Dinosaur di Pahang lebih besar
daripada T-Rex
KUALA LUMPUR 20 Feb. - Spesies
dinosaur 'Spinosaurid Therapod' yang dijumpai di Pahang itu dipercayai menyamai
atau lebih besar saiznya daripada spesies Tyrannosaurus (T-Rex).
Satu sumber Universiti Malaya
(UM) berkata, ini berdasarkan fosil gigi dinosaur yang ditemui di Pahang oleh
kumpulan penyelidik Jabatan Geologi, Fakulti Sains UM yang diumumkan kelmarin
dipercayai merupakan gigi anak dinosaur, berdasarkan saiznya yang kecil.
"Apa yang kita jumpa
baru-baru ini adalah gigi anak dinosaur sahaja. Kita percaya saiz spesies
dinosaur tersebut besar, cuma lebih bongkok sedikit daripada spesies
Tyrannosaurus," jelasnya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini
hari ini.
Menurutnya, kumpulan itu akan
meneruskan penyelidikan sehingga dapat menemui bahagian-bahagian lain spesies
berkenaan atau spesies dinosaur lain di kawasan tersebut.
Jelasnya, kerja penyelidikan
untuk mencari fosil dinosaur di Gugusan Kuala Semantan dan Temerloh di Pahang
akan diteruskan kerana dipercayai spesies dinosaur lain juga pernah wujud di
kawasan itu.
"Ini disebabkan keadaan
geografi kawasan itu dipercayai sesuai untuk menjadi habitat kepada spesies
haiwan berkenaan yang berhampiran dengan sungai dan tanah mendap,"
katanya.
Tambah sumber itu lagi,
pihaknya sedang bekerjasama dengan kerajaan negeri Pahang untuk mewartakan
kawasan arkeologi tersebut agar tidak diceroboh oleh pihak tidak
bertanggungjawab.
Penemuan fosil berkenaan
merupakan yang pertama di Malaysia hasil penyelidikan Jabatan Geologi, Fakulti
Sains UM bersama dua institusi pengajian tinggi Jepun iaitu Universiti Waseda
dan Universiti Kumamoto sejak September 2012.
Pada Ogos tahun lalu, kumpulan
itu menemukan sebatang fosil gigi dinosaur daripada spesies itu yang dikenali
sebagai 'dinosaur pemakan ikan' di sebuah lokasi di Pahang.
Fosil yang diberi nama sebagai
'Sampel UM10575' itu mempunyai ukuran 23 milimeter panjang dan 10 milimeter
lebar.
Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140221/dn_22/Dinosaur-di-Pahang-lebih-besar-daripada-T-Rex#ixzz2tyUyMg2q
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment