ARKIB : 10/09/2010
MAKAM Syuhada di Uhud. Di sinilah
jasad Hamzah bin Abdul Mutalib disemadikan.
KETIKA peperangan begitu sengit
di antara tentera Muslimin dengan tentera Quraisy, semangat tentera-tentera
Muslimin semakin memuncak sehingga mereka terus menerkam ke arah tentera
Quraisy bagaikan ombak melanda pantai sambil melaungkan amit, amit iaitu matilah!
Matilah!
Pada masa yang sama, kelihatan
Hamzah bin Abdul Muttalib sedang melawan dan menerkam semua serangannya bagaikan
seekor singa yang garang.
Beliau meluru ke tengah-tengah
barisan tentera Quraisy dalam gerak kilat yang tiada bandingannya.
Tentera-tentera Quraisy pula
mengelak daripada libasan pedangnya umpama daun-daun kering yang dipukul oleh
angin.
Ketika Hamzah sedang bergelut
dengan pihak musuh, tiba-tiba datang kepadanya Wahsyi bin Harb iaitu budak
suruhan Jabir bin Mutim secara sembunyi-sembunyi untuk membunuh beliau.
Bapa saudara Jabir telah dibunuh
dalam Perang Badar. Oleh yang demikian, Jabir mengupah Wahsyi dan dijanji akan
dibebaskan sekiranya berjaya membunuh Hamzah kerana ingin menuntut bela ke atas
kematian bapa saudaranya itu.
Wahsyi menyertai perang itu
dengan tekad untuk membunuh Sayidina Hamzah. Dia mengekori Hamzah dicelah-celah
orang ramai. Wahsyi bersembunyi di sebalik batu di tepi sepohon kayu.
Ketika Sayidina Hamzah sibuk
berlawan dengan tentera-tentera Quraisy, Wahsyi lalu mengambil kesempatan
melontarkan lembingnya ke arah Sayidina Hamzah secara curi-curi.
Lembing itu terkena dada Hamzah
hingga menembusi badannya. Beliau cuba menerpa ke arah Wahsyi tetapi rebah
tersungkur.
Setelah Hamzah menemui ajalnya,
datanglah Hindun binti Utbah iaitu isteri Abu Sufyan pemimpin tentera Quraisy
lalu menoreh dada Hamzah untuk mengeluarkan hati dan jantungnya yang masih
panas dan bergerak-gerak itu, Hindon cuba menggigit hati dan jantung Saidina
Hamzah untuk melepaskan sakit hatinya.
Setelah perang selesai dan kaum
Quraisy telah kembali ke Mekah, Rasulullah menghadapi kemurungan dan kesedihan
apabila melihat keadaan jenazah bapa saudaranya. Lalu baginda meminta Allah
melaknat pemuka-pemuka Quraisy itu.
Sesudah baginda memohon laknat
untuk orang-orang itu, datanglah ayat daripada Allah yang berbunyi: Tiada satu
pun bagimu sama ada Allah hendak menerima taubat mereka, ataupun Dia hendak
mengazab mereka, lantaran mereka itu adalah orang-orang yang zalim.
Baginda dan orang-orang Islam
yang lain juga berazam untuk mencacatkan setiap mayat tentera Quraisy dalam
peperangan akan datang sebagai membalas dendam.
Sehubungan dengan itu, Allah
telah menurunkan Surah an-Nahl di atas.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0910&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_03.htm#ixzz5bmmNGx4T
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment