Ad

Friday, 18 January 2019

Madinah bina masyarakat baru Islam


ARKIB : 27/10/2010
Susunan SITI AINIZA KAMSARI

Parlimen adalah tunggak utama penggubalan undang-undang sesebuah negara. - Gambar hiasan

PIAGAM Madinah menjadi asas kuat pembinaan sebuah negara berpaksikan kepada ajaran-ajaran Islam. Tanpa ada pihak-pihak yang boleh menyalahgunakan kuasa demi apa juga kepentingan diri sendiri.

Sama sekali selaku pemimpin, Rasulullah SAW tidak meletakkan kepentingan dirinya mengatasi soal-soal kebajikan dan kehidupan rakyat. Benar-benar rakyat didahulukan.

Malah baginda sangat menghargai kepercayaan yang diberi dengan menghabiskan banyak masa baginda bersama penduduk Madinah.

Contoh paling ketara, sepanjang hayat baginda, kecuali solat sunat dan qiamullail, baginda tidak pernah mendirikan solat lima waktu sehari semalam secara bersendirian, kecuali berjemaah bersama dengan seluruh umat Islam yang lain.

Yang pasti sembahyang berjemaah itu menjadi saluran paling efektif untuk mendekatkan diri baginda sambil mengambil tahu akan segala masalah dan kesusahan para pengikut baginda.

Begitupun Piagam Madinah tetap kekal relevan digunapakai sehingga ke hari ini supaya menjadi rujukan dan contoh kepada mana-mana negara yang mempunyai rakyat berbilang bangsa dan agama tetapi masih boleh hidup aman dan damai di bawah naungan dan lindungan satu Piagam sebuah negara Islam.

Ini kerana dengan piagam itu, baginda telah mengorak langkah dengan membina asas-asas masyarakat baru Islam yang lebih dinamik dan maju ke hadapan.

Dalam segala aspek, tanpa tertumpu kepada soal ibadat semata-mata.

Di tambah, baginda dibantu oleh para sahabat yang masing-masing mempunyai budi pekerti yang sangat luhur dan mulia.

Tiada tandingannya apabila kita menyebut nama-nama seperti Abu Bakar As Siddiq, Umar Al Khattab, Uthman Al Affan dan Ali Abi Talib serta begitu ramai lagi sahabat besar yang lain.

Dalam memperkatakan para sahabat baginda itu, maka ia sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abdullah Mas'ud; "Barang siapa yang hendak mengikut sunnah maka ikutlah sunnah orang yang telah mati. Sesungguhnya orang yang hidup belum tentu selamat daripada terjebak dalam fitnah.

"Mereka itulah para sahabat Muhammad SAW. Mereka ialah manusia yang paling mulia di kalangan umat ini, paling baik hati, paling dalam ilmu pengetahuannya dan paling tidak memberatkan diri (ringan tulang).

"Allah memilih mereka untuk menjadi sahabat Nabi membantu baginda menegakkan agama-Nya.

"Justeru itu kenalilah kelebihan mereka dan ikutlah jejak langkah mereka. Berpeganglah sedaya upayamu dengan akhlak dan perjalanan hidup mereka. Sesungguhnya mereka berada di atas petunjuk yang lurus".

Semua ini apabila baginda sering mengajar, mendidik dan membersihkan jiwa mereka serta menggalakkan mereka berbudi pekerti mulia, adab, kasih sayang, persaudaraan, sifat-sifat mulia, tekun beribadat, rajin dalam pekerjaan dan mentaati perintah.

Pernah seorang lelaki bertanya kepada baginda: "Apakah ajaran Islam yang terbaik?" Jawab baginda; "Kamu memberi (sedekah) makan dan mengucapkan salam kepada orang yang kamu kenal atau tidak kenal".

Pemimpin kaum Yahudi di Madinah, Abdullah Salam pernah memberitahu apabila setibanya Nabi Muhammad ke Madinah, beliau pun terus menemui baginda dan setelah memerhatikan rupa paras baginda, Abdullah Salam terus mempercayai baginda kerana cahaya kejujuran dan keikhlasan yang jelas terpancar daripada wajah baginda.

Maka antara ucapan awal yang diucapkan oleh baginda ketika itu; "Wahai manusia, berilah makanan kepada yang memerlukan, hubungkan silaturahim dan bersembahyanglah di waktu malam tatkala orang lain sedang tidur, nescaya kamu akan dapat masuk syurga dengan sejahtera".
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1027&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz5cxAKk7ks
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment