ARKIB : 26/08/2010
Susunan SITI AINIZA KAMSARI
SELAMA tiga hari tiga malam
Rasulullah SAW dan sahabat karib baginda, Abu Bakar As Siddiq menyembunyikan
diri dalam Gua Tsur sebeluh berhijrah ke Madinah.
Sudah pasti ketika itu mereka
diselubungi perasaan takut, bimbang dan cemas.
Ini kerana kafir Quraisy
benar-benar melancarkan gerakan mencari mereka berdua untuk dibawa pulang sama
ada dalam keadaan hidup mahupun mati.
Dahulu komplot untuk membunuh
baginda di rumahnya di lakukan oleh 11 pemuda yang terpilih.
Tetapi kali ini tawaran dibuka
kepada sesiapa sahaja untuk memburu dan membawa pulang Nabi Muhammad.
Tawarannya cukup lumayan sehingga
menyebabkan seluruh pemuda Quraisy keluar dan masing-masing berpecah menuju ke
seluruh pelosok dan ceruk kawasan untuk mencari dan menangkap baginda.
Tawaran 100 ekor unta itu
menyebabkan ramai para pemuda yang gagah perkasa sama ada berjalan kaki,
menunggang kuda mahupun unta keluar untuk mencari dan memburu baginda.
Mereka sanggup memanjat dan
mendaki bukit-bukit, menuruni lembah-lembah yang tandus dan kering malah
sehingga melepasi sempadan daerah dan wilayah semata-mata keghairahan untuk
merebut tawaran yang cukup lumayan itu.
Ketika itulah sebagaimana yang
diceritakan oleh isteri baginda, Saidatina Siti Aishah sama ada kedudukan
baginda selamat atau tidak, semuanya diberitahu melalui laporan harian yang
dibuat oleh seorang anak Abu Bakar, iaitu Abdullah.
"Abdullah adalah seorang
anak muda yang mahir dan tangkas. Setiap malam ketika malam semakin larut,
suasana senyap sepi apabila semua mula dibuai mimpi, anak muda itu akan keluar
secara senyap dari Kota Mekah dan segera menuju ke Gua Tsur.
"Di gua itu, Abdullah akan
terus melaporkan apa yang beliau intip dan dengar terutamanya dari mulut
pemimpin Quraisy mengenai sebarang rancangan mereka sejak bapanya dan
Rasulullah berjaya melarikan diri.
"Kemudian pada waktu sahur,
Abdullah akan segera meninggalkan gua tersebut dan pulang ke Kota Mekah.
"Beliau kemudiannya
berpura-pura seperti baru bangun tidur, seolah-olah setiap malam anak muda ini
tidak ke mana-mana.
"Abdullah kemudiannya akan
mula menjalankan kerja-kerja pengintipan di sana sini untuk dilaporkan kepada
Rasulullah dan Abu Bakar pada malam hari," kata Aishah.
Bagaimana pula dengan makan minum
Rasulullah dan Abu Bakar selama berada dalam gua itu?
Amir bin Fuhayrah, seorang lagi
anak muda yang berani yang bertanggungjawab dalam hal itu.
Dia bertindak berani kerana jika
tertangkap pastinya umur tidak akan panjang kecuali mati dikerjakan oleh
musuh-musuh Rasulullah.
Dia merupakan hamba milik Abu
Bakar yang kerjanya setiap hari menggembala kambing. Selepas waktu Isyak, Amir
akan menghalau kambing-kambingnya berdekatan dengan kaki Bukit Tsur dan apabila
keadaan didapati selamat, Amir akan memerah susu-susu kambing tersebut lalu
ditinggalkan kepada Abdullah yang akan datang kemudian untuk dibawa kepada
Rasulullah dan Abu Bakar.
Apabila tugasnya sudah selesai,
Amir akan membawa pulang kambing-kambing dan begitulah yang beliau lakukan
hampir setiap malam untuk memastikan baginda dan tuannya dapat minum susu
kambing sebagai penggalas perut.
Segala jejak yang ditingalkan
oleh Amir dan kambing-kambing tersebut di sepanjang perjalanan pulang, semua
telah dipadam atau dihilangkan oleh Abdullah.
Maka tiada sesiapa dapat
mengesyaki tindakan berani kedua-dua anak muda itu kerana masing-masing akan berlagak
seperti tiada apa-apa yang berlaku.
Walaupun ada sesetengah riwayat
menceritakan bahawa seorang lagi anak perempuan Abu Bakar, iaitu Asma sendiri
yang sanggup bersusah payah setiap malam secara curi-curi membawa bekalan
makanan untuk bapanya dan Rasulullah.
Asma sememangnya seorang srikandi
Islam yang tidak pernah menghitungkan keselamatannya sendiri demi membantu
perkembangan Islam.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0826&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_04.htm#ixzz5bkD4LABX
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment