat peribadinya yang terpuji itu menjadikan beliau
seorang yang kuat berpegang teguh kepada Allah dan ajaran yang disampaikan oleh
nabi Muhammad.
Sebagai seorang Islam yang
beriman, kita juga wajar mengikuti sifat-sifat baik yang dimiliki oleh Abdullah
bin Zubair. bagi membalas jasa dan menunaikan tanggungjawab sebagai seorang
anakm kita juga perlu menyelesaikan segala hutang-piutang yang ditanggung oleh
kedua-dua ibu bapa kita apabila mereka sudah tiada kelak.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1012&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_05.htm#ixzz5cwKmvVbk
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment