Oleh MAZNAH MOHD. ARSAD-pengarang@utusan.com.my
KULAIJAYA 22 Feb. - Usaha
mengapungkan kapal Portugis, Flor De Lamar yang dipercayai tenggelam di
perairan Aceh, Indonesia ketika membawa rampasan khazanah empayar Melaka
bernilai kira-kira AS$2 bilion (RM6.4 bilion) dijangka dapat direalisasi dengan
kerjasama tiga negara.
Pengerusi Jawatankuasa
Penyelaras dan Penyelidikan usaha tersebut, Tan Sri Rahim Tamby Chik berkata,
negara terbabit ialah Malaysia, Indonesia serta Portugal dan untuk mencapai
hasrat itu, beliau telah mengusulkan cadangan kepada Perdana Menteri, Datuk
Seri Najib Tun Razak baru-baru ini untuk melaksanakan projek itu.
"Sejak dahulu beberapa
percubaan telah dibuat oleh pemburu harta karun dari Eropah dan Asia untuk
kenal pasti lokasi kapal Portugis itu, tetapi cubaan itu gagal atas beberapa
perkara teknikal.
"Ini kerana terdapat 30
kapal di lokasi tersebut. Jadi, jika hendak mengenal pasti yang mana satu kapal
Flor De Lamar, kita memerlukan teknologi canggih serta melibatkan kos kira-kira
AS$30 juta (RM96 juta)," katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri
Program Usahawan Bumiputera Perlu Bijak Rancang Strategi di Dewan Bandar
Putera, di sini hari ini.
Beliau yang juga Pengerusi
Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) percaya dengan kerjasama kerajaan
ketiga-tiga negara terbabit, kapal tersebut boleh diapungkan dan secara
langsung mengembalikan warisan dan kehebatan empayar Melaka ketika itu yang
telah pun diambil oleh Portugis," katanya.
Rahim berkata, harta karun di
dalam kapal Portugis itu yang dipercayai tenggelam di perairan Aceh diyakini
masih tidak terusik kerana sudah dilitupi lumpur dan ditumbuhi batu karang.
"Kami difahamkan dalam
kapal itu ada lebih 40 jenis barangan berharga yang hendak dibawa ke Portugal
dari Melaka pada 1511, setelah dirampas oleh Panglima Afonso de Albuquerque.
"Senarai khazanah Melaka
itu kemudian telah disenaraikan oleh anak Alfonso sebelum dibawa ke London dan
badan lelongan harta purba di sana menganggar nilainya lebih AS$2 bilion.
"Antara harta karun itu
ialah 22 peti wang emas dan perak serta dua patung monyet emas bertatahkan batu
permata yang diberikan kerajaan Thai kepada Melaka," katanya sambil
memberitahu harta berkenaan bukan sahaja mempunyai nilai kewangan, malah
warisan sejarah.
Beliau berkata, sekiranya usaha
mengapungkan harta tersebut berjaya, projek raksaksa itu mampu menjadikan
Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama dunia.
"Menurut undang-undang
laut antarabangsa, biasanya di mana kapal itu tenggelam, khazanah itu akan
menjadi hak milik negara berkenaan. Tetapi Indonesia hingga kini tidak dapat
mengenal pasti lokasi kedudukan kapal tersebut.
"Menurut pihak Indonesia,
jika kita dapat buktikan khazanah itu dari Empayar Kesultanan Melaka, harta itu
boleh menjadi khazanah Malaysia," katanya.
Katanya, kerjasama berkenaan
pernah cuba dijalankan antara Malaysia dan Indonesia ketika beliau menjadi
Ketua Menteri Melaka dari 1982 hingga 1994, tetapi tidak berhasil.
RujukanArtikelPenuh:http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140223/dn_05/Apung-kapal-bawa-harta-karun#ixzz2u8xCTKqp
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment