ARKIB : 27/07/2010
USAID bin Malik bin Rabiah ialah
salah seorang sahabat Nabi Muhammad dan seorang pahlawan Islam yang berani.
Usaid sering menyertai angkatan perang Islam bagi mengalahkan musuh. Salah satu
sifat Usaid yang mengkagumkan ialah beliau suka menghadiri majlis ilmu.
Setiap kali ada majlis ilmu yang
disampaikan oleh Nabi Muhammad, Usaid ada di sana. Usaid suka menimba ilmu-ilmu
yang baru.
Beliau memang suka mendengar ilmu
yang diajarkan dan disampaikan oleh Nabi Muhammad. Setiap ilmu agama dan
nasihat yang diperolehnya itu diambil perhatian.
Pada suatu hari, ada majlis ilmu
yang disampai oleh Nabi Muhammad.
"Nampaknya hari ini ada ilmu
agama yang disampaikan oleh Nabi Muhammad," kata Usaid seorang diri.
Usaid tidak mahu melepaskan
peluang itu. Beliau menghadiri majlis ilmu itu. Sampai sahaja di dalam majlis
tersebut, beliau duduk mendengar segala yang disampaikan oleh Nabi Muhammad
dengan penuh perhatian.
Ramai turut hadir dalam majlis
itu. Sedang asyik beliau mendengar, tiba-tiba datang seorang lelaki dari
golongan Bani Salmah duduk dalam majlis tersebut.
Semasa majlis itu berlangsung,
sesi soal jawab dibuka di antara Nabi Muhammad dan orang yang berada di sana.
"Ada soalan yang mahu
ditanya oleh anda semua," tanya Nabi Muhammad kepada para hadirin.
Lelaki dari golongan Bani Salmah
itu pun mengangkat tangannya dan bertanya kepada Nabi Muhammad.
"Wahai Nabi Muhammad, ibu
bapa saya sudah meninggal dunia. Masih bolehkah saya berbuat baik kepada kedua
ibu bapa saya selepas mereka meninggal dunia," tanya lelaki itu.
"Semasa mereka masih hidup,
saya orang yang selalu menjaga dan taat kepada mereka," katanya lagi.
Rupa-rupanya, para hadirin yang
lain juga mempunyai kemusykilan yang sama dengan lelaki Bani Salmah itu.
Usaid bin Malik tidak sabar-sabar
menantikan jawapan yang bakal diberikan oleh Nabi Muhammad.
Keadaan menjadi senyap dan sunyi.
Sebentar kemudian, Nabi Muhammad menjawab: "Kamu masih dapat berbuat baik
kepada kedua ibu bapa.
"Caranya begini. Kamu harus
selalu mendoakan mereka, meminta ampun kepada Allah dan melaksanakan wasiat
yang mereka tinggalkan selepas meninggal dunia."
Para hadirin yang mendengar
penjelasan itu mengangguk-angguk kepala mereka.
Kemudian Nabi Muhammad berkata
lagi: "Kamu juga perlu menjaga tali persaudaraan dengan kawan-kawan ibu
bapa dan memuliakan kawan-kawan mereka itu."
Para hadirin yang mendengar
jawapan Nabi Muhammad faham dengan jawapan yang diberikan.
Kemudian lelaki daripada golongan
Bani Salmah itu teringat pesanan Nabi Muhammad, iaitu; "Apabila meninggal
seorang anak Adam, maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara. Pertama,
sedekah yang diberinya semasa beliau hidup. Kedua, ilmu yang disampaikannya kepada
orang lain. Akhir sekali yang ketiga, ialah anak yang baik dan selalu mendoakan
ibu bapa mereka."
"Mulai saat ini, saya
sentiasa berdoa kepada Allah dan berbuat baik dalam hidup, supaya saya dapat
berbuat baik kepada kedua ibu bapa saya yang sudah meninggal dunia," bisik
lelaki itu sendirian.
Lelaki itu berpuas hati dengan
jawapan yang diberikan oleh Nabi Muhammad. Kemudian, beliau beredar dari majlis
ilmu itu. Beliau berazam berbuat baik kepada kedua ibu bapanya yang sudah
meninggal dunia selagi beliau masih hidup.
Usaid juga turut gembira mendapat
penjelasan daripada Nabi Muhammad pada hari itu. Bagi Usaid, beliau juga
berazam menjadi seorang anak yang taat dan berbuat baik kepada ibu bapanya.
Pada hari itu, Usaid mendapat
ilmu baru mengenai berbuat baik kepada ibu bapa yang sudah meninggal dunia.
Beliau gembira kerana ilmunya semakin bertambah.
Kongsi Konten di :
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0727&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_03.htm#ixzz5bjfLQRPG
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment