Ad

Thursday, 3 January 2019

Ibu teruja tengok aksi Shukor

MyMetroArena
Nazri Abu Bakar
sukanteam@nstp.com.my
 
MELAKA: Buat pertama kali dalam sejarah hidupnya, Hajrahbi Abd Ghani, 60, ibu kepada bekas kapten kebangsaan, Shukor Adan hadir ke stadium bagi menyaksikan anaknya beraksi di padang.

Hajrahbi yang teruja dengan kepulangan anak sulung daripada empat beradik itu ke pangkuan pasukan Melaka United (MU) sanggup ke Stadium Hang Jebat bersama menantu lelaki dan tiga anak Shukor ketika MU berdepan Selangor United, Sabtu lalu. Beliau yang ditemui berkata, selepas 20 tahun Shukor merantau dengan bermain di luar Melaka, penyertaannya bersama skuad Hang Tuah kali ini amat menggembirakannya. “Saya tidak pernah melihat aksi dia (Shukor) di depan mata sendiri dengan hanya sekadar menonton di televisyen, sekali gus menyebabkan keinginan ke stadium untuk memberi sokongan kepadanya kali ini.

“Berita mengenai kemahiran dan kesungguhan Shukor biasa saya dengar dan baca di akhbar dan media tempatan, selain bicara adik-beradik dan penduduk kampung saja. Jadi, kali ini saya mahu melihat persembahannya.

“Apa yang pasti, saya amat gembira dan berterima kasih kepada pihak pengurusan, jurulatih dan penyokong yang sentiasa mengharapkan kejayaan Shukor bersama pasukan negeri kelahirannya,”katanya.

Menceritakan pembabitan awal pemain veteran berasal dari Kampung Bukit Piatu berusia 40 tahun itu, Hajrahbi berkata, tiada siapa yang menggalakkanya bermain kecuali atas minat dan kemahuan sendiri sehingga Shukor sering menyembunyikan penyertaannya dalam pasukan.

“Namun, menyedari kebolehannya, arwah suami saya segera memberi galakan dan membawanya menaiki motosikal untuk menyertai latihan dan perlawanan bola sepak di peringkat sekolah.

“Bagaimanapun, bapanya meninggal dunia akibat serangan jantung ketika berusia awal 40-an dan tidak sempat melihat kejayaan Shukor membarisi skuad utama kebangsaan,”katanya.

Sementara itu, Shukor turut terkejut dengan kehadiran ibunya ke stadium buat pertama kali dalam karier bola sepaknya.

“Sokongan ibu menguatkan lagi semangat saya untuk membantu kejayaan MU pada saingan Liga Malaysia musim ini,”katanya.

SUMBERArtikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 January 2019 @ 2:07 PM

No comments:

Post a Comment