ARKIB : 11/05/2011
SEORANG lagi pahlawan Islam yang jihad
bermati-matian ketika Perang Uhud ialah Anas bin Nadhar. Beliau tidak dapat
menyertai Perang Badar sebelum ini kerana masih terlalu muda.
Tetapi apabila dibenarkan turut serta dalam Perang
Uhud, beliau sangat gembira tanpa sedikit pun bimbang nyawanya melayang.
Anas mempamerkan kejantanan dan semangat juang yang
sangat tinggi di Perang Uhud apabila berjaya membunuh ramai kafir Quraisy.
Namun akhirnya Anas mati syahid. Namun dikatakan
beliau sempat mengucapkan selamat tinggal kepada seorang sahabat, iaitu Saad
bin Muaz sebelum mengakhiri nafasnya.
"Tujuanku (syahid) sudah tercapai wahai
sahabatku Saad. Aku sudah terbau bau syurga yang sangat harum semerbak di kaki
bukit Uhud ini. Selamat tinggal Saad, selamat tinggal," ujar Anas.
Seorang lagi pahlawan Uhud yang mempunyai kisah
yang menyentuh perasaan ialah Hanzalah Al Ghasil bin Abu Amir. Hanzalah
dikatakan baru melangsungkan perkahwinan dengan seorang wanita yang sangat
jelita.
Namun tatkala mendengarkan seruan berjihad di Medan
Uhud, Hanzalah dikatakan terus bergegas meninggalkan isteri dalam dakapannya
semata-mata untuk menyahut seruan jihad.
Apabila berhadapan dengan musuh di medan perang,
Hanzalah mempamerkan daya juang yang sangat menggerunkan musuh dengan membunuh
ramai di kalangan anggota tentera Quraisy sehingga membuka jalan kepada beliau
yang akhirnya berjaya berhadapan dengan Abu Suffian bin Harb, ketua panglima
perang Quraisy.
Hanzalah dikatakan hampir berjaya membunuh Abu
Suffian tetapi Allah lebih memilih beliau untuk syahid apabila Hanzalah ditetak
dengan kuat sehingga mati oleh seorang pengikut Abu Suffian, Syaddah bin Al
Aswad yang kebetulan ternampak cubaan untuk membunuh Abu Suffian itu.
Hanzalah syahid dan jenazahnya ditemui seusai
perang dalam keadaan basah seluruh badannya.
Rasulullah menjelaskan bahawa Hanzalah baru sahaja
dimandikan oleh para malaikat kerana semasa beliau keluar berperang, Hanzalah
masih dalam keadaan berjunub.
Lalu dalam riwayat Hanzalah terkenal dengan gelaran
Al Ghasil yang bermakna dimandikan oleh para malaikat.
Namun Rasulullah sendiri juga tidak kurang hebatnya
sebagai seorang pahlawan yang tidak sahaja berlawan malah mampu mengalahkan
musuh.
Dalam satu peristiwa ketika berlangsung perang itu,
iaitu di saat-saat akhir sebelum perang tamat, telah tersebarnya berita
kononnya Rasulullah terkorban.
Namun apabila mendapat tahu baginda sebenarnya
masih hidup, seorang anggota tentera di pihak musuh bernama Ubai bin Khalaf
terjerit-jerit mencari baginda Rasulullah.
"Di mana orang yang mengaku dirinya itu
seorang nabi? Andai dia seorang yang berani, keluarlah bertarung dengan aku,
satu lawan satu sehingga salah seorang terkorban.
"Di manakah Muhammad? Aku sendiri malu untuk
meneruskan hidup jika membiarkan si Muhammad ini terus hidup," kata Ubai
dengan sombong dan bongkak.
Mendengarkan cabaran Ubai itu, ramai pahlawan dan
sahabat baginda yang menawarkan diri untuk membunuh Ubai bagi pihak baginda.
Namun baginda meminta diberi ruang untuk baginda
sendiri berhadapan dengan Ubai.
Sebaik sahaja Ubai melihat kemunculan baginda maka
tanpa ditunggu-tunggu lagi dia pun terus memacu kudanya dengan deras untuk
menyerang baginda.
Lalu baginda pun meminta sebilah lembing yang
sedang dipegang oleh Harith bin Syimmah. Sebaik sahaja Ubai semakin menghampiri
baginda maka dengan pantas dan sekuat-kuat tenaga baginda melontarkan lembing
itu ke arah Ubai.
Lembing itu tepat sasarannya mengenai leher Ubai
sehingga tembus. Ubai mati tersungkur dalam keadaan berlumuran darah.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0511&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm#ixzz5eAqWVTVA
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment