ARKIB : 28/07/2010
Susunan SITI AINIZA KAMSARI
DETIK-DETIK penghijrahan Nabi
Muhammad SAW dari Mekah ke Yathrib merupakan satu sejarah yang menjadi ingatan
umat Islam sepanjang zaman. Selepas lebih dari dua bulan berlakunya Perjanjian
Aqabah Kedua, tidak ada lagi umat Islam yang tinggal di Mekah.
Hampir kesemua mereka berjaya
membawa diri ke Yathrib secara senyap-senyap bagi memulakan satu kehidupan.
Tetapi ketika itu baginda
Rasulullah bersama kaum keluarga, sahabat Abu Bakar As Siddiq dan menantu Ali
bin Abi Talib masih berada di Mekah.
Ini sebagai mematuhi perancangan
agar mereka menunggu masa yang benar-benar sesuai untuk berhijrah.
Tempoh itu baginda gunakan untuk
menyiapkan segala kelengkapan dan hanya menanti wahyu dari Allah untuk
memerintahkan baginda keluar dari Kota Mekah.
Tetapi bagi kaum musyrik Mekah,
mereka tidak senang duduk apabila setiap kali mendengar berita orang Islam
telah sampai ke Yathrib.
Ini kerana penghijrahan umat
Islam itu adalah satu ancaman atau bahaya yang cukup besar kepada mereka
terutamanya kedudukan agama penyembahan berhala, ekonomi dan politik kaum
musyrik.
Lagi pula umat Islam bakal
bersatu dengan penduduk Arab dari dua kabilah utama di Yathrib, Aus dan Khazraj
yang bakal membentuk satu kelompok Arab yang sangat kuat dan boleh menjadi
mengancam kedudukan Arab di Mekah.
Semua itu tidak mustahil kerana
faktor pimpinan dan seluruh peribadi baginda sangat kuat pengaruhnya terhadap
para pengikut lama dan baru.
Pengaruh baginda mampu membentuk
satu kesetiaan jitu malah sanggup berkorban apa sahaja demi baginda dan agama
Islam yang disebarkan oleh baginda itu.
Apatah lagi jika baginda
disakiti, pengalaman-pengalaman sebelum ini menunjukkan ramai yang menerima
padah akibat cuba berniat jahat terhadap baginda.
Dari aspek ekonomi pula, Yathrib
itu sendiri mempunyai kedudukan geografi yang sangat strategik kepada rombongan
perdagangan yang sering melalui kawasan persisiran Laut Merah dari Yaman ke
Syam (Syria).
Mereka pasti akan melewati
Yathrib terlebih dahulu sebelum meneruskan perjalanan menuju ke Syam yang menjadi
pusat perniagaan dan perdagangan utama ketika itu.
Ini bakal memberi peluang kepada
penduduk Yathrib untuk memberi pelbagai tekanan dan menghilangkan kebebasan
kepada para pedagang yang terdiri dari Musyrik Mekah itu sendiri untuk
berdagang ke Syam.
Kaum musyrik Mekah bimbang mereka
disekat atau dilarang untuk berdagang kerana akan dianggap sebagai pengintip
yang bakal menimbulkan kekacauan bagi melemahkan kedudukan umat Islam.
Lantaran setelah dikaji semua
itu, penghijrahan umat Islam itu benar-benar satu petaka. Hubungan umat Islam
dengan penduduk Yathrib mesti disekat. Jika tidak ia dilihat bakal
menghancurkan kaum musyrik Mekah.
Lalu pada 26 Safar tahun ke 14
kenabian bersamaan 12 September 622 Masihi maka berlakulah satu mesyuarat
serius dan tegang. Ia dihadiri oleh hampir kesemua pemimpin kabilah-kabilah
Arab musyrikin Mekah yang disifatkan seperti dalam satu sidang perwakilan (Darul
Nadwah).
Abu Jahal bin Hisham yang
mewakili Bani Makhzum, Jubair bin Mut'im dari Bani Nawfal, Shaybah, Utbah bin
Rabiah, Abu Sufyan bin Harb dari Bani Abd Shams, Umayyah bin Khalaf dari Bani
Jumah adalah antara para pemimpin Quraisy yang hadir dalam pertemuan itu.
Mereka sepakat untuk mendapatkan apa juga cara yang boleh menyekat Islam dan
umatnya dari terus berkembang.
Namun yang menariknya saat mereka
hendak berkumpul untuk sama-sama berbincang maka datang seorang lelaki tidak
dikenali yang sangat tua.
Lelaki itu sebenarnya iblis yang
menyamar bagi menjalankan jarum jahatnya untuk menghancurkan Islam. Tetapi
apabila ditanya siapakah dia kerana mereka tidak pernah nampak dan mengenali
orang tua ini, lalu Iblis pun menjawab: "Saya merupakan seorang tua yang
sangat dihormati dari Najd yang telah terdengar akan rancangan kamu untuk
mengadakan pertemuan ini.
"Benarkanlah saya hadir
bersama-sama dalam perbincangan ini untuk sama-sama mendengar apa yang kamu
bincangkan agar kita sama-sama dapat mengambil pendapat dan nasihat yang bernas
bagi menyelesaikan masalah ini."
Melihatkan perwatakannya seperti
seorang yang sangat berpengalaman dan bijak lalu iblis itu dibenarkan turut
serta dalam perbincangan.
Pertemuan tersebut menjurus
kepada cadangan-cadangan terutama bagaimana mereka dapat menahan baginda
daripada meluaskan pengaruhnya dan membina kekuatan dari luar kota Mekah bagi
membolehkan pada suatu hari nanti Kota itu akan jatuh sepenuhnya ke tangan
Islam.
Pelbagai cadangan dikemukakan
yang kemudiannya diperhalusi namun kita akan mengetahui siapa yang memastikan
cadangan-cadangan itu bernas mahupun tidak.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0728&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz5bjtlQIgX
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment